Ahad, 17 Mei 2009

BENARKAH KHABAR POLITIK

Salam bloger,
Ketika kaki melangkah menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta, Jakarta seseorang mengirim sms memaklumkan bahawa TS Muhyiddin Yassin telah mengumumkan di Kuala Terengganu bahawa Datuk Ahmad Said kekal sebagai MB, sekaligus mengakhiri kemelut yang berlaku. Saya tidak terkejut kerana itu sesuatu yang boleh dijangka. Namun, di hati kecil saya, saya mahu mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya.

Apabila tiba di Malaysia dan melayari laman-laman blog serta membaca berita, maka benarlah kata kawan saya itu. Pun begitu, apa yang disebutkan TPM masih boleh menimbulkan keraguan dan persepsi politik yang berbeza. Saya pernah menulis di ruangan ini bahawa rakyat Terengganu mesti diberikan jawapan yang muktamad mengenai kedudukan MB Terengganu bagi meredakan keadaan.

Jika ditanya kepada saya, saya tidak kisah mengenai siapakah MB Terengganu kerana kedudukan itu tidak pernah menjadi penentu kepada nasib saya. Saya tidak mempunyai kepentingan untuk mempertahankan MB yang ada atau saya tidak mencari kepentingan untuk melakarkan betapa perlunya MB yang baru. Maksudnya, sesiapa juga yang menjadi MB, ia bukan satu kepentingan buat saya. Ia tidak mengubah hidup saya pun. Ia berbeza dengan manusia yang berkepentingan. Manusia sedemikian, mereka akan mempertahankan sesuatu yang berkait dengan kepentingannya walaupun apa yang dipertahankan itu jelas merugikan rakyat dan negeri, apatah lagi parti.

Jika kita meneliti manusia yang berkepentingan ini, ada tahu mengapa mereka mempertahankan sesuatu yang tidak wajar dipertahankan.

Namun, sebagai rakyat Terengganu yang hidup di negeri saya ketika UMNO menang dan kalah dalam pilihan raya yang menyaksikan satu perjuangan yang amat menyiksakan, saya fikir, saya berhak menulis dan menyatakan apa yang saya yakininya adalah demi rakyat, bukannya demi individu.

Jika bertanya kepada saya, apa yang dicakapkan TS Muhyiddin itu bukanlah bersifat satu pengumuman tetapi ia lebih kepada menjawab pertanyaan wartawan mengenai perkembangan politik Terengganu sendiri. Bukan tidak mahu mempercayai atau menerima hakikat tetapi apa yang dicakapkan TS Muhyiddin itu adalah amat tepat sekali. UMNO tidak pernah membincangkan mengenai kedudukan MB Terengganu. Yalah, itu utusan Presiden UMNO dan sudah tentu kedudukan MB tidak perlu diperbincangkan di peringkat UMNO. Dulu masa pemilihan Datuk Ahmad Said, mana ada bincang mengenai pelantikan itu di MT kecuali Pak Lah yang mahi pelantikan itu disahkan selepas beliau kecek semua ADUN Terengganu. Itu jelas.

Dan, satu persepsi lain, pengumuman orang politik tidak boleh dipakai sepenuhnya. Dulu, masa wartawan tanya Pak Lah pasal tarikh pilihan raya, bekas PM itu kata ia tidak berbangkit langsung dan tidak tahu bila diadakan. Tup…tup, dia umum bubar Parlimen dan akhirnya BN lingkup. Begitu juga mengenai politik Terengganu yang memungkinkan sesuatu kejutan berlaku pada bila-bila masa.

Dan jika benar apa yang dikatakan itu sebagaimana yang benar-benar dimaksudkannya, saya berani menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang mengecewakan bagi rayat Terengganu dan sebahagian besar ahli UMNO. Datuk Ahmad Said bukannya seorang yang tidak bagus tetapi rakyat telah menilainya begitu kerana lebih setahun mengambil alih tampuk pemerintah, rakyat berkata “Terengganu tak ada apa-apa … macam zaman Pas juga lening”. Ya, ia sesuatu yang perit, tetapi jika itu kenyataannya, apa lagi yang boleh dibuat.

Saya berpendapat, Datuk Ahmad Said jika dikekalkan sebagai MB, beliau perlulah berubah dalam penilaian dan tindakan politiknya. Hanya perubahan yang boleh membantu meningkatkan imej beliau selain mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri. Ramai orang bercakap mengenai orang di sekelilinya yang tidak disenangi. Saya tidak tahu sejauh manakah ia benar atau sebaliknya tetapi itu yang selalu diperkatakan walau di mana pun saya pergi. Politik disegarkan melalui persepsi. Walaupun seseorang itu tidak disukai bukan bermaksud dia bukan seorang yang baik, namun percaturan politik pula terbalik.

Orang yang baik tetapi persepsi sudah tercemar, maka ia sudah tidak layak lagi berada di tempat yang dia berada. Apatah lagi persepsi itu adalah sesuatu yang memang benar-benar mengenai perangainya, keperibadiannya dan latar belakangnya tidak disukai, maka sama jugalah keputusannya. Tidak layak!. Justeru perubahan mesti dilakukan.

Apa pun saya percaya bahawa semuanya mahu mencari kebaikan. Saya tidak nampak majoriti ADUN BN yang tidak bersetuju dengan MB Terengganu melakukan sedemikian hanya kerana soal kepentingan. Mereka telah tidur sebantal dan tinggal dalam satu rumah sejak sekian lama ketika kalah dan menang parti BN di Terengganu. Mereka lebih kenal sesama mereka berbanding kita yang berada di luar.

Sebenarnya apa yang menyedihkan, sifir politik sudah berubah. Yang majoriti pun belum tentu boleh menang. Di Perak, BN sudah mempunyai majoriti tetapi masih “kalah” kerana terus diganggu oleh mereka yang manoriti. Jika yang manoriti menghormati yang majoriti, maka rakyat akan lebih bertuah kerana ADUN itu mewakili suara rakyat yang diwakilinya. Di Perak, jika Nizar melepaskan jawatan kerana secara moralnya beliau sudah hilang kepercayaan ADUN di DUN, maka selesailah masalah. Ini soal penghormatan dan kita tidak boleh terikat dengan soal teknikal.

Ada pun di Terengganu sama, majoriti ADUN BN menolak kepimpinan Datuk Ahmad Said dengan jelas tetapi pucuk kepimpinan UMNO Pusat, apatah lagi pentadbiran negara nampak bagaikan “tidak serius” untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Sampai bila rakyat Terengganu mesti diperbodohkan dan diperlekehkan. Yang rugi ialah rakyat dan UMNO.

Jika muktamad Datuk Ahmad Said kekal sebagai MB, adakah ia memadai hanya dengan satu pengumuman?. Apa kesudahannya?. Apa tindakan selanjutnya, baik dari MB sendiri atau kumpulan ADUN parti?. Sampai sekarang, saya belum menemui jawapan mengapakah begini wajah politik Terengganu.

Ya benar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO telah dilantik iaitu DS Hishamuddin Tun Hussein tetapi sejauh manakah tindakan beliau dalam menyelesaikan masalah ini?. Hanya cukupkah sekadar ubah jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO?. Saya amat sedih jika UMNO kehilangan kuasanya kembali di Terengganu pada PRU akan datang. Ia amat memeritkan. Jika anda bertanya kepada manusia yang datang ketika menang, pastinya mereka tidak faham mengenai apa yang kita lalui di sini dahulu. Apatah lagi mereka datang atas nama kepentingan ketika BN menang. Jadi, mereka tidak mahu peduli mengenai apakah nasib UMNO dan BN kerana mereka lebih peduli untuk mempertahankan kepentingannya.

Entahlah…



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau gini rupa dan cara pemimpin pusat selesai masalah tranung, alamat hancurlah umno, sama macam umno malaysia yang nak rebah. pemimpin umno nampak lembab. berubahlah.

Yb Nasir berkata...

Re:comment di blog saya

Terima kasih,insyaALLAH saya akan terus menulis,kerana kadang-kadang rakyat memerlukan kita 24 jam,dan 7 hari seminggu,jadi kemungkinan masa untuk diri sendiri benar-benar menulis apa yang terbuku dihati tidak berkesempatan,harap rakan-rakan bloggers daat memahami tugasan saya,jangan seperti sesetengah bloggers yang menyalahkan pegawai saya dan saya ,harap mereka perlu faham dengan tugasan kami