Rabu, 13 Mei 2009

KEDEGILAN DAN KERAKUSAN

Assalamualaikum …

Saya telah mengambil masa untuk memahami tetapi saya tidak menemui jawapannya mengapa semua pihak mendesak agar DUN Perak dibubarkan berikutan krisis dan kemelut yang berlaku. Mereka memberikan alasan kononnya di atas nama demokrasi dan mengembalikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri semula. Pakatan Pembangkang nampak lebih yakin untuk memenangi pilihan raya negeri jika DUN dibubarkan dan kerana itu mereka mendesak. Manakala BN pula dilihat agak takut kerana kekuatan politiknya sejak PRU ke-12 masih diragui.

Saya tidak melihat pilihan raya semula sebagai asas kepada sistem demokrasi. Demokrasi tidak boleh hanya diterjemahkan semata-mata dengan pilihan raya kecil. Maafkan saya, jika saya terpesong sedikit dalam memberikan pandangan. Ya benar, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa DS Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah tetapi Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh DS Dr Zambery Abdul Kader. Itu proses mahkamah dan ia diterima pakai, biarlah.

Akal saya kuat menyatakan bahawa kemelut di Perak tidak perlu diakhiri dengan pilihan raya negeri atau pembubaran DUN. Jalan penyelesaian terbaik ialah DS Nizar mestilah meletakkan jawatan sebagai MB secara terhormat kalau benar beliau seorang pemimpin yang menjunjung demokrasi dan kepentingan rakyat. Sifirnya mudah. Parti DS Nizar sudah kehilangan sokongan majoriti. Hanya orang gila sahaja yang akan mengira 31 lawan 28, yang 28 diistiharkan menang. Ya, ada hal-hal teknikal di situ tetapi moralnya begitulah, DS Nizar mesti melepaskan jawatan dengan sukarela kerana beliau sudah hilang sokongan ADUN.

Pembentangan usul undi tidak percaya hanyalah hal teknikal. Maafkan saya, saya melihat kedegilan DS Nizar adalah punca kemelut yang berlaku di Perak. Jika DS Nizar masih mempunyai sokongan majoriti, DS Nizar berhak bertindak sebagaimana beliau lakukan sekarang tetapi apa yang tercatat adalah sebaliknya. Mengapa rakyat Perak mesti dibebankan dengan pilihan raya negeri sedangkan perkiraan sudah jelas bahawa Pakatan Pembangkang sudah hilang sokongan majoriti?.

Saya tidak bersetuju pilihan raya negeri diadakan bukan kerana soal takut tetapi adalah bodoh bagi BN yang telah diberikan mandat dan memiliki sokongan majoriti menyerahkan semula kepada rakyat. Walaupun saya bukan orang Perak, saya nampak rakyat Perak telah diganggu oleh seorang pemimpin yang keras kepala dan degil seperti DS Nizar.

Jika saya boleh mengesyorkan, DS Nizar lepaskan jawatan MB secara baik dan beliau dan rakan-rakan mereka tunggulah PRU ke-13 jika mahu merampas semula kuasa negeri di Perak. Jika tidak pun, tunggulah ADUN BN atau yang menyokong BN mati seorang demi seorang sehingga membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Rakyat tidak boleh diperangkap dan terperangkap dengan apa yang sedang berlaku.

Isu di Perak bukan pembubaran DUN tetapi kedegilan. Jadi, jika rakyat Perak tidak tahu hendak mengajar mereka yang degil, tak tahulah apa nak cakap. Terpulanglah.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ko tu bukan rakyat peraka apa tau....
Masalahnya BN mengambil alih kuasa secara tidak demokratik. Kalaupun betul ada majoriti apsal tak dibuat persidangan tergempar??? Buatlah undi tidak percaya!!! Masalahnya BN telah melanggar arus demokrasi dengan cara memerintah secara paksa dan bukanya atas kehendak rakyat. Kami rakyat Perak telah muak dengan mainan politik BN yg kotor dan tidak dapat menerima kekalahan. Anda tidak nampak ke apa yg di buat oleh BN terang2 melanggar peraturan???? Itulah gila kuasa namanya!!! Mahkamah, polis, SPR semuanya terang2an memihak kepada BN... Awak pergilah belajar lagi tentang undang2 tubuh kerajaan negeri Perak!!! Yang Benar Tetap Benar & yang salah mengaku sajalah yg ianya memang tetap salah!!!!

Oh Malaysiaku berkata...

kalau nak tahu soak penyalahgunaan kuasa, tanya sivakumar. kalau sivakumar speaker bertanggungjawab, undi tak percaya dah lama selesai. masalahnya, orang yang gila kuasa ialah mereka yang tak sampai setahun berkuasa. itulah gila kuasa. tak ada bukti BN langgar undang-undang. kata-kata saudara hanya bersifat tuduhan. tq