Gembira saya dapat teruskan menulis di laman ini, berkongsi pandangan serta apa yang ada di fikiran. Selalunya apa yang ada di fikiran kita tidak sama dengan apa yang ada di fikiran orang lain. Maka, jika kita tahu membancuhnya, hasil yang diperolehi pastinya hebat sekali. Politik pun begitu. Ia memerlukan bancuhan, kreativiti dan ketajaman berfikir dalam mengatur serta menyusun strategi.
Politik Terengganu sendiri amat menarik, sarat dengan ilmu serta sesuatu yang penting untuk dipelajari sifirnya. Daripada sebuah kerajaan yang menang, BN kalah mengejut di tangan Pas pada PRU-1999. Namun pada tahun 2004, BN bangkit semula dan berjaya merampas Terengganu sehinggalah sekarang. Iklim politik di Terengganu juga berbeza. Sebagai seorang penganalisis politik, saya tidak pernah takut memberikan pandangan saya.
Saya sedar ada persepsi tertentu kononnya saya ini orang DS Idris Jusoh dan merupakan seorang yang amat taksub kepada beliau. Bagi saya, tidak ada istilah itu dalam hidup saya. Saya tidak taksub kepada sesiapa dan saya juga bukan manusia yang mempunyai ketua dalam berpolitik. Maksudnya, setiap pandangan yang saya berikan tidak berasaskan kepada ketua politik. Ia berasaskan analisa dan penelitian saya sendiri sebagai seorang wartawan. Dan, saya gembira apabila tidak ramai wartawan yang minat politik secara mendalam seperti saya. Ketua saya ialah diri saya. Di zaman pemerintahan DS Idris Jusoh, saya juga mengkritik beliau. Malah pernah satu ketika, ramai exco kerajaan negeri pada waktu itu menelefon saya kerana saya pernah mengkritik DS Idris dengan kerasnya.
Mengapa saya mengkritik?. Saya sebenarnya memberikan pandangan dan yang marah itu tidak menerima teguran. Dan sekarang apabila Datuk Ahmad Said menjadi MB, ada persepsi bahawa saya tidak baik dengan beliau. Dahulu ketika saya bertugas di Kemaman, saya akui bahawa saya menulis pelbagai isu yang berkaitan dengan beliau. Tapi semua itu saya tulis berasaskan kepada profesionalisme saya sebagai wartawan yang menemui rakyat dan sebagainya. Saya tidak mendapat imbuhan di sebalik apa yang saya tuliskan. Semuanya demi masyarakat. Dan, walaupun ada persepsi negatif mengenai saya pada waktu itu kononnya saya berkonfrantasi dengan Datuk Ahmad Said, itu tidak benar.
Saya kenal MB sebagai seorang yang keras tetapi saya kena akui bahawa beliau ada sifat lembutnya. Sebenarnya pada waktu itu, Datuk Ahmad Said tidak memarahi saya tetapi ia sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tertentu untuk melagakan saya. Saya juta bukan manusia yang mempunyai agenda. Kalau saya manusia begitu, sekarang ini saya sudah hidup senang lenang. Tapi hakikatnya saya menulis hanya sebagai tugas saya.
Bagi saya, tidak ada ketua di dalam diri saya. Ketua saya ialah saya sendiri. Saya sendiri yang membuat rumusan dan saya sendiri yang fikirkan apa yang perlu. Dan, apabila Datuk Ahmad menjadi MB, saya menyokong beliau. Dan, apa yang saya tuliskan adalah kerana tidak mahu ada persepsi negatif terhadap beliau. Secara jujur saya melihat, rakyat Terengganu bagaikan sudah lupa dengan era DS Idris Jusoh. Dan, fokus mereka kini ialah kepada kepimpinan sekarang. Dan, kerana itu, perlu ada satu gerakan yang serius dalam memastikan kepimpinan sekarang dilihat positif oleh rakyat dan diterima sebagai satu petanda perubahan yang sihat. Bagaimana caranya?. Adalah. Takkan kena tulis di sini.
Saya fikir, perlu ada sesuatu gerakan secara serius sekarang. Kena gerakan. Politik kadangkala tidak memerlukan modal yang besar untuk dilihat hebat. Ada waktunya, ia memadai dengan personaliti. Saya sangat tertarik dengan konsep menjual personaliti. Akhirnya kerajaan atau parti itu akan dilihat hebat. Saya pernah katakan hal ini kepada DS Idris Jusoh dahulu.
Lihat bagaimana pemimpin Pas menjual personaliti mereka. DS Anwar Ibrahim dan ramai lagi. Adakah parti mereka hebat?. Kalau nak cakap soal moral, ia sudah tentu menjijikkan tetapi mengapa mereka dilihat hebat. Mereka menjual personaliti kepada khalayak politik secara berkesan.
Itu yang mahu saya lihat. Kita tidak boleh terdiam terlalu lama. Saya bimbang ada persepsi negatif pula dan akhirnya yang rugi ialah parti kita sendiri.
Jadi, saya mengharapkan agar kerajaan Terengganu melakukan sesuatu. Jangan biarkan dalam keadaan sekarang. MB tidak mampu memikirkan semuanya. Pegawai-pegawainyalah yang mesti bergerak dan merancang hal tersebut. Ingat, PRU ke-13 tiba-tiba akan menjengah tanpa kita sedar. Kita kena bersedia. Semoga apa yang saya catatkan ini akan membuatkan kita semua berfikir. Berfikir untuk kebaikan dan bukannya mencari kelemahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan