Ahad, 24 Mei 2009

SURAT PENDEK KEPADA NIZAR

Assalamualaikum Datuk Seri,

Kemelut politik di Perak telah menarik perhatian banyak pihak termasuk manusia yang tinggal di luar Perak seperti saya. Saya mengikuti perkembangan di negeri Datuk Seri dengan penuh minat dan teliti. Sehinggalah Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa Datuk Seri Zambry Abdul Kader adalah MB Perak yang sah, ternyata saya amat kecewa dengan sikap dan pendirian Datuk Seri.

Walaupun saya gembira apabila Datuk Seri memulangkan kereta rasmi MB, namun tindak-tanduk Datuk Seri yang seolah-olah seperti masih tidak mampu menerima kenyataan amat mengecewakan. Saya di Terengganu, sedikit pun tidak nampak apakah asasnya Datuk Seri menuntut pilihan raya negeri diadakan. Ya, saya tidak berada di Perak dan mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang ada di sana. Namun, apakah isu sebenarnya sehingga Datuk Seri mahu DUN Perak dibubarkan?.

Mengapa sekarang Datuk Seri meminta hak rakyat dikembalikan untuk memilih kerajaan negeri. Atas alasan apa Datuk Seri jika tidak dengan naiwaitu mahu mengekalkan kuasa di Perak?. Jika hendak mengikut parti, BN mempunyai 28 kerusi berbanding hanya enam kerusi PAS dan dicampur DAP dan PKR, kumpulan Datuk Seri mempunyai 28. Dan, tiga lagi wakil bebas mengistiharkan mereka menyokong BN. Sifirnya, sama PAS sokong DAP, PKR dan sebaliknya. Tidak ada jumlah kerusi yang sama antara kumpulan Datuk Seri dengan BN yang telah mendapat sokongan wakil bebas. Jadi, untuk apa pilihan raya kecil negeri Datuk Seri?.

Sekarang Datuk Seri mahu memulakan kempen mogok lapar pula. Untuk apa?. Tidak ada faedahnya Datuk Seri berlapar kecuali hanya dapat menjimatkan wang Datuk Seri sahaja.

Datuk Seri,

Saya rakyat yang kecil. Saya berfahaman demokrasi bukan bermaksud pilihan raya semata-mata sebagaimana sempitnya pemikiran kumpulan Datuk Seri. Datuk Seri pemimpin sebuah parti yang mendakwa mahu menegakkan negara Islam, mahu melaksanakan undang-undang hudud. Sepatutnya, akhlak politik Datuk Seri juga mestilah berpaksikan kepada dasar parti Datuk Seri. Atau, adakah semua itu hanya sandiwara semata-mata?.

Saya anak Melayu Datuk Seri. Terus-terang, saya malu jika mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri. Lebih malu lagi apabila ramai juga yang Datuk Seri berjaya perbodohkan sehingga ada yang bertindak melulu di Perak. Insaflah Datuk Seri, kebenaran bukan menjadi hak mutlak Datuk Seri dan kumpulan Datuk Seri semata-mata. Kami rakyat mempunyai hak kami juga. Saya yakin, kebenarannya ialah kumpulan Datuk Seri sudah hilang kepercayaan di DUN Perak.

Jika saya boleh cadangkan kepada Datuk Seri, cukuplah mengganggu kerajaan Perak yang ada. Mengapa Datuk Seri tidak mampu bersabar sehingga PRU-13 nanti. Jika Datuk Seri yakin parti kumpulan Datuk Seri sudah kuat perkasa, kemenangan pasti menanti kumpulan Datuk Seri pada PRU-13. Bersabarlah.

Datuk Seri,

Demokrasi sedang berlangsung. Janganlah kerana apa yang diingini tidak memihak kepada Datuk Seri, maka Datuk Seri dan kumpulan Datuk Seri mahu menafikan hakikat yang berlaku. Cukuplah Datuk Seri.

Datuk Seri mampu membela nasib rakyat Perak walaupun Datuk Seri tidak menjadi MB Perak. Kan, Datuk Seri pun baharu menang kerusi Parlimen Bukit Gantang. Tumpukan pada amanah rakyat kepada Datuk Seri daripada Datuk Seri mencabar sesuatu yang jelas tidak membawa apa-apa faedah untuk rakyat.

Saya percaya Datuk Seri sendiri sedar mengenai proses demokrasi dan kerana itu Datuk Seri menfailkan kes pelantikan MB yang sah ke Mahkamah Persekutuan. Semoga Datuk Seri berjaya dan jika tidak berjaya, terimalah hakikat yang ada. Rakyat kini memerlukan pembelaan, bukan diperbodohkan.

Ingat tu Datuk Seri.




Rabu, 20 Mei 2009

SELESAI?,... TAK SELESAI. PERCAYA?... OH TAK PERCAYA

Salam bloger,
Ramai yang bertanya saya, apakah kisah dan hasil pertemuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, DS Hishamuddin Tun Hussein dengan semua Ketua UMNO Bahagian dan ADUN Barisan Nasional di Putrajaya malam tadi. Saya tidak mampu menjawab soalan itu kerana saya tidak berada dalam pertemuan tersebut. Saya tidak boleh menulis berasaskan andaian semata-mata. Jika ada “orang luar” yang tidak ada pada pertemuan itu yang bercakap atau menulis mengenai pertemuan tersebut, ia tidak boleh diterima atau dipakai sepenuhnya. Apatah lagi ia di pihak yang berkepentingan. Tidak boleh.

Benarkah sudah selesai krisis yang berlaku selepas pertemuan malam tadi – itu juga yang disoal kepada saya. Penilaian saya, ia masih belum selesai dan tiada apa yang dimuktamadkan. Saya amat bertegas bahawa kemelut politik Terengganu tidak mungkin dapat diselesaikan hanya dengan pertemuan di Putrajaya malam tadi atau hanya menukar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Hanya setakat itu?. Saya tidak bermaksud atau mendesak MB ditukar sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut yang ada walaupun itu mungkin menjadi antara langkah tepat bagi meredakan apa yang sedang berlaku. Jika Datuk Ahmad Said kekal sebagai MB, kekallah.

Namun, adakah ia hanya memadai sekadar kekal dan ia habis begitu sahaja?. Jika begitu, masalah politik Terengganu tidak akan selesai sampai bila-bila pun sehinggalah BN ditewaskan pada PRU akan datang. Jika itu berlaku, maka ia adalah satu nasib yang amat malang bagi rakyat Terengganu.

Jika MB kekal, masalah akan selesai jika MB mampu dan bersedia melakukan perubahan. Ada kelemahan sebenarnya. Jika tidak ada, air yang tenang tidak akan berkocak. Menerima teguran tetapi tidak bertindak ia tidak akan membawa apa-apa pengertian. Maka, MB mesti melakukan perubahan jika benar rakyat didahulukan, parti diutamakan. Adalah amat mustahil setiap teguran yang dibuat kesemuanya tidak berasas. Tidak mungkin.

Saya percaya bahawa jika MB dikekalkan dan beliau bersedia melakukan perubahan hasil daripada teguran yang dibuat, kesemua ADUN yang kini jauh daripada beliau akan kembali bertaut. Ia tidak mustahil. Tapi janganlah mengambil tindakan sebaliknya.

Beberapa contoh yang boleh dikutip ialah majlis-majlis yang bersifat menyerang “kumpulan 18” ADUN Barisan Nasional oleh puak MB sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Dungun tempohari. Adakah itu cara yang difikirkan terbaik dalam menyelesaikan masalah atau merapatkan hubungan yang kian retak sedangkan “kumpulan 18” tidak menyerang kecuali beberapa insiden pada sidang DUN tempohari. Begitu juga dengan pembantu-pembantu MB (Bunyi macam pasukan Nik Aziz juga sebagaimana yang didedahkan Nik Abduh), mereka juga jangan terlalu mudah menyerang tanpa fakta dan pengetahuan yang benar.

Sama jugalah dengan pertemuan dengan DS Hishamuddin malam tadi. Pertemuan belum pun habis, tetapi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan telah memberikan kenyataan kepada Malaysiakini yang masih menyalahkan wakil-wakil rakyat BN tersebut. Jadi, adakah ini yang dikatakan cara menyelesaikan masalah?. Hebat sangatkah Ketua UMNO Bahagian sehingga boleh mengeluarkan kenyataan memperlekehkan wakil rakyat? Ketua Bahagian UMNO dipilih oleh siapa dan dengan cara yang bagaimana bentuk pemilihannya?. Tidak perlu saya sebutkan tetapi anda yang menjadi peminat dunia politik, pastinya sudah sedia faham apa yang saya maksudkan.

Dan, tahukah anda siapa yang memilih wakil rakyat. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Ia datang dari masyarakat yang benar-benar dianggap akar umbi, yang bukan sahaja di kalangan ahli parti tetapi mereka yang bukannya ahli parti. Ada pun, yang memenangkan Ketua UMNO Bahagian ialah perwakilan yang tidak berapa kerat sangat. Jadi, siapa yang lebih terpuji?. Suara siapa yang lebih mulia?. Saya tidak mahu memperlekehkan sesiapa tetapi demi mencari jalan kebaikan, apa yang berlaku itu tidak sepatutnya berlaku.

Saya sedih bila ada Ketua UMNO Bahagian sudah pandai memanggil wartawan Harakah dan bercakap mengenai isu-isu sulit mengenai parti. Bermaruahkah cara begitu?. Lupakah mereka siapakah diri mereka?. Jadi, adakah ini cara menyelesaikan masalah dan kemelut yang berlaku?. Apa yang saya catatkan hanyalah sebahagian daripada contoh semata-mata yang benar-benar berlaku.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, kemelut ini akan selesai dengan dua cara. Pertama, jika MB kekal, perlu ada perubahan dan kedua, jika difikirkan perlu ditukar, maka pertukaran perlulah direalisasikan. Kita tidak boleh terlalu jengkel akalnya sehingga tergamak berkata sesuatu seolah-olah mahu menggambarkan orang lain tidak memahami apa yang berlaku.

Maka itu, belum ada tanda-tanda yang meyakinkan bahawa kemelut ini akan dapat diselesaikan. Saya tidak memahami mengapa ia tidak disegerakan kerana masalah politik jika dibiarkan terlalu lama berlarutan, maka ia akan mengundang penyakit yang boleh membawa parti kita menjadi semakin tenat dan sukar diubati lagi. Bagi mereka yang perasan, mereka akan bersorak gembira selepas TS Muhyiddin mengumumkan di Kuala Terengganu bahawa MB ketika ini adalah kekal padahal transkrip yang saya dengar, tiada disebut begitu. Maafkan saya, saya bukanlah seorang pemenang Anugerah Kajai, hanya seorang wartawan yang kecil-kecilan sahaja. Tetapi jika saya berada di tempat wartawan yang bertanya itu, saya tidak fikir saya mahu bertanya soalan mengenai kedudukan MB kepada Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu sedang berada di sebelah MB yang dimaksudkan.

Sebabnya, jika saya bertanya, saya akan dilabel sebagai antara wartawan yang bodoh kerana bertanya tidak kena pada tempatnya sehingga TPM terlalu tidak selesa dengan jawapan yang mahu diberikan. Sekali lagi, maafkan saya, saya bukan seorang wartawan yang pernah menjadi pengacara di TV, apatah lagi diundang sebagai tetamu dalam rancangan bicara isu-isu semasa di TV. Namun, saya hidup di negeri yang sejak dahulu saya tahu bagaimana wajah dan sifir politiknya. Saya berada di negeri saya ketika parti UMNO senang, susah dan senang kembali.

Terpulanglah kepada anda semua, anda fikirkan sendiri apakah yang bakal berlaku. Segala-galanya tidak mendatangkan faedah selain BN mesti kembali menjadi pembangkang dan yang darat pulang ke darat, yang laut pulang ke laut. Maka bersihlah politik Terengganu dan BN mampu disegarkan semula dalam keadaan yang lebih meyakinkan. Itu saja.

Ahad, 17 Mei 2009

BENARKAH KHABAR POLITIK

Salam bloger,
Ketika kaki melangkah menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta, Jakarta seseorang mengirim sms memaklumkan bahawa TS Muhyiddin Yassin telah mengumumkan di Kuala Terengganu bahawa Datuk Ahmad Said kekal sebagai MB, sekaligus mengakhiri kemelut yang berlaku. Saya tidak terkejut kerana itu sesuatu yang boleh dijangka. Namun, di hati kecil saya, saya mahu mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya.

Apabila tiba di Malaysia dan melayari laman-laman blog serta membaca berita, maka benarlah kata kawan saya itu. Pun begitu, apa yang disebutkan TPM masih boleh menimbulkan keraguan dan persepsi politik yang berbeza. Saya pernah menulis di ruangan ini bahawa rakyat Terengganu mesti diberikan jawapan yang muktamad mengenai kedudukan MB Terengganu bagi meredakan keadaan.

Jika ditanya kepada saya, saya tidak kisah mengenai siapakah MB Terengganu kerana kedudukan itu tidak pernah menjadi penentu kepada nasib saya. Saya tidak mempunyai kepentingan untuk mempertahankan MB yang ada atau saya tidak mencari kepentingan untuk melakarkan betapa perlunya MB yang baru. Maksudnya, sesiapa juga yang menjadi MB, ia bukan satu kepentingan buat saya. Ia tidak mengubah hidup saya pun. Ia berbeza dengan manusia yang berkepentingan. Manusia sedemikian, mereka akan mempertahankan sesuatu yang berkait dengan kepentingannya walaupun apa yang dipertahankan itu jelas merugikan rakyat dan negeri, apatah lagi parti.

Jika kita meneliti manusia yang berkepentingan ini, ada tahu mengapa mereka mempertahankan sesuatu yang tidak wajar dipertahankan.

Namun, sebagai rakyat Terengganu yang hidup di negeri saya ketika UMNO menang dan kalah dalam pilihan raya yang menyaksikan satu perjuangan yang amat menyiksakan, saya fikir, saya berhak menulis dan menyatakan apa yang saya yakininya adalah demi rakyat, bukannya demi individu.

Jika bertanya kepada saya, apa yang dicakapkan TS Muhyiddin itu bukanlah bersifat satu pengumuman tetapi ia lebih kepada menjawab pertanyaan wartawan mengenai perkembangan politik Terengganu sendiri. Bukan tidak mahu mempercayai atau menerima hakikat tetapi apa yang dicakapkan TS Muhyiddin itu adalah amat tepat sekali. UMNO tidak pernah membincangkan mengenai kedudukan MB Terengganu. Yalah, itu utusan Presiden UMNO dan sudah tentu kedudukan MB tidak perlu diperbincangkan di peringkat UMNO. Dulu masa pemilihan Datuk Ahmad Said, mana ada bincang mengenai pelantikan itu di MT kecuali Pak Lah yang mahi pelantikan itu disahkan selepas beliau kecek semua ADUN Terengganu. Itu jelas.

Dan, satu persepsi lain, pengumuman orang politik tidak boleh dipakai sepenuhnya. Dulu, masa wartawan tanya Pak Lah pasal tarikh pilihan raya, bekas PM itu kata ia tidak berbangkit langsung dan tidak tahu bila diadakan. Tup…tup, dia umum bubar Parlimen dan akhirnya BN lingkup. Begitu juga mengenai politik Terengganu yang memungkinkan sesuatu kejutan berlaku pada bila-bila masa.

Dan jika benar apa yang dikatakan itu sebagaimana yang benar-benar dimaksudkannya, saya berani menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang mengecewakan bagi rayat Terengganu dan sebahagian besar ahli UMNO. Datuk Ahmad Said bukannya seorang yang tidak bagus tetapi rakyat telah menilainya begitu kerana lebih setahun mengambil alih tampuk pemerintah, rakyat berkata “Terengganu tak ada apa-apa … macam zaman Pas juga lening”. Ya, ia sesuatu yang perit, tetapi jika itu kenyataannya, apa lagi yang boleh dibuat.

Saya berpendapat, Datuk Ahmad Said jika dikekalkan sebagai MB, beliau perlulah berubah dalam penilaian dan tindakan politiknya. Hanya perubahan yang boleh membantu meningkatkan imej beliau selain mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri. Ramai orang bercakap mengenai orang di sekelilinya yang tidak disenangi. Saya tidak tahu sejauh manakah ia benar atau sebaliknya tetapi itu yang selalu diperkatakan walau di mana pun saya pergi. Politik disegarkan melalui persepsi. Walaupun seseorang itu tidak disukai bukan bermaksud dia bukan seorang yang baik, namun percaturan politik pula terbalik.

Orang yang baik tetapi persepsi sudah tercemar, maka ia sudah tidak layak lagi berada di tempat yang dia berada. Apatah lagi persepsi itu adalah sesuatu yang memang benar-benar mengenai perangainya, keperibadiannya dan latar belakangnya tidak disukai, maka sama jugalah keputusannya. Tidak layak!. Justeru perubahan mesti dilakukan.

Apa pun saya percaya bahawa semuanya mahu mencari kebaikan. Saya tidak nampak majoriti ADUN BN yang tidak bersetuju dengan MB Terengganu melakukan sedemikian hanya kerana soal kepentingan. Mereka telah tidur sebantal dan tinggal dalam satu rumah sejak sekian lama ketika kalah dan menang parti BN di Terengganu. Mereka lebih kenal sesama mereka berbanding kita yang berada di luar.

Sebenarnya apa yang menyedihkan, sifir politik sudah berubah. Yang majoriti pun belum tentu boleh menang. Di Perak, BN sudah mempunyai majoriti tetapi masih “kalah” kerana terus diganggu oleh mereka yang manoriti. Jika yang manoriti menghormati yang majoriti, maka rakyat akan lebih bertuah kerana ADUN itu mewakili suara rakyat yang diwakilinya. Di Perak, jika Nizar melepaskan jawatan kerana secara moralnya beliau sudah hilang kepercayaan ADUN di DUN, maka selesailah masalah. Ini soal penghormatan dan kita tidak boleh terikat dengan soal teknikal.

Ada pun di Terengganu sama, majoriti ADUN BN menolak kepimpinan Datuk Ahmad Said dengan jelas tetapi pucuk kepimpinan UMNO Pusat, apatah lagi pentadbiran negara nampak bagaikan “tidak serius” untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Sampai bila rakyat Terengganu mesti diperbodohkan dan diperlekehkan. Yang rugi ialah rakyat dan UMNO.

Jika muktamad Datuk Ahmad Said kekal sebagai MB, adakah ia memadai hanya dengan satu pengumuman?. Apa kesudahannya?. Apa tindakan selanjutnya, baik dari MB sendiri atau kumpulan ADUN parti?. Sampai sekarang, saya belum menemui jawapan mengapakah begini wajah politik Terengganu.

Ya benar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO telah dilantik iaitu DS Hishamuddin Tun Hussein tetapi sejauh manakah tindakan beliau dalam menyelesaikan masalah ini?. Hanya cukupkah sekadar ubah jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO?. Saya amat sedih jika UMNO kehilangan kuasanya kembali di Terengganu pada PRU akan datang. Ia amat memeritkan. Jika anda bertanya kepada manusia yang datang ketika menang, pastinya mereka tidak faham mengenai apa yang kita lalui di sini dahulu. Apatah lagi mereka datang atas nama kepentingan ketika BN menang. Jadi, mereka tidak mahu peduli mengenai apakah nasib UMNO dan BN kerana mereka lebih peduli untuk mempertahankan kepentingannya.

Entahlah…



Rabu, 13 Mei 2009

KEDEGILAN DAN KERAKUSAN

Assalamualaikum …

Saya telah mengambil masa untuk memahami tetapi saya tidak menemui jawapannya mengapa semua pihak mendesak agar DUN Perak dibubarkan berikutan krisis dan kemelut yang berlaku. Mereka memberikan alasan kononnya di atas nama demokrasi dan mengembalikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri semula. Pakatan Pembangkang nampak lebih yakin untuk memenangi pilihan raya negeri jika DUN dibubarkan dan kerana itu mereka mendesak. Manakala BN pula dilihat agak takut kerana kekuatan politiknya sejak PRU ke-12 masih diragui.

Saya tidak melihat pilihan raya semula sebagai asas kepada sistem demokrasi. Demokrasi tidak boleh hanya diterjemahkan semata-mata dengan pilihan raya kecil. Maafkan saya, jika saya terpesong sedikit dalam memberikan pandangan. Ya benar, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa DS Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah tetapi Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh DS Dr Zambery Abdul Kader. Itu proses mahkamah dan ia diterima pakai, biarlah.

Akal saya kuat menyatakan bahawa kemelut di Perak tidak perlu diakhiri dengan pilihan raya negeri atau pembubaran DUN. Jalan penyelesaian terbaik ialah DS Nizar mestilah meletakkan jawatan sebagai MB secara terhormat kalau benar beliau seorang pemimpin yang menjunjung demokrasi dan kepentingan rakyat. Sifirnya mudah. Parti DS Nizar sudah kehilangan sokongan majoriti. Hanya orang gila sahaja yang akan mengira 31 lawan 28, yang 28 diistiharkan menang. Ya, ada hal-hal teknikal di situ tetapi moralnya begitulah, DS Nizar mesti melepaskan jawatan dengan sukarela kerana beliau sudah hilang sokongan ADUN.

Pembentangan usul undi tidak percaya hanyalah hal teknikal. Maafkan saya, saya melihat kedegilan DS Nizar adalah punca kemelut yang berlaku di Perak. Jika DS Nizar masih mempunyai sokongan majoriti, DS Nizar berhak bertindak sebagaimana beliau lakukan sekarang tetapi apa yang tercatat adalah sebaliknya. Mengapa rakyat Perak mesti dibebankan dengan pilihan raya negeri sedangkan perkiraan sudah jelas bahawa Pakatan Pembangkang sudah hilang sokongan majoriti?.

Saya tidak bersetuju pilihan raya negeri diadakan bukan kerana soal takut tetapi adalah bodoh bagi BN yang telah diberikan mandat dan memiliki sokongan majoriti menyerahkan semula kepada rakyat. Walaupun saya bukan orang Perak, saya nampak rakyat Perak telah diganggu oleh seorang pemimpin yang keras kepala dan degil seperti DS Nizar.

Jika saya boleh mengesyorkan, DS Nizar lepaskan jawatan MB secara baik dan beliau dan rakan-rakan mereka tunggulah PRU ke-13 jika mahu merampas semula kuasa negeri di Perak. Jika tidak pun, tunggulah ADUN BN atau yang menyokong BN mati seorang demi seorang sehingga membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Rakyat tidak boleh diperangkap dan terperangkap dengan apa yang sedang berlaku.

Isu di Perak bukan pembubaran DUN tetapi kedegilan. Jadi, jika rakyat Perak tidak tahu hendak mengajar mereka yang degil, tak tahulah apa nak cakap. Terpulanglah.

Isnin, 11 Mei 2009

NIZAR DAN KEADILAN

Assalamualaikum …

Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin kerana disahkan sebagai MB Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya tercari-cari, di laman blog, melalui sms atau seumpamanya, suara orang pembangkang yang mengatakan keputusan mahkamah itu tidak adil atau dikuasai pemerintah. Semuanya bertukar corak dan nada dengan mendakwa kebenaran telah terpancar. Hebat.

Semalam, sehari sebelum keputusan mahkamah, seorang pemimpin kanan PKR dengan rasa tidak malunya menulis agar rakyat jangan percaya dengan keputusan mahkamah yang bakal dibuat hari ini berhubung status MB Perak. Kononnya kata beliau, mahkamah dikuasai pemerintah dan beliau dengan jahatnya menuduh ada hakim yang menjadi ahli Umno. Nah!, selepas keputusan mahkamah memihak kepada Nizar, adakah mereka masih tidak mahu mempercayai mahkamah?.

Sebenarnya, keadilan dah kebebasan kehakiman sudah sekian lama tertegak. Yang mencemarkan institusi kehakiman bukan rakyat tetapi pemimpin pembangkang yang seban waktu meracuni pemikiran rakyat. Mereka adalah golongan yang gemar melanggar undang-undang dan kerana itu mereka sanggup dan tergamak menghina mahkamah. Itulah pembangkang.

Kepada rakyat Malaysia, saksikan keadilan yang ada. Percayalah bahawa UMNO adalah parti yang mendukung undang-undang. Ingat, tidak akan ada rusuhan, menahan kereta kenamaan oleh orang UMNO akibat keputusan mahkamah itu. UMNO pasti menerima dengan berlapang dada, tidak takut dan tidak terlalu resah. Undang-undang mesti didaulatkan walaupun ia mungkin tidak memihak kepada kita. Itu jelas.

Rakyat Malaysia, … saksikan dengan mata dan hati yang jujur bahawa segala dakyah, pembohongan dan kepalsuan yang dilakukan pembangkang durjana telah terbongkar. Mereka terngaga dan macam tidak percaya kerana akibat merekalah, institusu kehakiman kita tercalar.

Rakyat Malaysia … percayalah bahawa kerajaan tidak pernah menyekat atau mengganggu sistem kehakiman kita. Mahkamah kita berlaku adil kepada sesiapa sahaja. Trimalah hakikat bahawa benar tetap benar.

Rakyat Malaysia … jangan terlalu mudah menjadi alat kepada manusia durjana yang mahu merosakkan negara. Manusia yang takut dengan instituti kehakiman adalah mereka yang sengaja melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang. Kita negara berdaulat, negara yang berpegang kepada peraturan serta undang-undang.

Rakyat Malaysia … mari kita tolak pembangkang, merekalah pengkhianat kepada keadilan dan perosak kepada segala kebaikan yang telah terbina.



Khamis, 7 Mei 2009

CERITA KARTUN DI PERAK

Assalamualaikum …

Sungguh lawak. Itu yang boleh saya rumuskan apabila berbual dengan kawan-kawan mengena sidang DUN Perak yang berlangsung semalam. Tidak pernah sebelum ini, dan itulah sejarahnya yang dapat kita lihat. Jika rakyat masih buta daripada melihat tabiat pemimpin yang gilakan kuasa, tamak kedudukan – saya tidak tahulah apa yang hendak saya katakan lagi. Terlalu menjengkelkan sikal wakil rakyat pembangkang dan memang tradisi sifatnya mereka tidak tahu mematuhi undang-undang serta peraturan. Mereka melaungkan soal keadilan dan kedaulatan tetapi merekalah yang mencemarkannya. Mereka bercakap mengenai Islam, itukah akhlak yang diajar oleh Islam. Nik Aziz, komen sikit. Alah, kalau isu gambar bogel wakil rakyat PKR, Nik Aziz boleh sokong, takkan kes di Perak, Nik Aziz tak boleh cari alasan untuk menyokong.

Politik itu berputar, ia sama seperti berputarnya otak orang politik. Itu jelas. Saya juga malu dengan ulasan beberapa manusia yang bergelar pensyarah Universiti dalam temubual dengan mereka di sebuah stesen TV malam tadi. Mereka ini pensyarah Sains Politik dan Undang-Undang tetapi mereka tidak mengupas secara bijak apa yang sebenarnya berlaku di Perak. Inilah yang saya katakan dunia sudah terbalik. Yang kita anggap sebagai manusia cerdik tiba-tiba jatuh sakit menjadi manusia yang begitu bodoh. Mari kita tengok hujjah mereka.

seorang pensyarah universiti tempatan dalam rancangan itu berkata, kerajaan BN mesti gentlement untuk menghadapi pilihan raya negeri jika mahu melihat kemelut yang berlaku.

Jawapan saya: mengapa seorang profesor begitu mempunyai otak yang bengap dan bangang sangat. Mengapa soal gentelment itu diletakkan di bahu pemimpin BN sahaja. Nizar bagaimana?. Selepas keputusan PRU 2008, secara prinsipnya BN layak berkuasa kerana mereka adalah parti yang sah berbanding Pas, PKR dan DAP. Bagaimanapun mereka mendakwa saling menyokong, maka Istana telah memanggil setiap wakil rakyat pembangkang untuk mengesahkan adakah benar mereka sepakat untuk menubuhkan kerajaan. Selepas Istana berpuas hati, maka pelantikan MB di kalangan pembangkang itu dibuat. Soalnya, bila tiga wakil rakyat PKR melompat sebagai calon bebas dan istana memanggil mereka untuk mendapatkan pengesahan, maka hal yang sama telah dibuat. MB dilantik di kalangan parti yang mempunyai sokongan majoriti.

Kalau Nizar Gentlement, istana tak payah sampai panggil dia mengadap atau menyuruh dia lepas jawatan MB. Dia sudah hilang kepercayaan dan suara majoriti di DUN Negeri, maka dia sepatutnya dengan rela hati kena lepaskan jawatan. Ini tidak, dia mengigau dan minta DUN dibubarkan. Apa kes. Kerajaan BN ketika tumbang di Perak dengan majoriti yang sama, mereka tidak memberontak pun. Mereka akur dengan keputusan yang ada. Nizar dan pembangkang macamana?.

Dan, banyak lagi point-point yang kabur yang dibawakan pensyarah tersebut. Maka tidak hairanlah pemikiran graduan kita tidak ke mana sebab otak pensyarah pun tidaklah berapa betul sangat. Maaflah, saya bukan mahu menghentam sangat tetapi kerana mereka juga manusia dan mempunyai naluri dan selera politik sama seperti orang bodoh, maka sewajarnya saya marah. Kalau beri pandangan, jika alasannya kukuh, oklah juga.

Masalah di Perak boleh selesai jika pembangkang boleh menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak lagi menerima suara majoriti. Itu pandangan saya. Jika mereka tidak berpuas hati, baik tunggu PRU akan datang. Kan, pembangkang nak perintah Malaysia. Takkan tak sabar-sabar kot.




Selasa, 5 Mei 2009

SUDAH TERANG LAGI BERSULUH ... GILA!

Assalamualaikum …
Saya menerima panggilan telefon dan sms yang agak luar biasa dalam tempoh sehari dua ini. Entahlah, saya pun tak tahu mengapa jadi begitu tetapi mereka mungkin menyangka bahawa banyak tahu mengenai hal ehwal politik Terengganu yang sedang hanyut sekarang ini. Saya sendiri pun tak tahu mengapa saya dianggap sebagai orang yang tahu. Saya hanya menganalisa berasaskan pengetahuan politik serta merumuskan menjadi satu andaian yang saya yakin boleh menjadi kenyataan.

Ada juga yang mendakwa, saya menentang MB Terengganu, Datuk Ahmad Said melalui tulisan saya. Tidak. Saya tidak menentang beliau kerana selagi beliau tidak meletak jawatan atau tidak diganti baharu, beliau adalah MB saya dan saya perlu menyokongnya. Cuma kadangkala, kita tidaklah boleh membuat andaian bahawa setiap tulisan yang tidak memihak kepada MB sebagai menentangnya. Saya amat percaya bahawa setiap tulisan yang mengkritik beliau adalah berasaskan kepada satu perasaan – sayangkan UMNO dan BN.

Kalau anda bertanya kepada orang yang baru dua tiga hari berada di sekeliling MB, memanglah andaian dia lain sebab dia mana tahu sejarah kesusahan politik UMNO/BN sejak 1999. Jadi pada saya, mereka yang menulis di laman blog dengan kritikan yang kadangkala saya akui amat pahit dan pedas adalah kerana mereka sayangkan UMNO dan BN. Sebahagian besar daripada mereka tidak memetik suara pembangkang dan dimasukkan pula ke laman blog mereka jika dibandingkan dengan manusia yang mendakwa dirinya UMNO. Kita kena ambil positif mengenainya.

Saya juga diberitahu ada majlis penerangan di Dungun tetapi malangnya saya terlepas daripada menghadiri majlis tersebut. Maka saya tidak tahulah apa isinya. Cuma, saya diberitahu, ada suara-suara agak keras terhadap penulis blog tertentu. Tak tahulah. Kalau nak tahu apa komen umum saya, begini:

begitulah budaya sebahagian pemimpin UMNO. Apabila berlaku krisis atau kemelut, mereka boleh memanggil perjumpaan, malah siap ada suruh tandatangan surat aku janji. Boleh pakai ke janji orang politik?. Peliknya, jika tak ada kemelut, puak ini tidak pernah kisah langsung. Nak jentik Pas pun tak ada dalam otak mereka. Mereka tak sanggup nak adakan perjumpaan untuk menjelas isu-isu semasa yang berkaitan dengan musuh politik UMNO tetapi lebih fokus kepada isu dalaman yang semua orang sudah pun tahu mengenainya.

ketua bahagian UMNO pula, pun sama juga. Mereka kalau dipilih sebagai calon, memang seronok tapi kalau tak dipilih, adakah dia sanggup bekerja untuk parti?. Atau hanya duduk di rumah, makan malam bersama keluarga berpeluk tubuh dan sebagainya?. Adakah mereka juga akan turun berkempen membantu jentera. Bila parti menang besar, wah mereka pun kata kemenangan itu bukan jasa di anu seorang tetapi kejayaan kita semua. Kepala otak kau kejayaan kita semua!. Saya mengenali sebahagiannya dan saya tahu apa cerita sebenarnya.

biasanya, orang yang menyuluh di waktu yang terang, dia ni bolehlah dianggap biul atau bahasa yang mudah, gila!. Jadi, kalau tak nak orang mengatakan kita ini gila, tak payahlah susah-susah bukak lampu di waktu sudah terang. Orang dah nampak semuanya dah. Buat apa yang suluh-suluh. Orang dah nampak dalam tempoh setahun lalu Terengganu sudah ada bangunan pencakar langit, orang pun dah nampak Terengganu dah ada pembangunan yang amat pesat. Meminjam cerita Mat Sabu, ketika dia turun daripada kapal terbang, telinganya amat sakit. Dan, dalam perjalanan dari lapangan terbang ke bandar kuala terengganu, kiri kanan jentera tak henti-henti bekerja. Banyaknya projek di Terengganu. Nak majukan negerilah katakana.

Perbadingan itu molek sangat dikaitkan dengan apa yang ada sekarang ini. Cerita mat sabu itu amat sinis. Anda tafsirlah sendiri. Saya tidak percayakan mat sabu sebab dia orang pas. Bagi saya, orang pas tak boleh dipercayai langsung walaupun satu titik. Saya Cuma tertarik dengan kiasan ceritanya. Maka, demikianlah Terengganu hari ini. Semua orang dah nampak. Jadi, tak payah nak kecoh-kecoh lagi nak buat majlis penerangan dan sebagainya.

Kalau nak panas lagi, mungkin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman boleh buat laporan polis dengan meminta polis siasat mengapa Terengganu “terlalu laju” membangun dalam tempoh setahun lalu sehingga jalan raya di Bandar Kuala Terengganu yang mula-mulanya dua hala telah bertukar menjadi sehala.

Cukuplah. Usah persenda perasaan rakyat. Ingat pesanan Presiden UMNO. Apa yang beliau mahukan. Takkan tak faham-faham lagi.

Sabtu, 2 Mei 2009

POLITIK REPOT POLIS

Assalamualaikum …

Saya tersenyum sinis apabila membaca laporan berita mengenai tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman yang membuat repot polis terhadap penulis blog beberapa hari lalu. Sambil menggeleng kepala saya memberitahu seorang kawan, inikah cara Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berpolitik?. Apa pun alasan di sebalik repot polis yang dibuat itu, saya fikir masih banyak kerja-kerja lain yang perlu dibereskan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kemaman itu.

Inilah trend berpolitik sebahagian daripada orang UMNO, dan repot polis yang dibuat itu adalah sebahagian daripada apa yang dimaksudkan. Apalah salahnya jika Pemuda UMNO Bahagian Kemaman mengambil pendekatan yang berbeza. Bermuzakarah atau berhujjah misalnya jika ada hal-hal yang mereka tidak berpuas hati. Bukankah ia lebih bagus dan terpuji serta mampu mencambahkan sesuatu yang lebih mendatangkan kebaikan kepada kita semua.

Mengapa pasukan polis kita perlu dibebankan dengan laporan yang bersifat politik semata-mata. Berilah peluang kepada pihak polis menyelesaikan pelbagai masalah yang bertimbun dan orang politik pula menyelesaikan setiap masalah berbangkit secara politik. Adakah Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman lupa kata-kata Presiden UMNO, DS Mohd Najib Tun Razak bahawa zaman memberi halangan atau menyekat kebebasan bersuara sudah berakhir. Ia hanya sesuai di zaman yang sudah lapuk. Cara berpolitik seperti itu tidak membawa UMNO ke mana-mana melainkan ia mendedahkan betapa mereka dihinggapi penyakit takut, bebal dan tidak sanggup berhujjah.

Memang, demokrasi membenarkan sesiapa pun membuat repot polis apabila ada hal yang difikirkan perlu. Namun, dalam kes bloger yang dimaksudkan tadi, saya tidak nampak di mana masalahnya. Maksud saya, terlalu teruk sangatkah kesan tulisan di bloger tersebut?. Adakah ia membawa ancaman yang dahsyat kepada masyarakat dan negara?. Apabila isunya remeh, maka ia menyerjemahkan cara berfikir orang yang melakukannya juga remeh.

Bagi saya, bloger adalah penulis yang istimewa. Mereka menulis tanpa dibayar gaji, jauh sekali untuk mendapat imbuhan. Mereka membawa ke setiap penjuru dan waktu komputer riba dan kadangkala terpaksa singgah di siber café untuk menulis di laman blog. Kesusahan mereka tidak diupah tetapi mereka gigih menulis dan melontarkan pandangan yang mereka percaya ia benar. Jika ada yang bersifat teguran, maka teguran itu tidaklah boleh dipandang remeh.

Justeru, pandangan mereka jujur dan ikhlas walaupun penerimaannya mencetuskan persepsi yang berbeza. Itu hak masing-masing. Tapi, jika kita tidak bersetuju dengan setiap tulisan dan terus membuat repot polis, nampak ia kurang profesional, apatah lagi yang melibatkan orang politik seperti Pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

Jika kita tidak bersetuju terhadap setiap tulisan di laman blog, ia tidaklah bermaksud tulisan itu salah. Kepada pembaca yang lain, kesannya pula sudah tentu lain. Jadi, adalah lebih baik jika setiap pandangan di laman blog ini diambil iktibar dan dijadikan panduan untuk memperbetulkan keadaan jika perlu.

Jika saya boleh cadangkan, maka saya mahu mencadangkan kepada Pemuda UMNO Bahagian Kemaman agar melayari lebih banyak laman blog di internet. Jika itu yang mereka boleh lakukan, saban hari repot polis mereka boleh buat. Kita kena jujur jika mahu melihat cara berpolitik kita diterima rakyat. Janganlah dengan sikap yang tidak langsung menunjukkan kematangan itu akan menyebabkan rakyat membuat penilaian yang merugikan kita.

Kita tunggulah siasatan polis nanti hasil daripada repot yang dibuat. Cuma, kalau setakat nak cari publisiti dan sekadar mahu “mengampu” pemimpin dengan kaedah sedemikian, maka saya fikir, ia elok dihentikan. Kita mesti lebih fokus terhadap kerja politik kita kerana cabaran yang sedang berlegar amat memerlukan kita berpolitik secara matang.

Cuma, saya bimbang kita akan dilabelkan sebagai pengamal politik hingusan di saat semua orang semakin takut dan bimbang dengan penularan selesema babi yang akhirnya akan membunuh politik kita sendiri. Insaflah.