Jumaat, 11 September 2009

ITULAH UMNO

Salam Ramadan,

Kemelut politik di Terengganu masih belum reda. Ia masih panas diperkatakan dan tidak kurang pula pelbagai spekulasi mengenai pelbagai peristiwa sedang tersebar luas sekarang ini. Bagi rakyat bawahan, mereka sudah naik meluat dan muak dengan apa yang berlaku. Entahlah, tidak tahu bilakah masalah ini akan selesai. Belum ada tanda-tanda ia akan reda dan selesai agaknya. Ikut dialah!.

Dulu ketika BN baharu sahaja menang di Terengganu pada 2004, saya ada menyatakan kepada seseorang yang juga tokoh penting UMNO bahawa orang UMNO tidak akan insaf lama dengan kekalahan yang mereka lalui pada 1999 hingga 2004. Sebabnya politik itu satu permainan sahaja bagi mereka. Pemimpin UMNO kurang memperdulikan rakyat bawahan dan membiarkan mereka yang bekerja keras untuk kemenangan mereka. Mereka sangka, mereka menang kerana kuasa ghaib sedangkan hakikat rakyatlah, ahli UMNOlah yang memenangkan mereka.

Jadi, bukan sesuatu yang menjanggalkan kalau mereka bergaduh lagi dalam penggal kedua kemenangan mereka ini. Maka berlakulah apa yang dinamakan “Kem Ahmad Said” dan “Kem Idris Jusoh” sekarang ini. Bertembunglah dua kelompok ini sedangkan musuh sebenar mereka iaitu Pas tidak langsung diusik. Bukankah ini politik yang bodoh!.

Kemelut politik di Terengganu ada jalan penyelesaiannya tetapi pihak berkaitan enggan melalui jalan tersebut. Mereka ada pilihan tetapi mereka lebih selesa memilih jalan “keras keng” dalam menangani kemelut politik Terengganu. Jadi, sampai bila-bila pun tak akan selesai masalah ini.

Saya sedih dengan pertembungan ini kerana yang rugi ialah UMNO. Semua pihak termasuk pegawai-pegawai kumpulan ini mesti matang dan bijak. Ini tidak. Apa yang saya lihat ada pegawai yang kerjanya menulis blog dan mengkritik serta menghentam puak satu lagi yang juga UMNO. Saya pun tak faham mengapa pegawai berkenaan berbuat demikian. Mungkin dia hendak pertahankan bos dia tetapi dia lupa bahawa tulisannya merosakkan UMNO.

Dia tidak mengganyang dan menyerang Pas tetapi menghentam sesame UMNO. Kena ada sikap, buruk baik pun, orang UMNO mesti dipertahankan termasuk MB sendiri.

Saya pun malas nak tulis lebih-lebih sebab nanti orang akan kata macam-macam pula termasuk menyekat itu dan ini. Biasalah!.

Selasa, 25 Ogos 2009

SELAMATKAN UMNO

Salam Ramadan,
Sebagaimana sebahagian besar rakyat Malaysia, saya adalah antara yang tidak terkejut langsung dengan kekalahan BN di DUN Permatang Pasir semalam. Selain ia kubu kuat Pas, BN ternyata telah melakukan kesilapan besar dan saya telah pun mengulasnya dalam posting yang lalu.

Susah juga mahu membuat ulasan kerana jika tersilap mencatat, orang boleh kata kita ini anti UMNO atau BN. Tapi, ada juga bloger yang kerja dengan kerajaan BN, hari-hari dalam tulisannya mengkritik UMNO dan BN. Pun begitu, saya amat yakin bahawa ia adalah untuk kebaikan.

Sama ada suka atau tidak, saya melihat pengaruh UMNO kian merudum. Di kala rakyat di bawah amat bimbang dengan keadaan itu, namun pemimpin di atas masih mampu tersenyum seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku. UMNO pasti terus berhadapan dengan kekalahan dalam pilihan raya kecil seterusnya (Jika ada) sekiranya mereka masih takut, malas dan liat untuk berubah.

UMNO bercakap soal membuat kajian terhadap setiap kekalahan, namun UMNO/BN tetap kalah dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan. Orang pasti marah jika saya katakana UMNO masih belum matang berpolitik walaupun sudah berusia lebih 60 tahun. Politik UMNO tidak mengikut arus dan peredaran semasa menyebabkan cara berpolitik mereka boleh dianggap ketinggalan zaman.

Jangan malu untuk membuat perbandingan dengan pembangkang. Lihat bagaimana mereka membina empayar media mereka dan bayangkan jika UMNO gagal mempertahankan kerajaan Malaysia ini, apakah yang UMNO ada. Pemimpin yang sudah kaya, mereka tidak kisah langsung apa nak jadi dengan UMNO.

Saya bimbang dengan sindrom yang sedang menimpa UMNO. UMNO takut hendak berubah. Saya sempat ke Perlis, saya mendengar pelbagai kisah dan saya boleh rumuskan bahawa jika begitulah keadaannya, saya tidak pasti apakah BN masih berkuasa di Perlis dalam PRU ke-13. Di Terengganu pun sama. Memang pedih kalau hendak dikatakan.

Jika beginilah keadaanya, BN sekali lagi bakal menjadi pembangkang di Terengganu. Bayangkan kalau Perlis dan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang dan pembangkang pula kekal di negeri yang mereka kuasa sekarang, maka mudahlah Malaysia pembangkang menguasai Malaysia. Sifirnya cukup jelas. Tapi jika anda lihat wajah pemimpin di atas, seolah-olah tak ada apa yang berlaku.

Pemimpin UMNO takut untuk berubah, manakala pemimpin UMNO yang masih berkuasa walaupun dibenci rakyat dan tidak disenangi enggan mengundurkan diri dengan ikhlas – sebabnya mereka bukannya mahu mempertahankan UMNO dan kerajan UMNO tetapi mereka lebih pentingkan diri.

Pemimpin yang menjadi wakil rakyat pula, jika tidak lagi dicalonkan semula, mereka pasti memberontak bagi memastikan dendam mereka tercapai biar pun UMNO hancur berkecai. Masa mereka bertanding, semua orang sokongnya tetapi bila dia tidak bertanding lagi, dia racun orang lain agar memboikot parti. Saya cukup benci dengan keadaan itu dan ia telah menjadi sebahagian daripada punca kelemahan dan kekalutan UMNO hari ini.

UMNO sekarang sedang berpenyakit tetapi pemimpin UMNO tidak serius untuk mengubati penyakit itu, tidak bersungguh-sungguh. Saya lihat pemimpin UMNO hanya pandai bercakap dan merumuskan sesuatu yang ikut sedap mulut sahaja sedangkan apa yang berlaku amat buruk sekali. Saya takut.

Bilakah pemimpin UMNO mahu sedar dan insaf agaknya. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur, ia sudah tidak berguna lagi.

Kepada pemimpin UMNO tertentu yang melihat betapa rakyat tidak senang dengan kepimpinan mereka dan dibenci lagi, undurlah diri dengan terhormat. Jangan biarkan rakyat menghukum dalam musim pilihan raya. Jangan!.
Ikhlaslah berjuang dengan parti kita.

Rabu, 19 Ogos 2009

BN BOLEH MENANG JIKA MAHU MENANG DI PERMATANG PASIR

Salam perjuangan,

Sekali lagi BN diuji dalam pilihan raya kecil. Kali ini di DUN Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat Pas dalam Parlimen Permatang Pauh yang kini dikuasi Anwar Ibrahim. Terlalu banyak ramalan yang dibuat. Kedengaran yang berkata, BN mempunyai peluang cerah untuk menang di Permatang Pasir atas sebab-sebab yang tidak berapa jelas. Momentum yang diperolehi BN di Manik Urai segera dijadikan ukuran kononnya BN kian mendapat sokongan rakyat. Saya tidamk mahu meletakkan BN dalam keadaan selesa dan saya tidak mahu membuat apa-apa ramalan mengenainya.

Ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu, saya selalu sebutkan bahawa BN hanya boleh menang jika parti itu memilih untuk menang. Jika BN memilih kekalahan, maka kalahlah BN. Ketika itu, semua orang Kuala Terengganu telah memberikan persepsi yang tidak positif terhadap calon BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Bermula di bawah dan di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai perkara tersebut. Malah apabila TPM (pada waktu itu), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjanjikan jawatan dalam kabinet kepada calon BN jika parti itu memang pun, itu masih belum memadai untuk memadamkan persepsi pengundi.

Bagi saya, Datuk Wan Ahmad Farid adalah tokoh muda yang berwibawa dan baik serta layak memimpin. Pidato dan pemikirannya amat hebat kerana beliau adalah seorang yang berpelajaran serta berpengalaman luas sebagai ahli politik. Namun politik telah mengubah keadaan dan persepsi juga perlu diambil kira dalam menentukan menang kalah sesebuah parti atau calon. Ditambah dengan sikap orang UMNO yang mempunyai pandangan negatif terhadap pemimpin sendiri,ia telah menambahkan lagi kesulitan yang ada. Maka, Datuk Wan Ahmad Farid dipilih sebagai calon BN dan keputusannya, BN kalah dalam pilihan raya kecil tersebut. Saya amat sedih dengan keadaan itu, namun insan kerdil seperti saya, apalah sangat yang boleh saya katakan atau lakukan.

Datuk Wan Ahmad Farid kalah bukan kerana dia tidak bagus tetapi dia dikalahkan oleh persepsi yang tebal pada waktu itu. Maksudnya, akar umbil telah pun mencetuskan persepsi dan persepsi itu pula dipercayai walaupun hakikatnya ia adalah mengarut dan tidak berasas. Bagaimanapun BN telah memilih calon yang telah dicetuskan melalui persepsi, maka kalahlah BN. Datuk Wan Ahmad Farid memang layak bertanding tetapi mungkin pada pilihan raya umum ketika tumpuan tidak terlalu diberikan.

Permatang Pasir pun sama. Persepsi telah menebal mengenai calon BN, Rohaizat Othman mengenai isu pembatalan lesen firma guamannya. Walau betapa betul sekali pun kedudukan iksu tersebut, persepsi telah memadamkan segala-galanya. Umpananya pemimpin politik yang didakwa di mahkamah, mereka sudah pun dianggap bersalah walaupun mahkamah belum memutuskan apa-apa kerana itulah persepsinya. Waimma apabila seseorang pemimpinj itu ditahan polis atau agensi penguatkuasa lain pun, mereka sudah dianggap bersalah.

Di Permatang Pasir, Pas telah mendapat modal dan isu percuma bagi menjahanamkan misi BN. Mampukah BN berhadapan dengan keadaan itu dan bertahan dengan serangan bertubi-tubi Pas?. BN mungkin ada sedikit modal lebihan yang boleh digunakan. UMNO atau BN jangan terlalu melayan karenah yang dibawa pembangkang di Permatang Pasir. Isu arak di Selangor, isu akhlak pemimpin pembangkang tidak boleh didiamkan begitu sahaja. Saya nampak, UMNO kian pincang kerana terlalu memberikan fokus dengan melayan karenah Pas. Tidak perlu.

Apa pun UMNO/BN telah memilih calonnya. Anda tafsirkanlah sendiri sama ada UMNO telah memilih jalan untuk menang atau untuk kalah di Permatang Pasir. Saya lontarkan persoalan itu kepada anda.

Isnin, 27 Julai 2009

SAMPAI BILA UMNO RELA DIPERBODOHKAN

Assalamualaikum ...

Riuh satu negara bila MB Kelantan, Nik Aziz Nik Mat kononnya menghulurkan tangan untuk berdamai dan berbaik-baik dengan UMNO. Betul ke tu?. Maka, ramailah di kalangan pemimpin UMNO yang minat benar nak mengulas mengenai kenyataan tersebut. Bagaikan meraikan satu kemenangan, pemimpin UMNO bercakap, mengulas dan memberikan komen mengenai kenyataan Nik Aziz itu seolah-olah Nik Aziz memang dah mengaku kalah. Politik apa ni!. Kalau ini cara orang UMNO berpolitik, memang patut mereka rebah dalam PRU ke-13 nanti. Saya geleng kepada membaca setiap komen yang diberikan pucuk kepimpinan UMNO mengenai pelawaan Nik Aziz itu. UMNO ni memang tak serik-serik dan ada di kalangan pemimpinnya pula macam tak reti berpolitik.

Saya termenung sejenak, berfikir mengenai angkara terbaharu Nik Aziz ini. Saya kuat menyatakan bahawa jika UMNO melayan apa yang dikatakan Nik Aziz, sekali lagi UMNO akan tertipu dengan helah PAS. Sampai bila UMNO hendak menjadi sebuah parti yang mudah ditipu, dipermainkan dan diperbodohkan. Sampai bila!. Mengapa UMNO terlalu takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga begitu cepat menyambar apa sahaja yang dihulurkan PAS, terutamanya Nik Aziz yang amat terkenal dengan sikapnya yang anti UMNO. Mengapa kita terlalu menyangka UMNO sudah lemah hanya semata-mata kita kalah dalam beberapa pilihan raya kecil.

Pakatan pembangkang, termasuk PAS sendiri sedang bermasalah dan bergelumang dengan penyakit politik yang kronik. Krisis keyakinan, kepercayaan di kalangan orang PAS yang berkiblatkan Haji Hadi dan yang berkiblatkan Nik Aziz telah terbukti membawa ancaman yang amat dahsyat kepada PAS. Jadi, PAS terpaksa mencipta segala-galanya bagi menenggelamkan perhatian rakyat terhadap isu dan masalah dalam mereka sendiri. Nik Aziz sedar, umpan perpaduan adalah sesuatu yang mudah disambar oleh UMNO sehingga mereka akan makan sehingga "mmerut" (cakap orang Terengganu yang bermaksud telan sampai ke dalam perut dan susah hendak dicabut/dikeluarkan lagi). Maka Nik Aziz pun melemparkan umpannya itu dan terbukti UMNO telah menyambutnya dengan dahsyatnya sehingga dah ada ura-ura nak bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). Apa ini!.

UMNO adalah parti keramat orang Melayu yang akan dipertahankan sampai ke hujung nyawa. Jadi, pemimpin UMNO jangan melakukan sesuatu yang memualkan sehingga rakyat tersenyum malu dengan segala kata-kata mereka. Rakyat akan malu apabila melihat UMNO menyambut sesuatu yang bersifat jerat kepadanya dan UMNO begitu mudah diperbodohkan parti lawan. Saya tidak tahu apa yang anda fikirkan, namun apa yang ada di fikiran saya, UMNO tidak perlu gundah-gulana sangat dengan pelbagai isu politik yang berlaku.

Apa yang dicetuskan pembangkang semakin bercelaru, rakyat melihat dan menilainya. Rakyat kita tidak berotak beku. Mereka tahu apa yang akan mereka rumuskan mengenai tingkah laku pembangkang yang kini bagaikan sudah hilang arah. UMNO tidak perlu terlalu bodoh untuk segera menyambut kenyataan Nik Aziz kerana mungkin lebih baik jika UMNO berdiam diri. Itu mungkin lebih memadai. Apa yang pemimpin pembangkang cuba lakukan sekarang sedang diperhalusi dan diteliti oleh rakyat. Mereka sudah mula membandingkan dengan UMNO dan apa yang pasti, rakyat kian mual dengan cara pembangkang.

Jika ada pemimpin UMNO yang mempercayai apa yang dikatakan Nik Aziz, saya sendiri tidak mempercayai mengapa perkara itu terjadi, mengapa ada pemimpin UMNO yang berfikiran sedemikian. Cukuplah wahai pemimpin UMNO anda diperbodohkan hanya kerana anda menyangka anda kian lemah. Lihat apa yang sedang dilalui pembangkang. Mereka sedang membuka peluang kepada UMNO untuk kembali kukuh di negara ini. Pembangkang terlalu teruja untuk memerintah negara pada PRU akan datang dan kerana itu mereka bagaikan hilang akal dalam bertindak.

Rakyat Malaysia sudah benci kepada pembangkang kerana sikap dan perangai mereka yang mengabaikan rakyat walaupun telah diberikan kuasa. Tapi ingat, rakyat akan lebih benci jika UMNO terlalu mudah diperbodohkan dengan isu-isu yang remeh. Fikirkanlah.

Ahad, 12 Julai 2009

MANEK URAI: USAH PILIH YB GAJI BUTA

Salam bloger dan salam sejahtera,

Sudah agak lama saya tidak menambah tulisan baharu di blog saya. Maafkan saya kepada mereka yang selalu melayarinya. Mungkin kerana kesibukan waktu dan terdapat perkara yang mesti saya fikirkan, maka saya terpaksa abaikan terlebih dahulu tulisan di sini.

Hari ini saya hanya mahu mencatatkan apa yang terlintas di fikiran saya di kala ini. Secara jujur, saya tidak berminat untuk mengikuti perkembangan pilihan raya kecil DUN Manik Urai di Kelantan. Tak tahulah apa sebabnya – mungkin dah terlalu banyak pilihan raya agaknya. Saya sangat percaya bahawa masih ramai yang satu pandangan dengan saya mengenai perkara tersebut.

Tak mengapalah. Cuma, saya mahu menasihatkan pengundi di Manik Urai agar memikirkan semasak-masaknya mengenai pemimpin yang menjadi pilihan mereka. Jangan membuat pilihan hanya kerana emosi dan mengikut apa yang ada di hati. Fikirkan diri kita, kebajikan kita dan masa depan kita. Mengapa saya katakana begitu… saya adalah anak Terengganu yang telah berhadapan dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu awal tahun ini.

Parlimen Kuala Terengganu sebelum itu disandang Timbalan Menteri Pelajaran, (Allahyarham) Datuk Razali Ismail. Maka, bertuahlah rakyat Kuala Terengganu dan Terengganu kerana mereka mempunyai seorang Timbalan Menteri. Dan, sudah tentu banyak masalah berkaitan dapat diselesaikan dengan baik manakala pembangunan di Parlimen Kuala Terengganu sendiri Nampak rancak.

Namun, apabila berlaku pilihan raya kecil tersebut, rakyat Kuala Terengganu memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka. Tak tahulah macamana perkiraan mereka. Nak kata bodoh pun, nampak teruk sangat tetapi itulah pilihan mereka.

Tidak salah memilih Pas jika wakil rakyatnya bekerja untuk rakyat dan sentiasa berfikir dan merancang pembangunan untuk rakyat. Soal mereka wakil rakyat pembangkang bukan alasan pembangkang kini sudah kaya raya berbanding dulu. Namun hari ini, apa yang ada di Kuala Terengganu.

Dulu, rakyat boleh bertemu dengan Allahyarham dan meminta bantuan itu dan ini. Apabila Allahyarham meninggal, calon BN pada pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah dijanjikan jawatan dalam cabinet jika diberikan mandate, namun rakyat tetap tidak pilih.

Hari ini, berapa kerat yang mengadu kepada Ahli Parlimen Pas itu dan banyak mana pula masalah rakyat dapat beliau selesaikan sebagaimana wakil rakyat BN dapat selesaikan.

Jika tidak keterlaluan, saya mahu nasihatkan rakyat di Manik Urai agar bijak memilih pemimpin. Janganlah memilih pemimpin dengan hanya memberikan mereka gaji buta semata-mata. Ia tidak mampu membawa ke syurga.

Jumaat, 12 Jun 2009

KALAULAH DS HADI SERTAI UMNO...

Assalamualaikum …

Terdapat perkembangan menarik di dalam Pas pada masa ini. Semuanya berpunca daripada cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan DS Abdul Hadi Awang tempohari. Jika kita berbicara mengenai isu itu, ia mungkin mencetuskan pelbagai persepsi. Namun, jika ditanya saya, saya berpendapat DS Abdul Hadi telah mengambil tindakan dan keputusan yang tepat pada masanya. Ia mungkin berhadapan dengan penentangan yang ketara dan terbuka, namun saranan itu telah mengangkat DS Abdul Hadi sebagai seorang nama besar yang berpandangan luas.

Ia sekaligus menolak tanggapan bahawa Ds Abdul Hadi mempunyai fikiran sempit. Jika DS Abdul Hadi ikhlas dan jujur, saya percaya beliau akan mempertahankan cadangan tersebut walaupun pelbagai halangan yang sedang menanti. Penentangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap cadangan Kerajaan Perpaduan tidak akan banyak mencalarkan imej DS Abdul Hadi. Ini kerana, Nik Aziz sentiasa dilihat terlalu negatif terhadap UMNO dan melihat UMNO sebagai parti yang jijik walaupun pada masa yang sama beliau berkerjasama dan sanggup bersekongkol dengan DAP yang menjadi parti yang menentang penubuhan sebuah negara Islam.

Jika saya boleh membuat telahan, saya percaya DS Abdul Hadi mula melihat apakah ancaman politik sebenar yang berlaku hari ini. Saya melihat, beliau mulai sedar betapa sebenarnya survival politik Melayu/Islam itu sendiri mesti diselamatkan. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku, ia bergantung kepada DS Abdul Hadi sendiri. Hanya beliau yang tahu mengapa cadangan tersebut tercetus.

Kalaulah saya boleh mencadangkan, mungkin tidak salah DS Abdul Hadi bukan sahaja berbincang dengan UMNO tetapi mungkin menyertai UMNO. Ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan perjuangan Pas sendiri kini dilihat kian tersasar sejak mereka berkawan dengan DAP dan PKR. Jika itu berlaku, maka ia akan menjadi satu detik bersejarah yang amat dinantikan.

Hakikatnya, kita semua hanya merancang tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Jumaat, 5 Jun 2009

PAS DAN LABU-LABUNYA

Assalamualaikum

Hebat benar apabila membaca kisah pada Muktamar Agung Pas semalam. Seperti biasa, ucapan Dasar Presiden, DS Abdul Hadi Awang tidak ke mana-mana. Ia berkisar kepada kepentingan politiknya, berteraskan kepada beberapa isu yang bersifat lemah serta membuai pendengar dengan hal-hal yang mengkhayalkan. DS Abdul Hadi memang seorang pemidato yang hebat tetapi beliau bukanlah seorang pelaksana apa yang dicakapkan dengan hebat.

Secara jujur, saya respect juga dengan ilmu agama yang beliau ada, tetapi saya hilang kepercayaan terhadap ucapan, pendirian dan tindak-tanduknya. Maafkan saya Tok Guru. Terdapat beberapa perkara menarik di sebalik isu-isu yang dibangkitkan pada muktamar itu. Atas dasar demokrasi, saya rumuskan sebagaimana berikut:

Pertama: Pas perlu bergerak bukan sahaja sebagai sebuah parti pembangkang tetapi perlu menjadi parti yang bakal mengambil-alih pemerintahan negara pada PRU ke-13. Anda percaya?. Saya hanya tersenyum sinis dengan perkara tersebut. Saya tidak percaya langsung Pas akan berjaya menjadi parti yang “mengambil-alih” pemerintahan negara pada PRU yang ke-13 nanti. Jika pembangkang menang pun, Pas tidak akan dapat mencapai misi tersebut. DS Anwar Ibrahim akan menjadi PM ketika itu dan Pas hanya akan melukut di tepi gantang. Pas hanya akan memiliki kuasa yang amat terhad.

Maka tidak hairanlah Pas tidak membangkitkan bahawa mereka akan melaksanakan sebuah negara Islam dan mahu melaksanakan undang-undang Hudud yang sebelum ini menjadi pegangan kuat Pas. Pas parti politik yang berkepentingan dan bukan yang menghairankan jika setiap keputusan, tindakan dan angan-angan mereka berasaskan kepada kepentingan tersebut walaupun terpaksa mengorbankan prinsip asal perjuangan mereka.

Saya tidak nampak langsung Pas akan dapat mengambil-alih pemerintahan negara kerana asas-asas tersebut. Maka, apa yang dibangkitkan hanya bersifat mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan sesuatu yang membangkitkan impian yang besar di kalangan ahli Pas. Hakikatnya, Pas sedar impian itu tidak akan ke mana jika mereka terus bersekongkol dengan PKR atau DAP.

Kedua: DS Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan menyaman dan mengambil tindakan ke atas media asing yang katanya sengaja mencemarkan imej negara dengan isu pembunuhan wanita mongolia dan beberapa isu lain. Demikian menurut Malaysiakini. Satu lagi babak lucu yang dicetuskan DS Abdul Hadi. Mengapa beliau membuat gesaan itu sedangkan yang banyak membuat tuduhan sedemikian ialah puak-puak pembangkang sendiri. Pembangkang di negara ini banyak bertindak melulu sehingga imej negara tercemar.

DS Abdul Hadi yang berpengetahuan agama, takkan beliau tidak sedar bahawa menuduh seseorang tanpa bukti itu apa hukumnya. Janganlah kerana kepentingan, beliau mahu menghalalkan segala-galanya. Sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti Pas, Pas hanya menjaja nama Islam tetapi pemimpin mereka termasuk yang bergelar Tok Guru menuduh orang lain tanpa bukti langsung. Sama juga dalam isu ini. Mereka yang membuat tuduhan tidak mempunyai bukti tetapi mereka tergamak melemparkan fitnah terhadap kepimpinan negara disebabkan kepentingan politik.

Sebab itu bagi saya, tiada yang menarik dalam muktamar Pas. Mereka akan hanya melontarkan sesuatu yang sudah basi dan diulang-tayang. Mereka menyerang UMNO sekeras-kerasnya tetapi mereka berkawan dengan DAP yang menentang penubuhan sebuah negara Islam ala Pas. UMNO dianggap menjijikkan tetapi DAP dan PKR tidak pula begitu. Buatlah penilaian yang jujur. Berbanding DAP dan PKR, perjuangan siapakah yang lebih dekat dengan Pas kalau tidak UMNO.

Saya adalah antara salah seorang rakyat Malaysia yang tidak sanggup ditipu oleh Pas. Saya tidak memerlukan parti yang hanya hidup dengan topeng, cakap tidak serupa bikin dan bercakap mengenai Islam berasaskan kepentingan politik.

Pas sudah memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah. Mana huduh?, negara Islam?.... di Selangor, mengapa tak tutup kilang arak, mengapa membiarkan tumbuh bersepahnya rumah-rumah urut dan sekian banyak sarang maksiat. Di mana perjuangan Islam, di mana roh Islam … di mana!. Sedarlah wahai rakyat Malaysia, mereka (pembangkang) sedang memakai pelbagai topeng di hadapan kita dan jangan sekali-kali kita terpedaya olehnya. Amin.