Sudah agak lama saya tidak mencatatkan sesuatu di sini, sama ada mengenai sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu atau yang berkaitan dengannya. Terdapat beberapa sebab mengapa saya tidak berbuat demikian. Ia termasuklah kerana jadual kerja pilihan raya yang agak ketat selain saya hanya mahu menunggu dan melihat apakah yang akan berlaku seterusnya. Dan, faktor paling ketara ialah apabila sistem pada komputer riba saya tidak berfungsi dengan baik.
Selepas hampir seminggu PRK Kuala Terengganu berlalu, sekian banyak bloggers telah pun membuat rumusan mengenainya. Punca kekalahan dan mengapa Pas mampu mencapai kemenangan besar sehingga melebihi 2,500 majoriti antara hal yang menjadi fokus banyak pihak yang berminat. Bagi saya, kekalahan BN di Kuala Terengganu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Parlimen Kuala Terengganu sendiri tidak boleh dilabelkan sebagai kawasan selamat bagi BN. Allahyarham Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti tipis disebabkan bantuan hayat daripada undi pos. Itu satu hakikat.
Pun begitu, bukan satu masalah bagi BN untuk menang pada pilihan raya itu walaupun sifir, geografi politik dan iklimnya sangat berbeza.
Ramai yang bertanya saya, apakah pandangan saya mengenai keputusan PRK itu. Rumusan saya mudah:
"Kita sudah melihat dengan jelas jalan kemenangan, namun kita secara terus-terang dan terbuka memilih jalan untuk kalah. Pas tidak menambah kekuatan berdasarkan undi yang mereka perolehi tetapi undi UMNO yang memberikan kemenangan kepada Pas,".
Ada banyak sebab mengapa saya mengatakan sedemikian, namun maafkan saya kerana saya tidak berminat untuk merumuskan secara terbuka dan terperinci di ruangan yang terbuka. Cuma bagi saya, kekalahan itu bukanlah bermaksud BN atau UMNO sudah tidak relevan. Namun, apa yang berlaku itu membuktikan bahawa masyarakat UMNO itu sendiri tidak pernah insaf, sedar atau dalam maksud yang lain, mereka mudah lupa terhadap sejarah.
Hakikatnya, merekalah yang memberikan undi kepada Pas sehingga parti pembangkang itu berjaya menawan Terengganu pada PRU-1999 dan akibatnya, penderitaan yang ditanggung rakyat amat tidak terperi beratnya. Mereka tahu, sedar dan melalui pengalaman pahit itu tetapi selepas mencapai kemenangan, sejarah itu luput sehingga ke hari ini. Justeru, perjuangan masyarakat UMNO sudah hilang rohnya, kekuatannya entah ke mana, semangat mempertahankan parti kian layu dan misi mencapai kemenangan hanya dipandang sebelah mata. Jangan kata Pas itu kuat kerana mereka tidak pernah bersifat sedemikian.
Mat rempit yang berararak mengelilingi bandaraya Kuala Terengganu pada malam keputusan pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan kayu ukur berguna bagi menggambarkan orang muda menyokong Pas. Sebabnya, jika BN menang pada PRK itu, mat rempit yang sama akan berarak membawa bendera BN atau UMNO.
Apa yang UMNO/BN perlu lakukan ialah menghidupkan semula semangat kejujuran dalam perjuangan. Saya melihat, nilai kejujuran kian terhakis dengan teruknya. Maksud saya, analisan, rumusan dan hasil kajian yang dibuat tidak dibentangkan dengan jujur. Ditambah pula dengan sifat pemimpin yang enggan menerima kritikan dan teguran. Saya optimis bahawa jika pemimpin UMNO/BN kembali kepada sifat terbuka, jujur menerima pandangan dan kritikan serta bersedia melakukan perubahan, tidak ada sebab mengapa BN tidak boleh mencapai kemenangan yang besar pada PRU-13.
Masalahnya, fokus terhadap kekuatan parti sudah mulai surut disebabkan tumpuan yang melampau terhadap keghairahan mendapatkan projek dan faedah diri selain mengejar kedudukan di dalam parti biarlah hilang kuasa dalam pilihan raya.
UMNO/BN akan berjaya semula jika masyarakatnya berani berubah. Tiada jalan lain lagi. Jika mereka terus kekal dengan apa yang ada sekarang, BN akan menjadi mangsa keadaan disebabkan sifat masyarakatnya sendiri. Jasa parti keramat itu sejak sebelum merdeka akan dilupai dalam sekelip mata.
Bermuahasabahlah, berubahlah, bersikap adillah dan kembalilah kepada semangat UMNO yang sebenarnya.
1 ulasan:
"Hakikatnya, merekalah yang memberikan undi kepada Pas sehingga parti pembangkang itu berjaya menawan Terengganu pada PRU-1999 dan akibatnya, penderitaan yang ditanggung rakyat amat tidak terperi beratnya."
Salam persaudaraan,
Bolehkah Tuan jelaskan 'penderitaan' tersebut? Ingin juga rasanya untuk mengetahui, kerana saya berada di luar negara pada masa itu.
Catat Ulasan