Jumaat, 12 Jun 2009

KALAULAH DS HADI SERTAI UMNO...

Assalamualaikum …

Terdapat perkembangan menarik di dalam Pas pada masa ini. Semuanya berpunca daripada cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan DS Abdul Hadi Awang tempohari. Jika kita berbicara mengenai isu itu, ia mungkin mencetuskan pelbagai persepsi. Namun, jika ditanya saya, saya berpendapat DS Abdul Hadi telah mengambil tindakan dan keputusan yang tepat pada masanya. Ia mungkin berhadapan dengan penentangan yang ketara dan terbuka, namun saranan itu telah mengangkat DS Abdul Hadi sebagai seorang nama besar yang berpandangan luas.

Ia sekaligus menolak tanggapan bahawa Ds Abdul Hadi mempunyai fikiran sempit. Jika DS Abdul Hadi ikhlas dan jujur, saya percaya beliau akan mempertahankan cadangan tersebut walaupun pelbagai halangan yang sedang menanti. Penentangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap cadangan Kerajaan Perpaduan tidak akan banyak mencalarkan imej DS Abdul Hadi. Ini kerana, Nik Aziz sentiasa dilihat terlalu negatif terhadap UMNO dan melihat UMNO sebagai parti yang jijik walaupun pada masa yang sama beliau berkerjasama dan sanggup bersekongkol dengan DAP yang menjadi parti yang menentang penubuhan sebuah negara Islam.

Jika saya boleh membuat telahan, saya percaya DS Abdul Hadi mula melihat apakah ancaman politik sebenar yang berlaku hari ini. Saya melihat, beliau mulai sedar betapa sebenarnya survival politik Melayu/Islam itu sendiri mesti diselamatkan. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku, ia bergantung kepada DS Abdul Hadi sendiri. Hanya beliau yang tahu mengapa cadangan tersebut tercetus.

Kalaulah saya boleh mencadangkan, mungkin tidak salah DS Abdul Hadi bukan sahaja berbincang dengan UMNO tetapi mungkin menyertai UMNO. Ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan perjuangan Pas sendiri kini dilihat kian tersasar sejak mereka berkawan dengan DAP dan PKR. Jika itu berlaku, maka ia akan menjadi satu detik bersejarah yang amat dinantikan.

Hakikatnya, kita semua hanya merancang tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alangkah ceteknya ilmu kamu. Rasulullah SAW pun pernh bekerjasama dengan orang-oang Musyrikin atas dasar keadilan. Lihatlah Perjanjian Al-Fudhul sebagai contoh. Begitu juga Perjanjian Hudaibiyah dan juga perjanjian kerjasama Rasulullah dengan Bani Khuza'ah. Dengan dalil-dalil ini, mana mungkin kita katakan yang PAS telah tersasar daripada perjuangan menegakkan keadilan?

Tanpa Nama berkata...

Perjanjian Pas dengan DAP mana sama dengan Al Fudhul, Hudaibiyah dengan Bani Khuza'ah yang Nabi buat!