Sabtu, 2 Mei 2009

POLITIK REPOT POLIS

Assalamualaikum …

Saya tersenyum sinis apabila membaca laporan berita mengenai tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman yang membuat repot polis terhadap penulis blog beberapa hari lalu. Sambil menggeleng kepala saya memberitahu seorang kawan, inikah cara Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berpolitik?. Apa pun alasan di sebalik repot polis yang dibuat itu, saya fikir masih banyak kerja-kerja lain yang perlu dibereskan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kemaman itu.

Inilah trend berpolitik sebahagian daripada orang UMNO, dan repot polis yang dibuat itu adalah sebahagian daripada apa yang dimaksudkan. Apalah salahnya jika Pemuda UMNO Bahagian Kemaman mengambil pendekatan yang berbeza. Bermuzakarah atau berhujjah misalnya jika ada hal-hal yang mereka tidak berpuas hati. Bukankah ia lebih bagus dan terpuji serta mampu mencambahkan sesuatu yang lebih mendatangkan kebaikan kepada kita semua.

Mengapa pasukan polis kita perlu dibebankan dengan laporan yang bersifat politik semata-mata. Berilah peluang kepada pihak polis menyelesaikan pelbagai masalah yang bertimbun dan orang politik pula menyelesaikan setiap masalah berbangkit secara politik. Adakah Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman lupa kata-kata Presiden UMNO, DS Mohd Najib Tun Razak bahawa zaman memberi halangan atau menyekat kebebasan bersuara sudah berakhir. Ia hanya sesuai di zaman yang sudah lapuk. Cara berpolitik seperti itu tidak membawa UMNO ke mana-mana melainkan ia mendedahkan betapa mereka dihinggapi penyakit takut, bebal dan tidak sanggup berhujjah.

Memang, demokrasi membenarkan sesiapa pun membuat repot polis apabila ada hal yang difikirkan perlu. Namun, dalam kes bloger yang dimaksudkan tadi, saya tidak nampak di mana masalahnya. Maksud saya, terlalu teruk sangatkah kesan tulisan di bloger tersebut?. Adakah ia membawa ancaman yang dahsyat kepada masyarakat dan negara?. Apabila isunya remeh, maka ia menyerjemahkan cara berfikir orang yang melakukannya juga remeh.

Bagi saya, bloger adalah penulis yang istimewa. Mereka menulis tanpa dibayar gaji, jauh sekali untuk mendapat imbuhan. Mereka membawa ke setiap penjuru dan waktu komputer riba dan kadangkala terpaksa singgah di siber café untuk menulis di laman blog. Kesusahan mereka tidak diupah tetapi mereka gigih menulis dan melontarkan pandangan yang mereka percaya ia benar. Jika ada yang bersifat teguran, maka teguran itu tidaklah boleh dipandang remeh.

Justeru, pandangan mereka jujur dan ikhlas walaupun penerimaannya mencetuskan persepsi yang berbeza. Itu hak masing-masing. Tapi, jika kita tidak bersetuju dengan setiap tulisan dan terus membuat repot polis, nampak ia kurang profesional, apatah lagi yang melibatkan orang politik seperti Pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

Jika kita tidak bersetuju terhadap setiap tulisan di laman blog, ia tidaklah bermaksud tulisan itu salah. Kepada pembaca yang lain, kesannya pula sudah tentu lain. Jadi, adalah lebih baik jika setiap pandangan di laman blog ini diambil iktibar dan dijadikan panduan untuk memperbetulkan keadaan jika perlu.

Jika saya boleh cadangkan, maka saya mahu mencadangkan kepada Pemuda UMNO Bahagian Kemaman agar melayari lebih banyak laman blog di internet. Jika itu yang mereka boleh lakukan, saban hari repot polis mereka boleh buat. Kita kena jujur jika mahu melihat cara berpolitik kita diterima rakyat. Janganlah dengan sikap yang tidak langsung menunjukkan kematangan itu akan menyebabkan rakyat membuat penilaian yang merugikan kita.

Kita tunggulah siasatan polis nanti hasil daripada repot yang dibuat. Cuma, kalau setakat nak cari publisiti dan sekadar mahu “mengampu” pemimpin dengan kaedah sedemikian, maka saya fikir, ia elok dihentikan. Kita mesti lebih fokus terhadap kerja politik kita kerana cabaran yang sedang berlegar amat memerlukan kita berpolitik secara matang.

Cuma, saya bimbang kita akan dilabelkan sebagai pengamal politik hingusan di saat semua orang semakin takut dan bimbang dengan penularan selesema babi yang akhirnya akan membunuh politik kita sendiri. Insaflah.







1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aku cuma nok komen pasal ada seorang bloger yg copy kenyataan pemuda AMK pasal isu sms ugutan. Dulu aku dok percaya, lening aku percaya bahawa bila tersepit, orang yg mengaku umno akan cari pembangkang. sama jugok copy kenyataan pembangkang letak dalam blog dia. lugar mulut aku baca dan tengok.