Salam politik ...
Tentu sekali isu paling panas di kala ini ialah menjelangnya pilihan raya kecil P36, Parlimen Kuala Terengganu yang akan diumumkan Suruhajaya Pilihan raya (SPR) Jumaat ini. Semua orang sudah tahu apa sebabnya pilihan raya kecil itu terpaksa diadakan dan semua orang sudah tahu apakah keputusan yang diperolehi semua calon pada PRU-12 Mac lalu. Pilihan raya itu mengingatkan kita kepada pilihan raya kecil DUN Kuala Berang pada 2004. Apa tidaknya, kedua-dua pilihan raya kecil ini berlangsung di kala UMNO menunggu hari menjelang pemilihan parti. Maka akan ada dua kempen. Pertama, kempen pilihan raya dan kedua, Kuala Terengganu pastinya menjadi tempat calon-calon berhimpun dan bertemu dengan perwakilan. Keadaan itulah yang akan menghangatkan pilihan raya itu nanti.
Biarlah. Itu cerita lain. Hari ini, saya mahu melontarkan pandangan awal saya mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini. Ada orang kata, BN akan menghadapi laluan sukar untuk kekal memandangkan Allahyarham Datuk Razali menang pun kerana undi pos. Ya memang benar fakta itu. Dan, jika dicongak dengan persekitaran tanpa isu-isu terkini, saya yakin BN bukan sahaja dapat kekal di Kuala Terengganu, malah akan memperolehi majoriti yang banyak. Banyak sebab saya kata begitu. Antaranya, senario PRU-12 tidak boeh disamakan dengan pilihan raya kecil ini kerana sekarang Allahyarham meninggal sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dengan jasa yang amat besar dan banyaknya. Malah, rakyat Kuala Terengganu memperakui jasa Allahyarham dan kerana itu mereka mahu melihat BN terus kekal di Kuala Terengganu. Dan, adalah sebab-sebab lain lagi.
Tapi saya amat takut dengan beberapa perkara. Pertama, kesan daripada pemilihan parti yang masih belum sendik (reda): kedua, perpecahan dua puak (MB dan bekas MB) dan ketiga perangai serta sikap puak dan pemimpin UMNO sendiri. Yang pertama dan kedua tidaklah terlalu kuat kebimbangan saya. Ini kerana, sejauh mana pun perpecahan dalam parti, orang UMNO tetap setia kepada parti. Bagi saya, perpecahan dalam UMNO diperkatakan orang sejak lama dulu. Dan, jika diambil kira di atas nama sepatutnya, UMNO sepatutnya sudah lama kalah dalam pilihan raya kerana ia adalah parti yang sentiasa diperkatakan sebagai berpecah. Ada ketika, orang UMNO akan bersatu walaupun mungkin dalam keadaan tertentu ada kelemahan yang ketara.
Yang paling saya takut ialah hal ketiga. Perangai. Saya catatkan beberapa peristiwa banjir yang berlaku beberapa hari yang lalu. Saya sempat membuat tinjauan di beberapa tempat di Kuala Terengganu dan mendapati antara rungutan paling ketara rakyat (pastinya pengundi) ialah betapa pemimpin UMNO tidak turun padang membantu dan melihat penderitaan mereka. Malah ada yang sudah mula mengecam UMNO dengan nada seolah-olah mahu membalas dendam pada pilihan raya kecil nanti kerana tidak cakna mereka yang susah.
Ada pemimpin UMNO yang saya hantar sms dan menjawab bahawa dia sudah turun tapi orang tak nampak katanya. Tak tahulah ke mana tempat dia turun sampai orang tak nampak. Pelik, kan. Tapi tak apalah. Bagi saya, sikap menunggu diumum tarikh pilihan raya kecil baru nak turun padang, ia sudah terlambat. Masa itu rakyat dan benci dan meluat, dan mereka pasti akan berikan undi kepada pembangkang. Itu tidak syak lagi.
Saya pun tak faham mengapa hal itu berlaku. Ada yang kata, keghairahan berpolitik orang UMNO di Terengganu (dalam konteks menghadapi pilihan raya kecil) sudah jauh merudum dan kerana itu bila berlaku bencana, pemimpin parti yang turun membantu tidaklah sehebat mana. Bukan hendak memuji tetapi dalam hal ini, Pas lebih bijak mencuri kesempatan. Mereka turun menunjukkan muka dan berbual-bual mendengar masalah rakyat. Bukankah politik tidak perlukan modal sangat jika kena caranya. Jadi, mengapa susah sangat nak turun padang dan jenguk rakyat yang kesusahan.
Mengapa mesti tunggu diumum nama calon dan tarikh pilihan raya, baru nak turun. Tak betul macam itu. Saya fikir, MB perlu melihat hal ini dengan serius. Perlu ada satu gerakan segera dalam melancarkan kempen (Sama ada dalam keadaan senyap atau terbuka) dalam memastikan BN menjadi kebanggaan rakyat KT khususnya. Sebabnya, apabila tiba musim pilihan raya kecil nanti, rakyat tidak ragu-ragu untuk mengundi BN.
Tapi yang pelik, pemimpin UMNO amat suka dengan pemilihan di bahagian. Tak tidur malam pun tak apa. Untuk memenangkan parti, susah sikit mereka nak bekerja. Yang akan bekerja ialah mereka yang bodoh dan tak ada apa-apa kepentingan. Semuanya demi saya dan kasihkan parti.
Saya bimbang, rakyat berdendam dan menolak BN. Jika BN kalah, banyaklah yang akan tercalar. Di hati saya, saya mahu BN terus kekal dan KT adalah tempat untuk BN membuktikan bahawa mereka adalah parti yang masih relevan dan diterima baik oleh rakyat. Jika BN kalah, maka masanya BN bersiap-siap mengemaskan pakaian untuk meninggalkan kuasa yang ada pada PRU-13 nanti. Jangan main-main dengannya.