Jumaat, 11 September 2009

ITULAH UMNO

Salam Ramadan,

Kemelut politik di Terengganu masih belum reda. Ia masih panas diperkatakan dan tidak kurang pula pelbagai spekulasi mengenai pelbagai peristiwa sedang tersebar luas sekarang ini. Bagi rakyat bawahan, mereka sudah naik meluat dan muak dengan apa yang berlaku. Entahlah, tidak tahu bilakah masalah ini akan selesai. Belum ada tanda-tanda ia akan reda dan selesai agaknya. Ikut dialah!.

Dulu ketika BN baharu sahaja menang di Terengganu pada 2004, saya ada menyatakan kepada seseorang yang juga tokoh penting UMNO bahawa orang UMNO tidak akan insaf lama dengan kekalahan yang mereka lalui pada 1999 hingga 2004. Sebabnya politik itu satu permainan sahaja bagi mereka. Pemimpin UMNO kurang memperdulikan rakyat bawahan dan membiarkan mereka yang bekerja keras untuk kemenangan mereka. Mereka sangka, mereka menang kerana kuasa ghaib sedangkan hakikat rakyatlah, ahli UMNOlah yang memenangkan mereka.

Jadi, bukan sesuatu yang menjanggalkan kalau mereka bergaduh lagi dalam penggal kedua kemenangan mereka ini. Maka berlakulah apa yang dinamakan “Kem Ahmad Said” dan “Kem Idris Jusoh” sekarang ini. Bertembunglah dua kelompok ini sedangkan musuh sebenar mereka iaitu Pas tidak langsung diusik. Bukankah ini politik yang bodoh!.

Kemelut politik di Terengganu ada jalan penyelesaiannya tetapi pihak berkaitan enggan melalui jalan tersebut. Mereka ada pilihan tetapi mereka lebih selesa memilih jalan “keras keng” dalam menangani kemelut politik Terengganu. Jadi, sampai bila-bila pun tak akan selesai masalah ini.

Saya sedih dengan pertembungan ini kerana yang rugi ialah UMNO. Semua pihak termasuk pegawai-pegawai kumpulan ini mesti matang dan bijak. Ini tidak. Apa yang saya lihat ada pegawai yang kerjanya menulis blog dan mengkritik serta menghentam puak satu lagi yang juga UMNO. Saya pun tak faham mengapa pegawai berkenaan berbuat demikian. Mungkin dia hendak pertahankan bos dia tetapi dia lupa bahawa tulisannya merosakkan UMNO.

Dia tidak mengganyang dan menyerang Pas tetapi menghentam sesame UMNO. Kena ada sikap, buruk baik pun, orang UMNO mesti dipertahankan termasuk MB sendiri.

Saya pun malas nak tulis lebih-lebih sebab nanti orang akan kata macam-macam pula termasuk menyekat itu dan ini. Biasalah!.

Tiada ulasan: