Jumaat, 28 November 2008

ALFATIHAH UNTUK YANG PERGI MENEMUI ILAHI

Ucapan takziah kepada YAB Datuk Ahmad Said di atas pemergian bonda tercinta ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan insan-insan yang diredahi dan beriman. Semoga YAB Menteri Besar bersabar menghadapi dugaan yang getir ini, insya'Allah.
Ucapan takziah juga kepada keluarga Allahyarham Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland, Pahang petang tadi. Semoga Rohnya juga dicucuri rahmat. Allahyarham adalah seorang yang amat baik dan akrab dengan sesiapa sahaja ... layari blog saya http://ayobmamat.blogspot .com untuk satu kisah pendek mengenainya.

Khamis, 27 November 2008

MENGULAS BIAR ADA FAKTA

Salam blogger ...

Semalam, saya menerima satu ulasan mengenai tulisan saya bertajuk "Cikgu Mansor dan Kuala Nerus". Begini bunyi ayat ulasan yang dihantar kepada saya:

"Assalamualaikum wrb ....Tahniah En Ayub Mamat atas kesudian saudara memaparkan pandangan saudara yang amat bernas itu. Namun saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa cikgu mansor hanyalah mendapat 49 undi sahaja. sedangkan Dato Mukhriz menerima 87 undi. Berfikirlah sejenak, apakah logiknya Cg Mansor dan saudara Fauzi Ngah mampu memenangkan Dato Mukhriz sedangkan dirinya mereka sendiri tersungkur. Bagi saya semua ulasan yang saudara berikan hanyalah 'satu slot pembohongan' yang terancang. Fikir-fikirlah, si pemenang sebenat ialah calon yang mampu memenangkan dirinya dan juga secara '.......' memenangkan Dato Mukhriz".

Saya tidak tahulah sifir politik mana yang pengulas itu belajar. Bagi saya, pengulas itu mahu menunjukkan kebodohan saya dalam menulis atau menganalisa tanpa dia sedar bahawa dia sendiri yang membongkar kebodohannya. Malah, pengulas itu juga adalah seorang yang ada kepentingan dan takut dengan cadangan saya agar cikgu Mansor dilantik sebagai SU UMNO Bahagian.

Saya tidak pernah mengatakan bahawa Cikgu Mansor yang memenangkan Datuk Mukhriz tetapi pencalonan telah dikemukakan oleh orang beliau, Fauzi Ngah. Ada beberapa isu menarik dalam hal ini. Pertama, perwakilan sememangnya mahu Datuk Mukhriz dan mual dengan KJ tetapi pada masa yang sama, mereka lihat lawan cikgu Mansor sebagai layak di atas sebab-sebab tertentu. Tak payahlah saya sebut apa sebab-sebabnya kerana perwakilan Kuala Nerus sendiri sedia maklum mengenainya. Walaupun Cikgu Mansor kalah, namun keberanian Fauzi mencalonkan Datuk Mukhriz telah membuka ruang kemenangan kepadanya. Jika tiada pencalonan begitu, mana mungkin Datuk Mukhriz boleh menang. Cikgu Mansor kalah disebabkan banyak faktor. Dan, sekali lagi tak perlu saya sebutkan apakah faktornya.

Di dalam UMNO, pemimpin yang menang tidak bermakna dia seorang yang hebat kerana di dalam UMNO, kemampuan memenangi pelbagai jawatan bergantung kepada pelbagai sebab termasuk wang. Jadi, saya tidak melihat Cikgu Mansor (yang saya tidaklah kenal sangat pun) bukan seorang yang "kalah". Apa yang saya lihat, beliau bukanlah seorang yang terlibat secara sepenuh masa dengan perniagaan atau seorang kontraktor. Bahaya jika pilih kontraktor sebagai pemimpin. Orang itu memang kaya tetapi dia belum tentu mampu menyelamatkan parti. Ke arah memusnahkan ada.

Pengulas itu juga nampak cetek perkiraannya. Sifir politik tidak boleh disamakan dengan sifir matematik yang dipelajari di sekolah. Kalau macam itu pengulas memberikan pandangan, ia amat menjengkelkan. Saya bukan berhasrat untuk mempertahankan tulisan saya tetapi itu adalah analisa saya. KJ tak akan kalah kalau Fauzi tak calonkan Datuk Mukhriz dan belum tentu ada orang lain yang akan mencalonkan Datuk Mukhriz jika Fauzi tidak mencalonkannya. Itu pasti.

Sebenarnya saya sedar betapa ramai yang tidak senang dengan ulasan saya. Yang saya nak ketawa, ada juga orang takut kepada calon yang kalah. Nak takut buat apa dengan Cikgu Mansor tu. Ada juga yang gelabah bila saya cadangkan Cikgu Mansor sebagai Setiausaha UMNO Bahagian. Entah mengapa sebabnya, saya pun tak tahu. Tapi yang saya tahu, ramai orang yang gilakan jawatan SU Bahagian itu. Yang macam gila talak pun ada jugak. Tak faham saya dengan manusia ini.

Bagi saya, kalau kita pilih calon yang kalah tetapi beliau berkemampuan, berkarisma dan mampu membantu parti, apa salahnya dia dilantik. Bukankah usaha itu akan dapat menyatukan umat parti kita?. Mengapa kita mesti bergaduh dan mengambil tindakan membalas dendam dalam parti. Kalau menang dalam parti tapi kalah dalam pilihan raya buat apa?.

Kepada pengulas yang budiman, jangan terlalu cepaat melatah dan menuduh orang lain sebagai berbohong. Berbohong bagi anda kerana anda tidak mampu mempercayai tulisan saya. Namun, benar bagi mereka yang mampu menerima tulisan saya dan memahami apa yang saya maksudkan. Usah terlalu negatif dalam berpolitik. Musuh kita ada di mana-mana. Bahaya kita jika selalu seperti ini.

Apa pun, terima kasih di atas pandangan anda.

SELAMAT MENYERTAI RETREAT UMNO TRG

Salam bloger ...

Tahniah saya ucapkan kepada MB Terengganu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri kerana berjaya menganjurkan Retreat UMNO Negeri di Genting Highland mulai hari ini (27hb Nov 2008). Sepatutnya saya juga perlu hadir pada program tersebut dan telah disenaraikan sebagai peserta. Bagaimanapun memandangkan saya mengalami demam dan batuk yang agak teruk (walaupun saya sudah berada di KL sejak tiga hari lalu), maka dengan rasa kecewa dan hampa, saya terpaksa batalkan penyertaan saya.

Saya kecewa kerana di sana adalah peluang keemasan untuk saya memberikan pandangan serta mencatatkan pelbagai isu-isu yang menarik mengenai politik Terengganu. Saya amat berharap, retreat ini akan membuahkan hasil yang baik dan memberikan sesuatu yang bermakna dalam memperkasakan lagi UMNO Terengganu. Tahniah juga kepada Datuk Rosli Mat Hassan selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO di atas usaha yang telah dibuat bagi menzahirkan retreat itu.

Retreat wajar menjadi landasan untuk mencari kebaikan walaupun apa yang diputuskan nanti adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Selalunya kebaikan akan muncul di sebalik kepahitan.

Saya berharap, saya akan dapat kembali menyertai program sama pada masa akan datang. Tahniah.


Ahad, 23 November 2008

RETREAT JANGAN JADI RETORIK


Assalamualaikum dan salam bloger ...

Pertama kali selepas selesainya pemilihan di peringkat bahagian, UMNO Terengganu bakal mengadakan retreat di puncak yang dinging, Genting Highland beberapa hari lagi. Pentingnya retreat ini sudah tentu bagi memastikan segala kelemahan di sepanjang kempen pada pemilihan parti tempoh hari dapat diperkuatkan semula. Apa pentingnya retreat. Jika sekadar mengajak ahli berkumpul dan kemudiannya menghabiskan masa dengan perbincangan yang tidak diterjemahkan dengan tindakan, maka retreat akan menjadi retorik.

Sebagai pengalisis politik, saya amat optimis bahawa Badan Perhubungan UMNO menganjurkan retreat kali ini bagi memperkuatkan semula parti akibat atau kesan daripada pemilihan yang berlaku pada musim pemilihan. Sama ada kita suka atau sebaliknya, pertandingan di peringkat bahagian baru-baru ini tetapi mempunyai impaknya yang tersendiri. Sama terhadap pemimpin parti atau tubuh parti UMNO itu sendiri.

Jika berasaskan retreat yang pernah diadakan sebelum ini, ia banyak membuang masa serta tidak banyak membantu memperkasakan parti dan jenteranya. Retreat jika berasaskan kepada sebuah parti yang menjadi tunjang pemerintahan di negara dan negeri ini sudah tentu melibatkan satu agenda yang besar. Ia tidak boleh dipandang remeh. Maka, setiap peserta mestilah berani melontarkan pandangan yang menguntungkan parti. Manakala, mereka yang dilemparkan kritikan serta teguran mestilah berani menerimanya dengan hati yang terbuka.

Saya menyokong penuh usaha atau insiatif Badan Perhubungan UMNO yang mahu mengadakan retreat. Namun, kebimbangan saya tetap ada. Kebimbangan itu tentu sekali kerana saya sayangkan UMNO. Saya bimbang, ahli UMNO gagal bermuhasabah diri dengan sebaik mungkin disebabkan mood pemilihan yang masih tebal. Bagi mereka yang menang, mungkin akan lebih sedap bercakap tetapi bagaimana pula mereka mampu menjaga hati mereka yang kalah?. Sejauh mana yang menang itu mampu bertindak secara bijak berasaskan tanggungjawab yang jujur dan benar terhadap parti tanpa bersifat balas dendam?. Dan, adakah hasil retreat itu nanti bakal mengundang kesanggupan pemimpin UMNO sama ada di peringkat bahagian atau lebih tinggi merombak semula keputusan yang sudah dibuat?.

Kita tidak boleh menyatakan bahawa apa yang telah diputuskan sebelum ini sebagai betul demi parti dan mungkin ada keperluan yang mampu menyebabkan kita mengubahnya semula. Jika kita bercakap soal pentingkat parti, ia wajar diterjemahkan dengan sifat yang terpuji. Retreat adalah satu medan untuk kita bermuhasabah diri. Mencari kelemahan dan akur dengan apa yang diputuskan. UMNO sememangnya sebuah parti yang kaya tetapi jika kekayaan itu hanya sekadar untuk menghabiskan masa dengan makan angin di puncak yang dingin, ia tidak mempunyai nilai apa-apa pun.

Jika retreat hanya sekadar bercakap di pentas dengan ucapan berapi-api tentang bagaimana kita mesti memperkasa dan memperkuatkan parti sedangkan tindakan di luar litar retreat sendiri tidak menggambarkan hal serupa, maka di manakah pengertian retreat. Saya tidak mahu membuat penilaian awal mengenai hal tersebut. Namun, pada kebiasaannya, memang begitulah. Saya optimis bahawa UMNO di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said mempunyai strategi yang berbeza. Ada kekuatan baru yang bakal dibentuk. Itulah yang wajar diberikan perhatian.

Jika berkesempatan, saya juga akan ke sana. Sekurang-kurangnya, ia akan mengajarkan saya pengertian retreat tersebut.

Semua orang mahu melihat UMNO itu kuat. Saya pun begitu. Jadi, adakah kita bersifat ke arah tersebut. Cuma, sekali lagi saya mahu mengajak mereka yang bakal menyertai retreat kali ini agar tidak sekadar menjadikan retreat menjadi retorik.

Bersatulah ahli UMNO demi parti yang tercinta ini.

Sabtu, 22 November 2008

UDAH-UDAH LE TU RAFIDAH

Salam blogger...

Saya tersenyum sinis mendengar kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai hasratnya untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan selepas Pelan Peralihan Kuasa ala kartunnya tidak diterima Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Macam biasa, Rafidah akan bercakap di depan kitab suci Al-Quran yang diletakkan di ata srehal. Itulah taraf Al-Quran di mata Rafidah. Sikit-sikit Al-Quran.

Tak apalah. Itu hak dia. Cuma saya nak komen sikit bab keputusan Shahrizat yang mahu menentang Rafidah. Saya jijik melihat muka Rafidah dengan kenyataan sinisnya yang seolah-olah mahu menyalahkan Shahrizat. Bagi saya, Shahrizat tidak bersalah kerana yang lemah ialah Rafidah. Isunya dalam Pergerakan Wanita ialah di Datuk Kamilia yang juga dari Kuala Kangsar, Perak. Kamilia menolak pelan peralihan kuasa dan bertegas mahu bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita sedangkan menurut pelan peralihan kuasa itu, Shahrizat akan kekal sebagai Naib Ketua sebelum diserahkan kuasa Ketua Wanita secara bodohnya oleh Rafidah.

Masalahnya, Kamilia tidak mahu mengalah dan Rafidah pulak buat apa?. Mengapa dia tidak main peranan pujuk Kamilia supaya jangan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita. Sebagai Ketua Wanita, Rafidah sepatutnya bertanggungjawab menasihati Kamilia tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya pada mulanya nampak Shahrizat tidak mahu melawan Rafidah tetapi disebabkan ada gangguan pada kerusi yang disandangkan, takkan Shahrizat nak diam. Kalau Shahrizat tak lawan Rafidah dan kekal bertanding dengan Kamilia, saya amat yakin Shahrizat akan ditolak perwakilan kerana menjadi pemimpin yang PENAKUT. Gelombang angin perubahan yang menolak pelan peralihan kuasa ala kartun Rafidah telah jelas kelihatan.

Saya pun tak faham di mana relevannya pelan peralihan kuasa itu. Bangang sungguh pelan itu ya. Rafidah nak apa dengan pelan itu?. Rafidah patut serah aja kuasa kepada Shahrizat. Habis cerita. Ni nak tunggu tiga bulan. Dia nak buat apa. Pemimpin jenis apa macam ini. Dan, apabila saya melihat ramai juga wanita yang sokong dengan kenyataan Rafidah malam tadi, nampak sangat mereka itu bodoh, tak faham dengan sifir politik. Macam ini ke nak menang pilihan raya. Rakyat di bawah nak perubahan. Rafidah faham ke tidak hal itu. Buat apa dia menang Ketua Wanita tetapi UMNO kalah dalam pilihan raya. Ini yang mustahak.

Tahniah Shahrizat. Saya amat optimis bahawa wanita UMNO tidak bodoh lagi sekarang ini. Mereka akan bangkit dengan terang bagi memberikan mesej kepada Rafidah bahawa pelan peralihan kuasa yang dirancang adalah tidak logik dan tidak masuk akal. Rafidah akan terperangkap dengan pelan yang dirancangnya sendiri nanti. Wanita UMNO sudah mual dengan pemimpin yang mulut celupar tetapi tidak melihat kepentingan parti.

Rafidah buat apa dengan wanita selama dia jadi pemimpin?. Rakyat nak tahu. Kali ini, Rafidah akan menerima akibatnya. Dia tidak boleh angkuh, sombong dan takkabur kononnya dia dapat pencalonan yang lebih. Hah!, itu belum tentu dia boleh menang. Yang saya lucu dengar tu, Rafidah sebut puak Shahrizat sebagai "parti yang satu lagi...". Kakakakakaa... bertanding menda ni Mek Rafidah woii.

Cukuplah tu. Shahrizat tak bersalah. Beliau hanya mahu mempertahankan dirinya. Rafidah telag gagal menasihatkan kamilia agar tidak "merampas" kerusi Shahrizat. Jelas sekarang, ada agenda Rafidah.

Rabu, 19 November 2008

TERLOPONG DAN PERSONALITI

Kini, ramai yang mula meneropong saya. Saya di sinilah. Tak lari!
Salam blogger ...

Gembira saya dapat teruskan menulis di laman ini, berkongsi pandangan serta apa yang ada di fikiran. Selalunya apa yang ada di fikiran kita tidak sama dengan apa yang ada di fikiran orang lain. Maka, jika kita tahu membancuhnya, hasil yang diperolehi pastinya hebat sekali. Politik pun begitu. Ia memerlukan bancuhan, kreativiti dan ketajaman berfikir dalam mengatur serta menyusun strategi.

Politik Terengganu sendiri amat menarik, sarat dengan ilmu serta sesuatu yang penting untuk dipelajari sifirnya. Daripada sebuah kerajaan yang menang, BN kalah mengejut di tangan Pas pada PRU-1999. Namun pada tahun 2004, BN bangkit semula dan berjaya merampas Terengganu sehinggalah sekarang. Iklim politik di Terengganu juga berbeza. Sebagai seorang penganalisis politik, saya tidak pernah takut memberikan pandangan saya.

Saya sedar ada persepsi tertentu kononnya saya ini orang DS Idris Jusoh dan merupakan seorang yang amat taksub kepada beliau. Bagi saya, tidak ada istilah itu dalam hidup saya. Saya tidak taksub kepada sesiapa dan saya juga bukan manusia yang mempunyai ketua dalam berpolitik. Maksudnya, setiap pandangan yang saya berikan tidak berasaskan kepada ketua politik. Ia berasaskan analisa dan penelitian saya sendiri sebagai seorang wartawan. Dan, saya gembira apabila tidak ramai wartawan yang minat politik secara mendalam seperti saya. Ketua saya ialah diri saya. Di zaman pemerintahan DS Idris Jusoh, saya juga mengkritik beliau. Malah pernah satu ketika, ramai exco kerajaan negeri pada waktu itu menelefon saya kerana saya pernah mengkritik DS Idris dengan kerasnya.

Mengapa saya mengkritik?. Saya sebenarnya memberikan pandangan dan yang marah itu tidak menerima teguran. Dan sekarang apabila Datuk Ahmad Said menjadi MB, ada persepsi bahawa saya tidak baik dengan beliau. Dahulu ketika saya bertugas di Kemaman, saya akui bahawa saya menulis pelbagai isu yang berkaitan dengan beliau. Tapi semua itu saya tulis berasaskan kepada profesionalisme saya sebagai wartawan yang menemui rakyat dan sebagainya. Saya tidak mendapat imbuhan di sebalik apa yang saya tuliskan. Semuanya demi masyarakat. Dan, walaupun ada persepsi negatif mengenai saya pada waktu itu kononnya saya berkonfrantasi dengan Datuk Ahmad Said, itu tidak benar.

Saya kenal MB sebagai seorang yang keras tetapi saya kena akui bahawa beliau ada sifat lembutnya. Sebenarnya pada waktu itu, Datuk Ahmad Said tidak memarahi saya tetapi ia sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tertentu untuk melagakan saya. Saya juta bukan manusia yang mempunyai agenda. Kalau saya manusia begitu, sekarang ini saya sudah hidup senang lenang. Tapi hakikatnya saya menulis hanya sebagai tugas saya.

Bagi saya, tidak ada ketua di dalam diri saya. Ketua saya ialah saya sendiri. Saya sendiri yang membuat rumusan dan saya sendiri yang fikirkan apa yang perlu. Dan, apabila Datuk Ahmad menjadi MB, saya menyokong beliau. Dan, apa yang saya tuliskan adalah kerana tidak mahu ada persepsi negatif terhadap beliau. Secara jujur saya melihat, rakyat Terengganu bagaikan sudah lupa dengan era DS Idris Jusoh. Dan, fokus mereka kini ialah kepada kepimpinan sekarang. Dan, kerana itu, perlu ada satu gerakan yang serius dalam memastikan kepimpinan sekarang dilihat positif oleh rakyat dan diterima sebagai satu petanda perubahan yang sihat. Bagaimana caranya?. Adalah. Takkan kena tulis di sini.

Saya fikir, perlu ada sesuatu gerakan secara serius sekarang. Kena gerakan. Politik kadangkala tidak memerlukan modal yang besar untuk dilihat hebat. Ada waktunya, ia memadai dengan personaliti. Saya sangat tertarik dengan konsep menjual personaliti. Akhirnya kerajaan atau parti itu akan dilihat hebat. Saya pernah katakan hal ini kepada DS Idris Jusoh dahulu.

Lihat bagaimana pemimpin Pas menjual personaliti mereka. DS Anwar Ibrahim dan ramai lagi. Adakah parti mereka hebat?. Kalau nak cakap soal moral, ia sudah tentu menjijikkan tetapi mengapa mereka dilihat hebat. Mereka menjual personaliti kepada khalayak politik secara berkesan.

Itu yang mahu saya lihat. Kita tidak boleh terdiam terlalu lama. Saya bimbang ada persepsi negatif pula dan akhirnya yang rugi ialah parti kita sendiri.

Jadi, saya mengharapkan agar kerajaan Terengganu melakukan sesuatu. Jangan biarkan dalam keadaan sekarang. MB tidak mampu memikirkan semuanya. Pegawai-pegawainyalah yang mesti bergerak dan merancang hal tersebut. Ingat, PRU ke-13 tiba-tiba akan menjengah tanpa kita sedar. Kita kena bersedia. Semoga apa yang saya catatkan ini akan membuatkan kita semua berfikir. Berfikir untuk kebaikan dan bukannya mencari kelemahan.

Jumpa esok.

Selasa, 18 November 2008

JANGAN NEGATIF TERHADAP TULISAN SAYA


Assalamualaikum ...

Ada orang cuba menangguk di air keruh. Itu persepsi saya apabila mendapat tahu ada pihak yang cuba menggambarkan secara negatif mengenai saya terhadap MB Terengganu, Datuk Ahmad Said. Malah ada juga yang cuba mengorek kononnya saya mempunyai sejarah hubungan yang tidak baik dengan MB ketika beliau menjadi exco. Bagi saya, saya tidak sampai ke tahap berfikiran sedemikian. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya bukanlah manusia yang berkepentingan. Maka, di atas dasar itu, saya memberikan pandangan. Bagi saya, mengkritik bukan bermaksud kita menentang. Tidak menyokong sesuatu keputusan, bukan bererti saya bermusuh. Apa yang saya tuliskan mengenai isu-isu politik Terengganu adalah di atas dasar SAYANGKAN MB Terengganu itu. Saya tidak mahu beliau mendapat maklumat yang salah, persepsi yang tidak benar mengenai apa yang berlaku.

Lagi pun, siapalah saya. Saya hanya mampu memberikan pandangan dan selebihnya terpulang kepada penilaian. Saya percaya bahawa jika MB membaca tulisan saya, beliau tidak akan negatif terhadap saya. Saya menyokongnya dan pandangan yang saya berikan itu, walaupun kadangakala seperti menentang arus, namun ia tetap sebagai satu sokongan. Maksudnya, saya tidak mahu MB membuat satu keputusan berasaskan kepada satu persepsi politik sahaja. Apa yang berlaku di bawah juga mestilah diambil kira. Itu maksud saya. Saya juga hanya melahirkan kebimbangan mengenai isu-isu politik semasa yang berlaku. Saya nampak, orang UMNO tidak berminat berfikir mengenai masa depan UMNO. Mereka hanya berminat untuk bergaduh sesama sendiri. Mereka sudah lupa sejarah kekalahan mereka dahulu.

Maka saya berikan pandangan. Sekarang ini saya nampak pasukan MB kita masih belum kuat dan sesuatu perlu dilakukan bagi memperkuatkan pasukan itu. Saya bersedia membantu kerana itu memang kerja saya pun sebelum ini. Saya sayangkan negeri saya dan sayangkan pemimpin negeri saya. Saya tidak mahu beliau hanyut dengan pandangan politik semata-mata. Maka apabila saya mempunyai ruang melalui laman ini, maka saya berikan pandangan ini. Jika ia boleh dipakai, maka pakailah jika ia mempunyai kebaikan. Dan, jika ia sebaliknya, biarkan saja ia berlalu.

Sekarang ini ramai sangat yang suka mengampu. Itu yang bahaya itu. Tak kiralah siapa mereka. Sama ada orang politik atau pegawai kerajaan, ramai yang mengampu. Biasanya yang diampu boleh lemas dibuatnya. Itu yang kita takut.

Jadi, janganlah ada yang negatif dengan apa yang saya catatkan. Jangan terlalu cepat melenting dan membuat andaian semata-mata. Jangan membuat tuduhan atau cuba menggambarkan bahawa saya tidak sehaluan dengan MB Terengganu. Saya adalah insan kerdil dan melalui tulisan saya inilah saya dapat memberikan pandangan mengikut kedudukan saya sekarang. Saya berharap, akan ada sesuatu kebaikan yang mampu dikutip. Jika tidak banyak pun, sedikit pun sudah memadai.

Semoga kita menjadi manusia yang matang dan bijak dalam menerima sebarang rumusan melalui tulisan ini.

Ahad, 9 November 2008

CHE MANSOR DAN KUALA NERUS

Che Mansor Salleh (Calon Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus) memberi sokongan kuat kepada Datuk Mukhriz Mahathir
Salam blogger...

Mungkin tidak terlewat untuk saya mengulas apa yang berlaku dalam persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus baru-baru ini. Menariknya mesyuarat itu, ia adalah bahagian terakhir di Terengganu mengadakan mesyuarat. Dan, lebih menarik Saudara Khairy Jamaluddin (KJ) dikatakan bakal dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada bahagian itu. Maklumlah ia kawasan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri, Amiruddin. Saya difahamkan, semua menyangka nama KJ akan melekat di Kuala Nerus tetapi malangnya yang menang ialah Mukhriz Mahathir.

Lebih unik lagi ialah pencalonan itu diadakan secara undian. KJ mendapat 76 undi, Khir Toyo mendapat 70 undi dan Mukhriz memperolehi 87 undi. Yang mencalonkan Mukhriz ialah Fauzi Ngah yang menjadi proksi calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Cikgu Che Mansor Salleh. Tahniah Che Mansor dan Fauzi. Anda wajar diberikan pujian kerana anda berada di landasan yang mempunyai prinsip.

Walaupun anda tewas, namun anda mempunyai prinsip dan prinsip itu berjaya anda tegakkan pada mesyuarat itu baru-baru ini. Hal itu tidak boleh disangkal lagi. Ia adalah sesuatu yang benar-benar wujud. Bagi saya, Mukhriz adalah seorang yang berpegang kuat kepada prinsip perjuangan walaupun saya bukanlah ahli Pemuda UMNO. Beliau mewarisi sikap bapanya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa berpegang kuat pada prinsip dalam meniti kehidupannya sehingga kini. UMNO memerlukan kepimpinan seperti Mukhriz. UMNO tidak memerlukan pemimpin yang berapi-api bercakap soal membasmi politik wang tetapi wang bertaburan di sana sini. Pemimpin seperti itu boleh menjual parti dan tidak mustahil boleh menjual negara.

Maka, keputusan pemilihan Mukhriz oleh Pemuda UMNO Kuala Nerus yang dicetuskan Fauzi dan Che Mansor itu tadi adalah sesuatu yang kuat dan menarik. Saya percaya, Mukhriz pun tidak percaya beliau mendapat pencalonan di bahagian itu. Dengar kata menggelabah orang KJ pada mesyuarat bahagian itu. Mesti ada sebab mengapa menggelabah. Mereka sahaja yang mampu memberikan jawapannya.

Pemuda Kuala Nerus sebenarnya masih kekurangan tenaga muda yang berwibawa bagi memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Saya tidak nampak mengapa Che Mansor ditolak oleh perwakilan. Mungkin juga kerana beliau bukan seorang kontraktor atau bagaimana?. Malang sekali, perwakilan telah memilih calon yang tepat dengan menyokong Mukhriz tetapi mereka gagal dalam memilih calon yang benar-benar berwibawa bagi memimpin mereka di Bahagian Kuala Nerus.

Saya tidak kenal sangat Che Mansor tetapi saya sempat beberapa kali berbual dengannya. Saya meneliti falsafah politiknya dan saya percaya beliau adalah seorang yang serius dalam memperkasakan parti. Beliau tidak mencari kepentingan dan berkebolehan. Di atas sifat itu, sata percaya dan yakin alangkah eloknya jika Ketua UMNO Bahagian yang disambung semula perkhidmatannya, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri melantik beliau sebagai Setiausa UMNO Bahagian bagi menggantikan Saudara Ruslan Abdul Rahman yang memenangi jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian. Saya nampak ada kekuatan dan kemampuan pada Che Mansor. Lagi pun, calon yang kalah tetapi berwibawa, jika diberikan tempat, ia mampu menyumbang kepada keutuhan dan kekuatan parti. Saya percaya dan yakin mengenainya.
Hanya itu pandangan saya.

Rabu, 5 November 2008

Man Bakar, McCain dan Marang

“Saya baru menelefon Obama untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangan dan ia merupakan satu kemahuan rakyat demi negara Amerika yang bertuah. Saya menerima kekalahan ini dengan terbuka”, demikian antara kata-kata calon Presiden Amerika, John McCain dari Parlimen Repbulikan yang tewas di tangan calon Parti Demokrat, Barack Obama semalam.

Mengapa saya mengambil petikan ini. Jawatan yang dipertandingkan itu adalah amat besar yang menentukan manusia yang mampu menguasai dunia. Ia bukan mudah dan bukan hal yang remeh. Jika kalah, ia tentunya menjadi satu tekanan dan beban yang dahsyat. Tapi apakah McCain begitu?. Yang peliknya ialah orang kita. Bertanding berebut jawatan Ketua Bahagian pun bercakaran. Yang kalah, tak mahu terima kekalahan, malah menyokong lawannya dipecat sebagai Exco. Apa ni!. Apa yang saya maksudkan tentunya UMNO di Bahagian Marang, Terengganu. YB Yahya Khatib dikatakan akan digugurkan sebagai exco kerajaan negeri kerana melanggar arahan MB, Datuk Ahmad Said agar jangan menentang Ketua Bahagian pada pemilihan parti baru-baru ini. Pada pemilihan itu, penyandang jawatan, Senator Datuk Rahman Bakar hanya mendapat 214 undi berbanding YB Yahya Khatib yang memperolehi 412.

Yang mahu digugurkan sudahlah menjadi satu isu, yang Man Bakar pula syok aja dalam kenyataannya kepada Sinar Harian dengan menyokong hasrat MB itu. Jadi, di mana nilai moralnya. Pandangan peribadi saya, Man Bakar sudah tidak relevan lagi di Marang dan beliau mestilah menerima hakikat bahawa masyarakat UMNO di Marang menolak beliau. Itulah hakikatnya. Beliau pun kawan saya tetapi saya tidak boleh membohongi diri saya dengan menulis sesuatu yang tidak benar. Saya masih ingat sehari sebelum Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan nama calon PRU-12 di Mercang. Dengan nada berapi-api Man Bakar kata dia sanggup berhadapan jika tidak dipilih semula sebagai calon dan berikrar akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada calon yang dipilih. Man Bakar memang hadir pada hari penamaan calon apabila beliau tidak disenaraikan tetapi menurut Naib Ketua UMNO Marang, Haji Razali Idris, Man Bakar tidak turun bantu berkempen padahal dia Ketua Bahagian. Man Bakar juga kata Razali tidak mengadakan sebarang mesyuarat bagi meneliti dan mengkaji strategi kempen parti pada PRU-12. Semuanya kalut sedangkan janji sebelum itu lain.

Lebih memalukan ialah kes di Cawangan Kedai Buluh. Orang Marang semua tahu kes itu. Malu!.

Sebab itu saya petik kata-kata McCain. Man Bakar perlu contohi mat salleh itu yang gentlemen berhadapan dengan kekalahan. McCain tidak pun suruh Obama dihukum atau sebagainya. Malah beliau menelefon Obama untuk ucapkan tahniah. McCain tak kerah penyokongnya supaya membenci Obama. Malah beliau akan memberikan sokongan serta kerjasa sebaik mungkin demi negaranya. Jadi, apa salahnya jika Man Bakar buat begitu. Terima kekalahan dan akur dengan kehendak akar umbi parti. Kalau tidak puas hati, ada caranya dalam menangani masalah yang berlaku. Bukannya seperti hari ini.

Akar umbi di Marang sudah buat perubahan. UMNO Marang sekarang berada dalam kekuatan. Tengoklah nanti dalam PRU-13. Walaupun mungkin akan berlaku cah keting akibat pemilihan ini, namun manusia pengkhianat terhadap parti parti akan terus dipinggirkan. Orang Marang tidak bodoh. Mereka tahu BN boleh menang di Marang dan kali ini mesej mereka melalui mesyuarat UMNO Bahagian baru-baru ini bahawa mereka mahukan perubahan. Dan, perubahan itu datang secara total.

Terimalah kekalahan kerana kekalahan selalunya berpunca daripada kelemahan. Semaklah di mana kelemahan, demokrasi membenarkan kita mencubanya semula dalam tempoh yang betul. Itu yang wajar difahami.

Fikirkanlah apa yang saya tuliskan.

Isnin, 3 November 2008

KEMELUT, MELALUT DAN TERLUCUT

Sedihnya ... kerana apakah tindakan ini berlaku?. Faham-faham sajalah.

Jika anda teliti terhadap gambar yang saya paparkan di atas, secara jujur, adakah anda tidak merasa malu, meluat, sakit hati dan terasa bodoh?. Mengapa ia dilakukan dan berlaku?. Untuk apa ia dilakukan dan berlaku?. Anda jawablah sendiri.

Kalau bercakap mengenai UMNO hari ini, boleh pening dibuatnya. Semua itu angkara manusia yang berkepentingan dalam parti keramat itu. Usahlah cakaplah soal perjuangan bangsa dan negara, semua otu karut belaka. Macam saya pernah catatkan, orang UMNO suka mereka menang dalam parti walaupun kalah dalam pilihan raya. Itulah sifir puak-puak dalam UMNO hari ini. Maka, anda lihatlah apa yang sedang berlaku.

Di Terengganu pun sama. Ini timbul pula isu nak pecat exco. Dulu kemelut nak lantik MB, lepas itu kes kereta mercedes dan sekarang isu pecat exco pula. Apa ni!. Negeri macamana?. Ada perubahan ke selepas PRU-12/2008 yang lalu di Terengganu. Apakah perubahan besar yang dibuat selepas BN menang PRU-11/2004 disambung semula. Kita ini negeri apa?. Patut ke kita berpolemik sepanjang masa?. Bagi mereka yang berkepentingan, tak kiralah apa pun kepentingannya, mereka tidak kisah sangat. Tapi sebagai rakyat Terengganu saya takut dengan apa yang berlaku. Kalau berdasarkan pada cara, saya nampak orang UMNO Terengganu hari ini semacam sanggup serahkan kuasa kepada Pas sekali lagi pada PRU akan datang. Masing-masing nak tunjuk kuasa. Kuasa itu siapa yang beri?. Ingat, kuasa orang politik diberikan rakyat. Sesiapa yang mengkhianati rakyat, padah akibatnya. Sungguh!.

Saya nampak apa yang berlaku hari ini, seperti adanya sifat membelakangkan kuasa pemberian rakyat. Buruk padahnya. Ingat, buruk padahnya.

Kemelut UMNO Marang pasti akan menyaksikan sesuatu yang tidak ingin kita lihat. Ia akan mencetuskan sesuatu yang tidak mampu saya tuliskan di sini. Anda tunggu dan lihatlah nanti. Apa yang pasti, ia akan terus mengundang kepada kelemahan UMNO itu sendiri. Inilah akibatnya apabila yang menang mahu menang selama-lamanya. Yang kalah, enggan menerima hakikat bahawa kepimpinannya telah ditolak. Pemimpin yang baik, apabila kalah, dia tahu bermuhasabah diri, bukannya cari pasal dengan menghru-harakan lagi keadaan. Yang telah menjadi pemimpin, mereka mahu memimpin sampai ke liang lahad walaupun kepimpinannya sudah tidak berguna lagi. Itu cara orang politik, termasuk di Terengganu.

Ada yang kalah dalam pilihan raya tetapi masih mahu bertanding jawatan dalam parti. Nak apa lagi?. Tapi begitulah bodohnya sebahagian ramai orang UMNO. Tengok macamana mereka sendiri berkata, Khairy Jamaluddin (KJ) menjadi perosak UMNO. Hari ini, KJ mendapat sokongan yang kuat. Mengapa?. Orang UMNO pasti ada jawapannya. Kerana partikah mereka memilih?. Begitu juga di Terengganu. Orang UMNO di Terengganu telah memilih pemimpinnya secara salah. Apabila suatu hari nanti UMNO hilang kuasa atau kalah dalam PRU, maka mereka mahu menyalahkan pemimpin. Pemimpin itu siapa pilih. Tak mereka yang pilih?.

Belajarlah dari kesilapan. Mereka yang mengulangi kesilapan, jangan mimpi mereka akan terlepas daripada hukuman. Dan bagi mereka yang merasakan dirinya sentiasa menang, jangan lupa kata-kata sendiri bahawa dunia ini ibarat roda yang berputar. Lihatlah nanti.

Ahad, 2 November 2008

PECAT, TERPECAT DAN MELUAT



Salam blogger...

Apa sudah Jadi dengan UMNO Terengganu. Itu hal yang sentiasa bermain di fikiran rakyat. Bagi pemimpin UMNO, "peperangan" sesama mereka adalah biasa tetapi tanpa mereka sedar, rakyat memerhati mereka dengan penuh rasa meluat dan benci. Paling sakit hati bila pemimpin UMNO berlagak seolah-olah mereka didokongi parti yang kuat. Sejarah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-10 (1999) sudah dilupakan sekelip mata. Pendek kata, mereka semua lupa sejarah dan daratan. Adakah UMNO Terengganu fikir bahawa mereka tidak mampu dikalahkan lagi selepas ini?. Sebagai pengalisis politik, saya naik mali melihat gelagat pemimpin UMNO. Mereka bercakap soal amanah rakyat tetapi apa yang mereka buat?.

Ini pula, timbul cerita MB akan pecat exco kerajaan negeri, YB Yahya Khatib Mohamad kerana mengingkari arahan beliau agar ahli exco tidak melawan Ketua Bahagian dalam pemilihan parti yang berlangsung sekarang. MB kata, dia ada hak untuk lantik dan pecat exco (Yang beliau maksudkan ialah melakukan rombakan). Saya pun tak faham dengan sifir politik seperti ini. Bagi saya, yang menang telah menang dan ia wajar diterima dengan hati terbuka. Tindakan jika diambil sebelum sesuatu itu berlaku, ia mungkin menguntungkan. Namun jika ia dilakukan sebaliknya, dikhuatiri kerugian pulalah yang akan ditanggung. Apa yang saya maksudkan, bukan apa yang pemimpin UMNO tanggung. Jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan termasuk jatuhnya semula kerajaan BN, yang derita ialah rakyat sendiri. Jangan lupa sejarah Pas merantai pintu balai raya dan tak beri ruang orang UMNO menggunakan segala kemudahan.

Saya berpendapat (Maaflah jika pendapat ini menyinggung perasaan mana-mana pihak), proses pemulihan UMNO (dalam konteks Terengganu) perlu dilakukan dengan bijak. Apa yang hendak saya sampaikan ialah, pemimpin parti di peringkat bahagian sepatutnya dipilih di kalangan wakil rakyat kerana pada hemat saya, mereka bukan sahaja telah diterima oleh ahli parti tetapi juga rakyat selaku pengundi. Jika UMNO memilih pemimpin parti bukan di kalangan wakil rakyat (Mungkin yang telah tewas pada pilihan raya atau tidak dipilih semula di atas penilaian-penilaian tertentu), maka ia amat tidak wajar.

Pemimpin itu mungkin mempunyai banyak masa kerana tidak menjadi wakil rakyat tetapi bagi memperkasakan parti, hal itu dilihat tidak relevan. Parti dan kerajaan wajar bergerak serentak. Imej kerajaan akan bererti imej parti dan begitulah sebaliknya. Begitu juga dengan mereka yang telah lama berkhidmat, apatah lagi rekodnya sudah ada kalah dan menang. Bila sudah lama berkhidmat, berilah peluang kepada orang lain pula menjadi pemimpin utama. Ketika mereka bertanding, mereka mahu semua orang menyokongnya tetapi ketika dia tidak terpilih, dia mensabotaj orang lain. Sifir seperti itu akan mengembalikan keputusan yang rugi.

Peliknya orang UMNO ialah apabila sekali dipilih sebagai pemimpin, mereka mahu terus kekal sebagai pemimpin hingga ke liang lahad. Mereka akan melakukan apa sahaja asalkan dia menang jadi pemimpin. Bagi saya, apalah ertinya kita menang dalam parti tetapi kita kalah dalam pilihan raya sehingga kita hilang kuasa.

Itulah senario yang sedang berlaku dalam UMNO sekarang. Kuasa dalam parti adalah yang diutamakan tetapi usaha mengekalkan kuasa dalam negara sebagai kerajaan tidak pun mahu dipandang. Teruknya mereka!.