Sabtu, 14 Februari 2009

PILIHAN RAYA: APA PILIHAN UMNO


Salam bloger,
Ada beberapa perkara menarik yang boleh dikupas mengenai iklim politik negara pada masa ini, khususnya mengenai dua Pilihan Raya Kecil iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau di Kedah. Dua pilihan raya kecil itu pastinya menarik selepas insiden yang berlaku di Perak bulan ini. Saya ingin melontarkan beberapa perkara di sebalik pilihan raya kecil ini.


PERTAMA: Saya tergelak lucu dengan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Sdr Salehuddin Ayub yang mempertikaikan keputusan SPR untuk mengadakan pilihan raya kecil tersebut pada 7 April dengan alasan tempoh itu agak lama dan dengan bodohnya, pemimpin import dari Johor tetapi bertanding di Kelantan (Tak tahu malu bagi saya) itu menunduh bahawa SPR telah diperalatkan BN।


Jika kita teliti, pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu juga baru-baru ini memakan masa yang agak lama। SPR tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak tetapi andaian pemuda PAS itu banyak didorong oleh keghairahan untuk segera diadakan pilihan raya kononnya mereka yakin mereka menang. Maksud saya, PAS tidak sabar-sabar hendak menghadapi pilihan raya tersebut kerana kononnya mahu membuktikan sesuatu kepada rakyat Perak. Tak usahlah. Bagi saya, rakyat Perak sudah matang dan bijak dalam menilai kerajaan.


Jika anda ingat ketika proses pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, pemimpin PAS membuat pelbagai serangan terhadap ketelusan SPR. Namun, selepas mereka menang, semuanya terdiam. Yang dikatakan tidak betul sudah menjadi betul. Jika ditakdirkan mereka kalah, maka riuhlah sekampung menuduh orang itu dan ini. Itu cara berpolitik PAS sejak dulu tanpa mahu mengukur baju di badan sendiri. Jadi, Sdr Salahuddin jangan menunjuk sangatlah kebodohan politiknya. Rakyat tidak sebodoh beliau untuk terheret sama dengan cara berpolitik sempit.

KEDUA: Saya melihat tumpuan UMNO kini ialah kepada calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kedua-dua pilihan raya tersebut। Inilah penyakit masyarakat UMNO yang tidak berubah-ubah. Mereka suka berebut-rebut melobi untuk menjadi calon tanpa memikirkan soal menang dan kalah. Rakyat sebenarnya benci dengan tabiat ini. Dan, jika tidak terpilih sebagai calon, mulalah nak sabotaj dan sebagainya.


Di Perak dan Kedah ini, bagi saya ia tidak sepatutnya menyejukkan isu sebenar mengenai insiden penderhakaan pemimpin pembangkang dan tindakan biadab penyokong mereka di Perak। UMNO hebat ketika isu itu berlaku tetapi apabila tiba bab pemilihan calon, mereka kembali menjadi kalah dan lemah. Bagi saya, ini sesuatu yang tidak sihat dan mesti diubati dengan segera jika UMNO/BN mahu menang di Perak atau Kedah. Rumusan saya mudah. Belajarlah sesuatu yang berlaku di Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini jika mahu menang di Perak atau Kedah.


Rumusan saya di Kuala Terengganu mudah। BN memilih untuk kalah, maka kalahlah BN di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Rakyat Kuala Terengganu telah memberikan mesej yang jelas bahawa mereka tidak mahu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon tetapi BN tetap meletakan beliau sebagai calon, maka kalahlah beliau. Dalam konteks ini, bukan Datuk Wan Ahmad Farid itu tidak baik atau tidak bagus. Saya mengenali beliau dan beliau adalah seorang yang berfikiran hebat serta amat layak menjadi pemimpin. Bagaimanapun disebabkan pemikiran rakyat di Kuala Terengganu ditanam dengan persepsi negatif mengenai beliau (Walau dengan apa cara sekali pun dan mungkin dicetuskan sendiri oleh orang-orang UMNO), maka buruklah imej dan nama beliau di hati pengundi.


Secara perkiraannya, BN boleh kalah jika memilih beliau sebagai calon tetapi entah di atas kreteria apa dia dipilih, maka BN menerima kekalahan।


Maka begitulah di Perak, Kedah atau di mana-mana sahaja। BN mesti memilih untuk menang. Maksudnya, pilihan itu bukan sahaja kepada kata-kata tetapi dalam hal-hal lain yang sangat penting. Jangan memilih calon hanya kerana ia popular atau dekat dengan pemimpin tertinggi parti tetapi biarlah calon itu manusia yang popular di kalangan pengundi. BN mesti memilih untuk menang dan bukannya untuk kalah walaupun mereka sebenarnya sudah Nampak jalan kemenangan.


Saya melihat, rakyat sayangkan BN dan UMNO tetapi pada masa yang sama mereka sangat benci dengan sikap serta gelagat masyarakat UMNO. Itu antara puncanya mereka menerima kekalahan.

KETIGA: BN tidak boleh mematikan isu-isu penting yang berkaitan dengan pakatan pembangkang। Rakyat mesti disedarkan dengan pelbagai cara. UMNO mesti menghidupkan semangat itu. Semangat kebangkitan ketika mereka mempertahankan institusi Raja baru-baru ini mestilah diteruskan dengan hebatnya.


Ingat, UMNO/BN mampu menang jika mereka memilih untuk menang. Itu jalannya.

Tiada ulasan: