Selasa, 25 Ogos 2009

SELAMATKAN UMNO

Salam Ramadan,
Sebagaimana sebahagian besar rakyat Malaysia, saya adalah antara yang tidak terkejut langsung dengan kekalahan BN di DUN Permatang Pasir semalam. Selain ia kubu kuat Pas, BN ternyata telah melakukan kesilapan besar dan saya telah pun mengulasnya dalam posting yang lalu.

Susah juga mahu membuat ulasan kerana jika tersilap mencatat, orang boleh kata kita ini anti UMNO atau BN. Tapi, ada juga bloger yang kerja dengan kerajaan BN, hari-hari dalam tulisannya mengkritik UMNO dan BN. Pun begitu, saya amat yakin bahawa ia adalah untuk kebaikan.

Sama ada suka atau tidak, saya melihat pengaruh UMNO kian merudum. Di kala rakyat di bawah amat bimbang dengan keadaan itu, namun pemimpin di atas masih mampu tersenyum seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. UMNO pasti terus berhadapan dengan kekalahan dalam pilihan raya kecil seterusnya (Jika ada) sekiranya mereka masih takut, malas dan liat untuk berubah.

UMNO bercakap soal membuat kajian terhadap setiap kekalahan, namun UMNO/BN tetap kalah dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan. Orang pasti marah jika saya katakana UMNO masih belum matang berpolitik walaupun sudah berusia lebih 60 tahun. Politik UMNO tidak mengikut arus dan peredaran semasa menyebabkan cara berpolitik mereka boleh dianggap ketinggalan zaman.

Jangan malu untuk membuat perbandingan dengan pembangkang. Lihat bagaimana mereka membina empayar media mereka dan bayangkan jika UMNO gagal mempertahankan kerajaan Malaysia ini, apakah yang UMNO ada. Pemimpin yang sudah kaya, mereka tidak kisah langsung apa nak jadi dengan UMNO.

Saya bimbang dengan sindrom yang sedang menimpa UMNO. UMNO takut hendak berubah. Saya sempat ke Perlis, saya mendengar pelbagai kisah dan saya boleh rumuskan bahawa jika begitulah keadaannya, saya tidak pasti apakah BN masih berkuasa di Perlis dalam PRU ke-13. Di Terengganu pun sama. Memang pedih kalau hendak dikatakan.

Jika beginilah keadaanya, BN sekali lagi bakal menjadi pembangkang di Terengganu. Bayangkan kalau Perlis dan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang dan pembangkang pula kekal di negeri yang mereka kuasa sekarang, maka mudahlah Malaysia pembangkang menguasai Malaysia. Sifirnya cukup jelas. Tapi jika anda lihat wajah pemimpin di atas, seolah-olah tak ada apa yang berlaku.

Pemimpin UMNO takut untuk berubah, manakala pemimpin UMNO yang masih berkuasa walaupun dibenci rakyat dan tidak disenangi enggan mengundurkan diri dengan ikhlas – sebabnya mereka bukannya mahu mempertahankan UMNO dan kerajan UMNO tetapi mereka lebih pentingkan diri.

Pemimpin yang menjadi wakil rakyat pula, jika tidak lagi dicalonkan semula, mereka pasti memberontak bagi memastikan dendam mereka tercapai biar pun UMNO hancur berkecai. Masa mereka bertanding, semua orang sokongnya tetapi bila dia tidak bertanding lagi, dia racun orang lain agar memboikot parti. Saya cukup benci dengan keadaan itu dan ia telah menjadi sebahagian daripada punca kelemahan dan kekalutan UMNO hari ini.

UMNO sekarang sedang berpenyakit tetapi pemimpin UMNO tidak serius untuk mengubati penyakit itu, tidak bersungguh-sungguh. Saya lihat pemimpin UMNO hanya pandai bercakap dan merumuskan sesuatu yang ikut sedap mulut sahaja sedangkan apa yang berlaku amat buruk sekali. Saya takut.

Bilakah pemimpin UMNO mahu sedar dan insaf agaknya. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur, ia sudah tidak berguna lagi.

Kepada pemimpin UMNO tertentu yang melihat betapa rakyat tidak senang dengan kepimpinan mereka dan dibenci lagi, undurlah diri dengan terhormat. Jangan biarkan rakyat menghukum dalam musim pilihan raya. Jangan!.
Ikhlaslah berjuang dengan parti kita.

Rabu, 19 Ogos 2009

BN BOLEH MENANG JIKA MAHU MENANG DI PERMATANG PASIR

Salam perjuangan,

Sekali lagi BN diuji dalam pilihan raya kecil. Kali ini di DUN Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat Pas dalam Parlimen Permatang Pauh yang kini dikuasi Anwar Ibrahim. Terlalu banyak ramalan yang dibuat. Kedengaran yang berkata, BN mempunyai peluang cerah untuk menang di Permatang Pasir atas sebab-sebab yang tidak berapa jelas. Momentum yang diperolehi BN di Manik Urai segera dijadikan ukuran kononnya BN kian mendapat sokongan rakyat. Saya tidamk mahu meletakkan BN dalam keadaan selesa dan saya tidak mahu membuat apa-apa ramalan mengenainya.

Ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu, saya selalu sebutkan bahawa BN hanya boleh menang jika parti itu memilih untuk menang. Jika BN memilih kekalahan, maka kalahlah BN. Ketika itu, semua orang Kuala Terengganu telah memberikan persepsi yang tidak positif terhadap calon BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Bermula di bawah dan di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai perkara tersebut. Malah apabila TPM (pada waktu itu), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjanjikan jawatan dalam kabinet kepada calon BN jika parti itu memang pun, itu masih belum memadai untuk memadamkan persepsi pengundi.

Bagi saya, Datuk Wan Ahmad Farid adalah tokoh muda yang berwibawa dan baik serta layak memimpin. Pidato dan pemikirannya amat hebat kerana beliau adalah seorang yang berpelajaran serta berpengalaman luas sebagai ahli politik. Namun politik telah mengubah keadaan dan persepsi juga perlu diambil kira dalam menentukan menang kalah sesebuah parti atau calon. Ditambah dengan sikap orang UMNO yang mempunyai pandangan negatif terhadap pemimpin sendiri,ia telah menambahkan lagi kesulitan yang ada. Maka, Datuk Wan Ahmad Farid dipilih sebagai calon BN dan keputusannya, BN kalah dalam pilihan raya kecil tersebut. Saya amat sedih dengan keadaan itu, namun insan kerdil seperti saya, apalah sangat yang boleh saya katakan atau lakukan.

Datuk Wan Ahmad Farid kalah bukan kerana dia tidak bagus tetapi dia dikalahkan oleh persepsi yang tebal pada waktu itu. Maksudnya, akar umbil telah pun mencetuskan persepsi dan persepsi itu pula dipercayai walaupun hakikatnya ia adalah mengarut dan tidak berasas. Bagaimanapun BN telah memilih calon yang telah dicetuskan melalui persepsi, maka kalahlah BN. Datuk Wan Ahmad Farid memang layak bertanding tetapi mungkin pada pilihan raya umum ketika tumpuan tidak terlalu diberikan.

Permatang Pasir pun sama. Persepsi telah menebal mengenai calon BN, Rohaizat Othman mengenai isu pembatalan lesen firma guamannya. Walau betapa betul sekali pun kedudukan iksu tersebut, persepsi telah memadamkan segala-galanya. Umpananya pemimpin politik yang didakwa di mahkamah, mereka sudah pun dianggap bersalah walaupun mahkamah belum memutuskan apa-apa kerana itulah persepsinya. Waimma apabila seseorang pemimpinj itu ditahan polis atau agensi penguatkuasa lain pun, mereka sudah dianggap bersalah.

Di Permatang Pasir, Pas telah mendapat modal dan isu percuma bagi menjahanamkan misi BN. Mampukah BN berhadapan dengan keadaan itu dan bertahan dengan serangan bertubi-tubi Pas?. BN mungkin ada sedikit modal lebihan yang boleh digunakan. UMNO atau BN jangan terlalu melayan karenah yang dibawa pembangkang di Permatang Pasir. Isu arak di Selangor, isu akhlak pemimpin pembangkang tidak boleh didiamkan begitu sahaja. Saya nampak, UMNO kian pincang kerana terlalu memberikan fokus dengan melayan karenah Pas. Tidak perlu.

Apa pun UMNO/BN telah memilih calonnya. Anda tafsirkanlah sendiri sama ada UMNO telah memilih jalan untuk menang atau untuk kalah di Permatang Pasir. Saya lontarkan persoalan itu kepada anda.