Rabu, 20 Mei 2009

SELESAI?,... TAK SELESAI. PERCAYA?... OH TAK PERCAYA

Salam bloger,
Ramai yang bertanya saya, apakah kisah dan hasil pertemuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, DS Hishamuddin Tun Hussein dengan semua Ketua UMNO Bahagian dan ADUN Barisan Nasional di Putrajaya malam tadi. Saya tidak mampu menjawab soalan itu kerana saya tidak berada dalam pertemuan tersebut. Saya tidak boleh menulis berasaskan andaian semata-mata. Jika ada “orang luar” yang tidak ada pada pertemuan itu yang bercakap atau menulis mengenai pertemuan tersebut, ia tidak boleh diterima atau dipakai sepenuhnya. Apatah lagi ia di pihak yang berkepentingan. Tidak boleh.

Benarkah sudah selesai krisis yang berlaku selepas pertemuan malam tadi – itu juga yang disoal kepada saya. Penilaian saya, ia masih belum selesai dan tiada apa yang dimuktamadkan. Saya amat bertegas bahawa kemelut politik Terengganu tidak mungkin dapat diselesaikan hanya dengan pertemuan di Putrajaya malam tadi atau hanya menukar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Hanya setakat itu?. Saya tidak bermaksud atau mendesak MB ditukar sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut yang ada walaupun itu mungkin menjadi antara langkah tepat bagi meredakan apa yang sedang berlaku. Jika Datuk Ahmad Said kekal sebagai MB, kekallah.

Namun, adakah ia hanya memadai sekadar kekal dan ia habis begitu sahaja?. Jika begitu, masalah politik Terengganu tidak akan selesai sampai bila-bila pun sehinggalah BN ditewaskan pada PRU akan datang. Jika itu berlaku, maka ia adalah satu nasib yang amat malang bagi rakyat Terengganu.

Jika MB kekal, masalah akan selesai jika MB mampu dan bersedia melakukan perubahan. Ada kelemahan sebenarnya. Jika tidak ada, air yang tenang tidak akan berkocak. Menerima teguran tetapi tidak bertindak ia tidak akan membawa apa-apa pengertian. Maka, MB mesti melakukan perubahan jika benar rakyat didahulukan, parti diutamakan. Adalah amat mustahil setiap teguran yang dibuat kesemuanya tidak berasas. Tidak mungkin.

Saya percaya bahawa jika MB dikekalkan dan beliau bersedia melakukan perubahan hasil daripada teguran yang dibuat, kesemua ADUN yang kini jauh daripada beliau akan kembali bertaut. Ia tidak mustahil. Tapi janganlah mengambil tindakan sebaliknya.

Beberapa contoh yang boleh dikutip ialah majlis-majlis yang bersifat menyerang “kumpulan 18” ADUN Barisan Nasional oleh puak MB sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Dungun tempohari. Adakah itu cara yang difikirkan terbaik dalam menyelesaikan masalah atau merapatkan hubungan yang kian retak sedangkan “kumpulan 18” tidak menyerang kecuali beberapa insiden pada sidang DUN tempohari. Begitu juga dengan pembantu-pembantu MB (Bunyi macam pasukan Nik Aziz juga sebagaimana yang didedahkan Nik Abduh), mereka juga jangan terlalu mudah menyerang tanpa fakta dan pengetahuan yang benar.

Sama jugalah dengan pertemuan dengan DS Hishamuddin malam tadi. Pertemuan belum pun habis, tetapi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan telah memberikan kenyataan kepada Malaysiakini yang masih menyalahkan wakil-wakil rakyat BN tersebut. Jadi, adakah ini yang dikatakan cara menyelesaikan masalah?. Hebat sangatkah Ketua UMNO Bahagian sehingga boleh mengeluarkan kenyataan memperlekehkan wakil rakyat? Ketua Bahagian UMNO dipilih oleh siapa dan dengan cara yang bagaimana bentuk pemilihannya?. Tidak perlu saya sebutkan tetapi anda yang menjadi peminat dunia politik, pastinya sudah sedia faham apa yang saya maksudkan.

Dan, tahukah anda siapa yang memilih wakil rakyat. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Ia datang dari masyarakat yang benar-benar dianggap akar umbi, yang bukan sahaja di kalangan ahli parti tetapi mereka yang bukannya ahli parti. Ada pun, yang memenangkan Ketua UMNO Bahagian ialah perwakilan yang tidak berapa kerat sangat. Jadi, siapa yang lebih terpuji?. Suara siapa yang lebih mulia?. Saya tidak mahu memperlekehkan sesiapa tetapi demi mencari jalan kebaikan, apa yang berlaku itu tidak sepatutnya berlaku.

Saya sedih bila ada Ketua UMNO Bahagian sudah pandai memanggil wartawan Harakah dan bercakap mengenai isu-isu sulit mengenai parti. Bermaruahkah cara begitu?. Lupakah mereka siapakah diri mereka?. Jadi, adakah ini cara menyelesaikan masalah dan kemelut yang berlaku?. Apa yang saya catatkan hanyalah sebahagian daripada contoh semata-mata yang benar-benar berlaku.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, kemelut ini akan selesai dengan dua cara. Pertama, jika MB kekal, perlu ada perubahan dan kedua, jika difikirkan perlu ditukar, maka pertukaran perlulah direalisasikan. Kita tidak boleh terlalu jengkel akalnya sehingga tergamak berkata sesuatu seolah-olah mahu menggambarkan orang lain tidak memahami apa yang berlaku.

Maka itu, belum ada tanda-tanda yang meyakinkan bahawa kemelut ini akan dapat diselesaikan. Saya tidak memahami mengapa ia tidak disegerakan kerana masalah politik jika dibiarkan terlalu lama berlarutan, maka ia akan mengundang penyakit yang boleh membawa parti kita menjadi semakin tenat dan sukar diubati lagi. Bagi mereka yang perasan, mereka akan bersorak gembira selepas TS Muhyiddin mengumumkan di Kuala Terengganu bahawa MB ketika ini adalah kekal padahal transkrip yang saya dengar, tiada disebut begitu. Maafkan saya, saya bukanlah seorang pemenang Anugerah Kajai, hanya seorang wartawan yang kecil-kecilan sahaja. Tetapi jika saya berada di tempat wartawan yang bertanya itu, saya tidak fikir saya mahu bertanya soalan mengenai kedudukan MB kepada Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu sedang berada di sebelah MB yang dimaksudkan.

Sebabnya, jika saya bertanya, saya akan dilabel sebagai antara wartawan yang bodoh kerana bertanya tidak kena pada tempatnya sehingga TPM terlalu tidak selesa dengan jawapan yang mahu diberikan. Sekali lagi, maafkan saya, saya bukan seorang wartawan yang pernah menjadi pengacara di TV, apatah lagi diundang sebagai tetamu dalam rancangan bicara isu-isu semasa di TV. Namun, saya hidup di negeri yang sejak dahulu saya tahu bagaimana wajah dan sifir politiknya. Saya berada di negeri saya ketika parti UMNO senang, susah dan senang kembali.

Terpulanglah kepada anda semua, anda fikirkan sendiri apakah yang bakal berlaku. Segala-galanya tidak mendatangkan faedah selain BN mesti kembali menjadi pembangkang dan yang darat pulang ke darat, yang laut pulang ke laut. Maka bersihlah politik Terengganu dan BN mampu disegarkan semula dalam keadaan yang lebih meyakinkan. Itu saja.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memang MB patut kena tukar. Kalau dia tak nak ditukar, tukar saja pembantu-pembantu yang bodoh sombong di sekeliling dia tu... habis cerita.