Ahad, 24 Mei 2009

SURAT PENDEK KEPADA NIZAR

Assalamualaikum Datuk Seri,

Kemelut politik di Perak telah menarik perhatian banyak pihak termasuk manusia yang tinggal di luar Perak seperti saya. Saya mengikuti perkembangan di negeri Datuk Seri dengan penuh minat dan teliti. Sehinggalah Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa Datuk Seri Zambry Abdul Kader adalah MB Perak yang sah, ternyata saya amat kecewa dengan sikap dan pendirian Datuk Seri.

Walaupun saya gembira apabila Datuk Seri memulangkan kereta rasmi MB, namun tindak-tanduk Datuk Seri yang seolah-olah seperti masih tidak mampu menerima kenyataan amat mengecewakan. Saya di Terengganu, sedikit pun tidak nampak apakah asasnya Datuk Seri menuntut pilihan raya negeri diadakan. Ya, saya tidak berada di Perak dan mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang ada di sana. Namun, apakah isu sebenarnya sehingga Datuk Seri mahu DUN Perak dibubarkan?.

Mengapa sekarang Datuk Seri meminta hak rakyat dikembalikan untuk memilih kerajaan negeri. Atas alasan apa Datuk Seri jika tidak dengan naiwaitu mahu mengekalkan kuasa di Perak?. Jika hendak mengikut parti, BN mempunyai 28 kerusi berbanding hanya enam kerusi PAS dan dicampur DAP dan PKR, kumpulan Datuk Seri mempunyai 28. Dan, tiga lagi wakil bebas mengistiharkan mereka menyokong BN. Sifirnya, sama PAS sokong DAP, PKR dan sebaliknya. Tidak ada jumlah kerusi yang sama antara kumpulan Datuk Seri dengan BN yang telah mendapat sokongan wakil bebas. Jadi, untuk apa pilihan raya kecil negeri Datuk Seri?.

Sekarang Datuk Seri mahu memulakan kempen mogok lapar pula. Untuk apa?. Tidak ada faedahnya Datuk Seri berlapar kecuali hanya dapat menjimatkan wang Datuk Seri sahaja.

Datuk Seri,

Saya rakyat yang kecil. Saya berfahaman demokrasi bukan bermaksud pilihan raya semata-mata sebagaimana sempitnya pemikiran kumpulan Datuk Seri. Datuk Seri pemimpin sebuah parti yang mendakwa mahu menegakkan negara Islam, mahu melaksanakan undang-undang hudud. Sepatutnya, akhlak politik Datuk Seri juga mestilah berpaksikan kepada dasar parti Datuk Seri. Atau, adakah semua itu hanya sandiwara semata-mata?.

Saya anak Melayu Datuk Seri. Terus-terang, saya malu jika mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri. Lebih malu lagi apabila ramai juga yang Datuk Seri berjaya perbodohkan sehingga ada yang bertindak melulu di Perak. Insaflah Datuk Seri, kebenaran bukan menjadi hak mutlak Datuk Seri dan kumpulan Datuk Seri semata-mata. Kami rakyat mempunyai hak kami juga. Saya yakin, kebenarannya ialah kumpulan Datuk Seri sudah hilang kepercayaan di DUN Perak.

Jika saya boleh cadangkan kepada Datuk Seri, cukuplah mengganggu kerajaan Perak yang ada. Mengapa Datuk Seri tidak mampu bersabar sehingga PRU-13 nanti. Jika Datuk Seri yakin parti kumpulan Datuk Seri sudah kuat perkasa, kemenangan pasti menanti kumpulan Datuk Seri pada PRU-13. Bersabarlah.

Datuk Seri,

Demokrasi sedang berlangsung. Janganlah kerana apa yang diingini tidak memihak kepada Datuk Seri, maka Datuk Seri dan kumpulan Datuk Seri mahu menafikan hakikat yang berlaku. Cukuplah Datuk Seri.

Datuk Seri mampu membela nasib rakyat Perak walaupun Datuk Seri tidak menjadi MB Perak. Kan, Datuk Seri pun baharu menang kerusi Parlimen Bukit Gantang. Tumpukan pada amanah rakyat kepada Datuk Seri daripada Datuk Seri mencabar sesuatu yang jelas tidak membawa apa-apa faedah untuk rakyat.

Saya percaya Datuk Seri sendiri sedar mengenai proses demokrasi dan kerana itu Datuk Seri menfailkan kes pelantikan MB yang sah ke Mahkamah Persekutuan. Semoga Datuk Seri berjaya dan jika tidak berjaya, terimalah hakikat yang ada. Rakyat kini memerlukan pembelaan, bukan diperbodohkan.

Ingat tu Datuk Seri.




Tiada ulasan: