Jumaat, 30 Januari 2009

UMNO DAN PERUBAHAN ... BILA?


Salam politik kepada semua blogger ...

Pelbagai reaksi telah dilontarkan terhadap saranan Ketua UMNO Bahagian Besut, DS Idris Jusoh agar jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden diselesaikan secara kompromi dalam keadaan parti yang sedang berhadapan dengan cabaran yang getir sekarang. Cadangan DS Idris Jusoh - seorang pemimpin yang tidak boleh dinafikan sumbangan besarnya dalam mengembalikan Terengganu ke tangan BN pada PRU 2004 sebenarnya amat sarat dengan kejujuran demi melihat UMNO dan BN tidak berhadapan dengan kehancuran melalui apa yang dinamakan sebagai hukuman daripada rakyat.

Saya membaca dengan amat sinis komen dan reaksi dua calon Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Muhammad Taib dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai saranan DS Idris Jusoh itu. Kedua-duanya dengan jengkelnya berkata, mereka tidak akan berkompromi bagi jawatan tersebut dan biarlah orang lain mungkin bersetuju. Mengapa mereka ini semacam melatah sedangkan DS Idris Jusoh bukan menyuruh mereka agar memberikan laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu seorang lain calon Timbalan Presiden UMNO. Apa yang saya faham, saranan DS Idris Jusoh itu ialah biar semua pemimpin UMNO berkaitan duduk semeja dan mencari formula terbaik dalam memilih pemimpin secara muktamad tanpa melalui proses pemilihan.

Walaupun mungkin saranan DS Idris Jusoh itu agak "terlewat" kerana hal itu mungkin lebih afdal jika diserukan ketika proses pencalonan sedang berlangsung, namun di atas sifat, pengorbanan dan demi parti, segala-galanya adalah satu kemungkinan. KITA BOLEH JIKA KITA MAHU.

Saya malu dengan pemimpin yang selama ini bercakap soal perjuangan, pengorbanan untuk parti, demi parti dan bekerja kerana parti tetapi apabila tiba saat yang menuntut mereka berbuat demikian, tiada kesanggupan. Inilah tabiat buruk lagi jijik masyarakat UMNO (bukan semua) yang sanggup parti tergadai asalkan mereka mencapai matlamat untuk bertanding. mengapa DS Ali Rustam terlalu awal menolak saranan itu dan adakah beliau akan rugi jika berkompromi sedangkan beliau sudah menjadi Ketua Menteri Melaka?. Begitu juga dengan TS Muhamad Muhd Taib. mengapa... mengapa... mengapa.

Sayangkah mereka kepada UMNO?. Anda nilailah sendiri. Saya mengulas membabitkan dua calon Timbalan Presiden bukan bermaksud saya menyokong TS Muhyiddin (Lagi pun, saya bukan perwakilan UMNO) tetapi mereka berdua telah memberikan reaksi awal mereka.

Saya sangat optimis, bahawa jika pemimpin UMNO tidak sanggup berkorban di kala ini, mereka akan menerima padahnya. Rakyat Malaysia yang mengundi pembangkang pada setiap kali pilihan raya bukanlah kerana mereka percaya dengan PAS, DAP, PKR dan seangkatan dengan mereka tetapi rakyat meluat dan jeluak melihat perangai serta karenah pemimpin UMNO. Maafkan saya, dalam keadaan tertentu, mereka bagaikan lupa daratan dan lupa mengenai keadaan, nafas dan tahap kekuatan parti. Apa yang ada di otak mereka ialah bertanding, berebut jawatan di dalam parti dan menang biarpun nanti parti kalah dalam pilihan raya.

Maka tidak syak lagi, UMNO kena lakukan satu tindakan yang drastik mencari punca mengapa jawatan dalam parti menjadi rebutan. Hakikatnya, manusia menjadi alpa, gila dan hilang akal kerana habuan. Yang orang ramai tahu, pemimpin UMNO terlalu banyak diberikan kuasa dalam banyak hal bermula di peringkat cawangan, bahagian dan ke atas. Kerana kuasa itulah manusia UMNO berebut jawatan. Kalau hanya sekadar mahu menjadi pemimpin dan berjuang demi parti, soal kompromi bukan lagi menjadi satu masalah atau isu.

UMNO mesti menyemak hal ini.

Rabu, 21 Januari 2009

NILAI SATU KEKALAHAN

Salam Bloger ...

Sudah agak lama saya tidak mencatatkan sesuatu di sini, sama ada mengenai sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu atau yang berkaitan dengannya. Terdapat beberapa sebab mengapa saya tidak berbuat demikian. Ia termasuklah kerana jadual kerja pilihan raya yang agak ketat selain saya hanya mahu menunggu dan melihat apakah yang akan berlaku seterusnya. Dan, faktor paling ketara ialah apabila sistem pada komputer riba saya tidak berfungsi dengan baik.

Selepas hampir seminggu PRK Kuala Terengganu berlalu, sekian banyak bloggers telah pun membuat rumusan mengenainya. Punca kekalahan dan mengapa Pas mampu mencapai kemenangan besar sehingga melebihi 2,500 majoriti antara hal yang menjadi fokus banyak pihak yang berminat. Bagi saya, kekalahan BN di Kuala Terengganu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Parlimen Kuala Terengganu sendiri tidak boleh dilabelkan sebagai kawasan selamat bagi BN. Allahyarham Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti tipis disebabkan bantuan hayat daripada undi pos. Itu satu hakikat.

Pun begitu, bukan satu masalah bagi BN untuk menang pada pilihan raya itu walaupun sifir, geografi politik dan iklimnya sangat berbeza.

Ramai yang bertanya saya, apakah pandangan saya mengenai keputusan PRK itu. Rumusan saya mudah:

"Kita sudah melihat dengan jelas jalan kemenangan, namun kita secara terus-terang dan terbuka memilih jalan untuk kalah. Pas tidak menambah kekuatan berdasarkan undi yang mereka perolehi tetapi undi UMNO yang memberikan kemenangan kepada Pas,".

Ada banyak sebab mengapa saya mengatakan sedemikian, namun maafkan saya kerana saya tidak berminat untuk merumuskan secara terbuka dan terperinci di ruangan yang terbuka. Cuma bagi saya, kekalahan itu bukanlah bermaksud BN atau UMNO sudah tidak relevan. Namun, apa yang berlaku itu membuktikan bahawa masyarakat UMNO itu sendiri tidak pernah insaf, sedar atau dalam maksud yang lain, mereka mudah lupa terhadap sejarah.

Hakikatnya, merekalah yang memberikan undi kepada Pas sehingga parti pembangkang itu berjaya menawan Terengganu pada PRU-1999 dan akibatnya, penderitaan yang ditanggung rakyat amat tidak terperi beratnya. Mereka tahu, sedar dan melalui pengalaman pahit itu tetapi selepas mencapai kemenangan, sejarah itu luput sehingga ke hari ini. Justeru, perjuangan masyarakat UMNO sudah hilang rohnya, kekuatannya entah ke mana, semangat mempertahankan parti kian layu dan misi mencapai kemenangan hanya dipandang sebelah mata. Jangan kata Pas itu kuat kerana mereka tidak pernah bersifat sedemikian.

Mat rempit yang berararak mengelilingi bandaraya Kuala Terengganu pada malam keputusan pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan kayu ukur berguna bagi menggambarkan orang muda menyokong Pas. Sebabnya, jika BN menang pada PRK itu, mat rempit yang sama akan berarak membawa bendera BN atau UMNO.

Apa yang UMNO/BN perlu lakukan ialah menghidupkan semula semangat kejujuran dalam perjuangan. Saya melihat, nilai kejujuran kian terhakis dengan teruknya. Maksud saya, analisan, rumusan dan hasil kajian yang dibuat tidak dibentangkan dengan jujur. Ditambah pula dengan sifat pemimpin yang enggan menerima kritikan dan teguran. Saya optimis bahawa jika pemimpin UMNO/BN kembali kepada sifat terbuka, jujur menerima pandangan dan kritikan serta bersedia melakukan perubahan, tidak ada sebab mengapa BN tidak boleh mencapai kemenangan yang besar pada PRU-13.

Masalahnya, fokus terhadap kekuatan parti sudah mulai surut disebabkan tumpuan yang melampau terhadap keghairahan mendapatkan projek dan faedah diri selain mengejar kedudukan di dalam parti biarlah hilang kuasa dalam pilihan raya.

UMNO/BN akan berjaya semula jika masyarakatnya berani berubah. Tiada jalan lain lagi. Jika mereka terus kekal dengan apa yang ada sekarang, BN akan menjadi mangsa keadaan disebabkan sifat masyarakatnya sendiri. Jasa parti keramat itu sejak sebelum merdeka akan dilupai dalam sekelip mata.

Bermuahasabahlah, berubahlah, bersikap adillah dan kembalilah kepada semangat UMNO yang sebenarnya.

Hidup UMNO!


Jumaat, 2 Januari 2009

PAS DAN KRISIS DALAMAN

Calon yang diharap bela nasib rakyat .... Wahid Endut Sedang Tidur Ketika Sidang DUN
Salam blogger …

“Orang PAS bukan mengundi kerana calon tetapi mereka mengundi parti yang mereka anggap sebagai perjuangkan Islam dan kalau PAS letak songkok pun sebagai calon, songkok itu akan menang,”.

Ungkapan ini amat sinonim dengan PAS. Namun senario dan persepsi itu kian berubah apabila PAS dikatakan bermasalah dalam pemilihan calon mereka yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini. Apakah pemilihan ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut itu adalah sesuatu yang tepat atau ada sesuatu yang sengaja PAS sembunyikan daripada pengetahuan umum.

Jika ditanya firasat saya, PAS sebenarnya sedang berhadapan dengan masalah dalam yang ketara dan pengumuman Abdul Wahid Endut sebagai calon mereka memperjelaskan lagi apa yang saya maksudkan. Tiada asas kukuh mengapa pemilihan Abdul Wahid dianggap calon terbaik.

Adakah hanya beliau menjadi ADUN selama lima penggal sebagai asasnya seperti kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?. Rekod itu bukan sesuatu yang hebat kerana Wakaf Mempelam adalah kubu tradisi PAS sejak ia ditandingi Datuk Mustafa Ali. Malah, dalam peta politik di Parlimen Kuala Terengganu, Wakaf Mempelam dilihat bagai “terkeluar” daripada perhatian. Dalam keadaan tertentu, Wakaf Mempelam dilupai bahawa ia sebahagian daripada Parlimen Kuala Terengganu. Kedudukan geografi politiknya yang menyebabkan hal itu berlaku.

Persoalannya lagi, apakah jasa Abdul Wahid Endut kepada pengundi Kuala Terengganu. Dia menang di Wakaf Mempelam selama lima penggal bukan kerana dia menjadi wakil rakyat yang baik.

Kemusykilannya ialah, mengapa ADUN Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi tidak dipilih sedangkan beliau adalah nama paling popular yang disebut-sebut semua orang. Malah, kedengaran suara orang UMNO sendiri bahawa BN akan berhadapan dengan laluan sukar jika Syed Azman bertanding di situ. Namun, PAS mungkin menyifatkan apa yang didengar itu sebagai “perangkap politik” UMNO, lalu mereka mengubah strategi. Saya tidak nampak strategi itu berkesan bagi PAS. Andaian saya, Presiden PAS mahu menjelaskan kepada ahli-ahli PAS bahawa pemimpin pro ulama di dalam PAS masih berperanan.

Ke mana perginya nama seorang pensyarah dan seorang tokoh korporat yang diwar-warkan. Mungkin disebabkan mereka bukan golongan yang pro ulama, maka tidak terlekatlah nama mereka.

Ia sekaligus mahu menafikan golongan sekular di dalam PAS yang pro Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dikaitkan dengan usaha untuk menguasai PAS. Haji hadi sudah mengesan hal tersebut dan saya fikir berasaskan kepada hal itu, maka Abdul Wahid dipilih sebagai calon. Sepatutnya Haji Hadi memilih ayam tambatannya, Datuk Mustafa Ali, namun disebabkan Mustafa tidak disenangi oleh kebanyakan ahli dan penyokong PAS, maka hasrat itu dipendamkan.

Saya tidak pernah melihat begitu sukar PAS mahu mengemukakan calon mereka dalam pilihan raya selain di Parlimen Kuala Terengganu. Walaupun Timbalan Presiden PAS sendiri memaklumkan bahawa calon mereka akan diumum lebih awal, namun tarikh itu ditunda kepada 1 Januari 2009. Apa pun alasannya, ia tidak mampu memadamkan andaian dan persepsi terhadap PAS.

Umum mengetahui bahawa PAS sedang berhadapan dengan pelbagai masalah dengan parti sekutu dalam Pakatan Rakyat. Yang selebihnya anda tafsirlah sendiri.

Kini saya berpendapat, peluang BN menang makin cerah. Orang PAS sendiri sudah boleh membuat penilaian. Macam yang pernah saya tulis dulu. Mereka ini manusia macam orang UMNO juga. Ada naluri politik dan sebagainya. Jika tersilap memilih calon, maka buruk padahnya.

Saya kurang pasti, apakah muslihat PAS. Namun apa yang saya boleh pastikan, PAS akan menggigit jari dengan calon yang mereka umumkan itu.

Terpulanglah.