Jumaat, 30 Januari 2009

UMNO DAN PERUBAHAN ... BILA?


Salam politik kepada semua blogger ...

Pelbagai reaksi telah dilontarkan terhadap saranan Ketua UMNO Bahagian Besut, DS Idris Jusoh agar jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden diselesaikan secara kompromi dalam keadaan parti yang sedang berhadapan dengan cabaran yang getir sekarang. Cadangan DS Idris Jusoh - seorang pemimpin yang tidak boleh dinafikan sumbangan besarnya dalam mengembalikan Terengganu ke tangan BN pada PRU 2004 sebenarnya amat sarat dengan kejujuran demi melihat UMNO dan BN tidak berhadapan dengan kehancuran melalui apa yang dinamakan sebagai hukuman daripada rakyat.

Saya membaca dengan amat sinis komen dan reaksi dua calon Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Muhammad Taib dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai saranan DS Idris Jusoh itu. Kedua-duanya dengan jengkelnya berkata, mereka tidak akan berkompromi bagi jawatan tersebut dan biarlah orang lain mungkin bersetuju. Mengapa mereka ini semacam melatah sedangkan DS Idris Jusoh bukan menyuruh mereka agar memberikan laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu seorang lain calon Timbalan Presiden UMNO. Apa yang saya faham, saranan DS Idris Jusoh itu ialah biar semua pemimpin UMNO berkaitan duduk semeja dan mencari formula terbaik dalam memilih pemimpin secara muktamad tanpa melalui proses pemilihan.

Walaupun mungkin saranan DS Idris Jusoh itu agak "terlewat" kerana hal itu mungkin lebih afdal jika diserukan ketika proses pencalonan sedang berlangsung, namun di atas sifat, pengorbanan dan demi parti, segala-galanya adalah satu kemungkinan. KITA BOLEH JIKA KITA MAHU.

Saya malu dengan pemimpin yang selama ini bercakap soal perjuangan, pengorbanan untuk parti, demi parti dan bekerja kerana parti tetapi apabila tiba saat yang menuntut mereka berbuat demikian, tiada kesanggupan. Inilah tabiat buruk lagi jijik masyarakat UMNO (bukan semua) yang sanggup parti tergadai asalkan mereka mencapai matlamat untuk bertanding. mengapa DS Ali Rustam terlalu awal menolak saranan itu dan adakah beliau akan rugi jika berkompromi sedangkan beliau sudah menjadi Ketua Menteri Melaka?. Begitu juga dengan TS Muhamad Muhd Taib. mengapa... mengapa... mengapa.

Sayangkah mereka kepada UMNO?. Anda nilailah sendiri. Saya mengulas membabitkan dua calon Timbalan Presiden bukan bermaksud saya menyokong TS Muhyiddin (Lagi pun, saya bukan perwakilan UMNO) tetapi mereka berdua telah memberikan reaksi awal mereka.

Saya sangat optimis, bahawa jika pemimpin UMNO tidak sanggup berkorban di kala ini, mereka akan menerima padahnya. Rakyat Malaysia yang mengundi pembangkang pada setiap kali pilihan raya bukanlah kerana mereka percaya dengan PAS, DAP, PKR dan seangkatan dengan mereka tetapi rakyat meluat dan jeluak melihat perangai serta karenah pemimpin UMNO. Maafkan saya, dalam keadaan tertentu, mereka bagaikan lupa daratan dan lupa mengenai keadaan, nafas dan tahap kekuatan parti. Apa yang ada di otak mereka ialah bertanding, berebut jawatan di dalam parti dan menang biarpun nanti parti kalah dalam pilihan raya.

Maka tidak syak lagi, UMNO kena lakukan satu tindakan yang drastik mencari punca mengapa jawatan dalam parti menjadi rebutan. Hakikatnya, manusia menjadi alpa, gila dan hilang akal kerana habuan. Yang orang ramai tahu, pemimpin UMNO terlalu banyak diberikan kuasa dalam banyak hal bermula di peringkat cawangan, bahagian dan ke atas. Kerana kuasa itulah manusia UMNO berebut jawatan. Kalau hanya sekadar mahu menjadi pemimpin dan berjuang demi parti, soal kompromi bukan lagi menjadi satu masalah atau isu.

UMNO mesti menyemak hal ini.

Tiada ulasan: