Ahad, 23 November 2008

RETREAT JANGAN JADI RETORIK


Assalamualaikum dan salam bloger ...

Pertama kali selepas selesainya pemilihan di peringkat bahagian, UMNO Terengganu bakal mengadakan retreat di puncak yang dinging, Genting Highland beberapa hari lagi. Pentingnya retreat ini sudah tentu bagi memastikan segala kelemahan di sepanjang kempen pada pemilihan parti tempoh hari dapat diperkuatkan semula. Apa pentingnya retreat. Jika sekadar mengajak ahli berkumpul dan kemudiannya menghabiskan masa dengan perbincangan yang tidak diterjemahkan dengan tindakan, maka retreat akan menjadi retorik.

Sebagai pengalisis politik, saya amat optimis bahawa Badan Perhubungan UMNO menganjurkan retreat kali ini bagi memperkuatkan semula parti akibat atau kesan daripada pemilihan yang berlaku pada musim pemilihan. Sama ada kita suka atau sebaliknya, pertandingan di peringkat bahagian baru-baru ini tetapi mempunyai impaknya yang tersendiri. Sama terhadap pemimpin parti atau tubuh parti UMNO itu sendiri.

Jika berasaskan retreat yang pernah diadakan sebelum ini, ia banyak membuang masa serta tidak banyak membantu memperkasakan parti dan jenteranya. Retreat jika berasaskan kepada sebuah parti yang menjadi tunjang pemerintahan di negara dan negeri ini sudah tentu melibatkan satu agenda yang besar. Ia tidak boleh dipandang remeh. Maka, setiap peserta mestilah berani melontarkan pandangan yang menguntungkan parti. Manakala, mereka yang dilemparkan kritikan serta teguran mestilah berani menerimanya dengan hati yang terbuka.

Saya menyokong penuh usaha atau insiatif Badan Perhubungan UMNO yang mahu mengadakan retreat. Namun, kebimbangan saya tetap ada. Kebimbangan itu tentu sekali kerana saya sayangkan UMNO. Saya bimbang, ahli UMNO gagal bermuhasabah diri dengan sebaik mungkin disebabkan mood pemilihan yang masih tebal. Bagi mereka yang menang, mungkin akan lebih sedap bercakap tetapi bagaimana pula mereka mampu menjaga hati mereka yang kalah?. Sejauh mana yang menang itu mampu bertindak secara bijak berasaskan tanggungjawab yang jujur dan benar terhadap parti tanpa bersifat balas dendam?. Dan, adakah hasil retreat itu nanti bakal mengundang kesanggupan pemimpin UMNO sama ada di peringkat bahagian atau lebih tinggi merombak semula keputusan yang sudah dibuat?.

Kita tidak boleh menyatakan bahawa apa yang telah diputuskan sebelum ini sebagai betul demi parti dan mungkin ada keperluan yang mampu menyebabkan kita mengubahnya semula. Jika kita bercakap soal pentingkat parti, ia wajar diterjemahkan dengan sifat yang terpuji. Retreat adalah satu medan untuk kita bermuhasabah diri. Mencari kelemahan dan akur dengan apa yang diputuskan. UMNO sememangnya sebuah parti yang kaya tetapi jika kekayaan itu hanya sekadar untuk menghabiskan masa dengan makan angin di puncak yang dingin, ia tidak mempunyai nilai apa-apa pun.

Jika retreat hanya sekadar bercakap di pentas dengan ucapan berapi-api tentang bagaimana kita mesti memperkasa dan memperkuatkan parti sedangkan tindakan di luar litar retreat sendiri tidak menggambarkan hal serupa, maka di manakah pengertian retreat. Saya tidak mahu membuat penilaian awal mengenai hal tersebut. Namun, pada kebiasaannya, memang begitulah. Saya optimis bahawa UMNO di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said mempunyai strategi yang berbeza. Ada kekuatan baru yang bakal dibentuk. Itulah yang wajar diberikan perhatian.

Jika berkesempatan, saya juga akan ke sana. Sekurang-kurangnya, ia akan mengajarkan saya pengertian retreat tersebut.

Semua orang mahu melihat UMNO itu kuat. Saya pun begitu. Jadi, adakah kita bersifat ke arah tersebut. Cuma, sekali lagi saya mahu mengajak mereka yang bakal menyertai retreat kali ini agar tidak sekadar menjadikan retreat menjadi retorik.

Bersatulah ahli UMNO demi parti yang tercinta ini.

Tiada ulasan: