Ada orang cuba menangguk di air keruh. Itu persepsi saya apabila mendapat tahu ada pihak yang cuba menggambarkan secara negatif mengenai saya terhadap MB Terengganu, Datuk Ahmad Said. Malah ada juga yang cuba mengorek kononnya saya mempunyai sejarah hubungan yang tidak baik dengan MB ketika beliau menjadi exco. Bagi saya, saya tidak sampai ke tahap berfikiran sedemikian. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya bukanlah manusia yang berkepentingan. Maka, di atas dasar itu, saya memberikan pandangan. Bagi saya, mengkritik bukan bermaksud kita menentang. Tidak menyokong sesuatu keputusan, bukan bererti saya bermusuh. Apa yang saya tuliskan mengenai isu-isu politik Terengganu adalah di atas dasar SAYANGKAN MB Terengganu itu. Saya tidak mahu beliau mendapat maklumat yang salah, persepsi yang tidak benar mengenai apa yang berlaku.
Lagi pun, siapalah saya. Saya hanya mampu memberikan pandangan dan selebihnya terpulang kepada penilaian. Saya percaya bahawa jika MB membaca tulisan saya, beliau tidak akan negatif terhadap saya. Saya menyokongnya dan pandangan yang saya berikan itu, walaupun kadangakala seperti menentang arus, namun ia tetap sebagai satu sokongan. Maksudnya, saya tidak mahu MB membuat satu keputusan berasaskan kepada satu persepsi politik sahaja. Apa yang berlaku di bawah juga mestilah diambil kira. Itu maksud saya. Saya juga hanya melahirkan kebimbangan mengenai isu-isu politik semasa yang berlaku. Saya nampak, orang UMNO tidak berminat berfikir mengenai masa depan UMNO. Mereka hanya berminat untuk bergaduh sesama sendiri. Mereka sudah lupa sejarah kekalahan mereka dahulu.
Maka saya berikan pandangan. Sekarang ini saya nampak pasukan MB kita masih belum kuat dan sesuatu perlu dilakukan bagi memperkuatkan pasukan itu. Saya bersedia membantu kerana itu memang kerja saya pun sebelum ini. Saya sayangkan negeri saya dan sayangkan pemimpin negeri saya. Saya tidak mahu beliau hanyut dengan pandangan politik semata-mata. Maka apabila saya mempunyai ruang melalui laman ini, maka saya berikan pandangan ini. Jika ia boleh dipakai, maka pakailah jika ia mempunyai kebaikan. Dan, jika ia sebaliknya, biarkan saja ia berlalu.
Sekarang ini ramai sangat yang suka mengampu. Itu yang bahaya itu. Tak kiralah siapa mereka. Sama ada orang politik atau pegawai kerajaan, ramai yang mengampu. Biasanya yang diampu boleh lemas dibuatnya. Itu yang kita takut.
Jadi, janganlah ada yang negatif dengan apa yang saya catatkan. Jangan terlalu cepat melenting dan membuat andaian semata-mata. Jangan membuat tuduhan atau cuba menggambarkan bahawa saya tidak sehaluan dengan MB Terengganu. Saya adalah insan kerdil dan melalui tulisan saya inilah saya dapat memberikan pandangan mengikut kedudukan saya sekarang. Saya berharap, akan ada sesuatu kebaikan yang mampu dikutip. Jika tidak banyak pun, sedikit pun sudah memadai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan