Assalamualaikum ...
Riuh satu negara bila MB Kelantan, Nik Aziz Nik Mat kononnya menghulurkan tangan untuk berdamai dan berbaik-baik dengan UMNO. Betul ke tu?. Maka, ramailah di kalangan pemimpin UMNO yang minat benar nak mengulas mengenai kenyataan tersebut. Bagaikan meraikan satu kemenangan, pemimpin UMNO bercakap, mengulas dan memberikan komen mengenai kenyataan Nik Aziz itu seolah-olah Nik Aziz memang dah mengaku kalah. Politik apa ni!. Kalau ini cara orang UMNO berpolitik, memang patut mereka rebah dalam PRU ke-13 nanti. Saya geleng kepada membaca setiap komen yang diberikan pucuk kepimpinan UMNO mengenai pelawaan Nik Aziz itu. UMNO ni memang tak serik-serik dan ada di kalangan pemimpinnya pula macam tak reti berpolitik.
Saya termenung sejenak, berfikir mengenai angkara terbaharu Nik Aziz ini. Saya kuat menyatakan bahawa jika UMNO melayan apa yang dikatakan Nik Aziz, sekali lagi UMNO akan tertipu dengan helah PAS. Sampai bila UMNO hendak menjadi sebuah parti yang mudah ditipu, dipermainkan dan diperbodohkan. Sampai bila!. Mengapa UMNO terlalu takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga begitu cepat menyambar apa sahaja yang dihulurkan PAS, terutamanya Nik Aziz yang amat terkenal dengan sikapnya yang anti UMNO. Mengapa kita terlalu menyangka UMNO sudah lemah hanya semata-mata kita kalah dalam beberapa pilihan raya kecil.
Pakatan pembangkang, termasuk PAS sendiri sedang bermasalah dan bergelumang dengan penyakit politik yang kronik. Krisis keyakinan, kepercayaan di kalangan orang PAS yang berkiblatkan Haji Hadi dan yang berkiblatkan Nik Aziz telah terbukti membawa ancaman yang amat dahsyat kepada PAS. Jadi, PAS terpaksa mencipta segala-galanya bagi menenggelamkan perhatian rakyat terhadap isu dan masalah dalam mereka sendiri. Nik Aziz sedar, umpan perpaduan adalah sesuatu yang mudah disambar oleh UMNO sehingga mereka akan makan sehingga "mmerut" (cakap orang Terengganu yang bermaksud telan sampai ke dalam perut dan susah hendak dicabut/dikeluarkan lagi). Maka Nik Aziz pun melemparkan umpannya itu dan terbukti UMNO telah menyambutnya dengan dahsyatnya sehingga dah ada ura-ura nak bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). Apa ini!.
UMNO adalah parti keramat orang Melayu yang akan dipertahankan sampai ke hujung nyawa. Jadi, pemimpin UMNO jangan melakukan sesuatu yang memualkan sehingga rakyat tersenyum malu dengan segala kata-kata mereka. Rakyat akan malu apabila melihat UMNO menyambut sesuatu yang bersifat jerat kepadanya dan UMNO begitu mudah diperbodohkan parti lawan. Saya tidak tahu apa yang anda fikirkan, namun apa yang ada di fikiran saya, UMNO tidak perlu gundah-gulana sangat dengan pelbagai isu politik yang berlaku.
Apa yang dicetuskan pembangkang semakin bercelaru, rakyat melihat dan menilainya. Rakyat kita tidak berotak beku. Mereka tahu apa yang akan mereka rumuskan mengenai tingkah laku pembangkang yang kini bagaikan sudah hilang arah. UMNO tidak perlu terlalu bodoh untuk segera menyambut kenyataan Nik Aziz kerana mungkin lebih baik jika UMNO berdiam diri. Itu mungkin lebih memadai. Apa yang pemimpin pembangkang cuba lakukan sekarang sedang diperhalusi dan diteliti oleh rakyat. Mereka sudah mula membandingkan dengan UMNO dan apa yang pasti, rakyat kian mual dengan cara pembangkang.
Jika ada pemimpin UMNO yang mempercayai apa yang dikatakan Nik Aziz, saya sendiri tidak mempercayai mengapa perkara itu terjadi, mengapa ada pemimpin UMNO yang berfikiran sedemikian. Cukuplah wahai pemimpin UMNO anda diperbodohkan hanya kerana anda menyangka anda kian lemah. Lihat apa yang sedang dilalui pembangkang. Mereka sedang membuka peluang kepada UMNO untuk kembali kukuh di negara ini. Pembangkang terlalu teruja untuk memerintah negara pada PRU akan datang dan kerana itu mereka bagaikan hilang akal dalam bertindak.
Rakyat Malaysia sudah benci kepada pembangkang kerana sikap dan perangai mereka yang mengabaikan rakyat walaupun telah diberikan kuasa. Tapi ingat, rakyat akan lebih benci jika UMNO terlalu mudah diperbodohkan dengan isu-isu yang remeh. Fikirkanlah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan