Sabtu, 20 September 2008

KESIANNYA DATUK MUSTAFA ALI



Khabarnya Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali dipanggil (mungkin diajak bertemu) dengan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu baru-baru ini. Isunya ialah kerana Datuk Mustafa dikatakan telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti, sekaligus menggambarkan wujudkan perselisihan pendapat serta pandangan antara kedua-dua pihak.

Saya tidak hadir pada sidang media Datuk Mustafa tempohari, tetapi berdasarkan laporan media keesokannya, saya memahami bahawa kenyataan beliau bahawa penubuhan kerajaan baru yang diangan-angankan PKR tidak akan menjadi kenyataan adalah sesuatu yang benar-benar lahir dari hatinya yang ikhlas.

Sebagai orang lama dalam politik, saya nampak Datuk Mustafa bukan seorang yang hipokrit walaupun ada ketikanya saya juga tidak bersetuju dengan beliau. Beliau melihat apa yang berlaku sekarang, dengan kegilaan kuasa yang melampau oleh PKR dan pengikutnya untuk merampas tampuk pemerintahan negara secara tidak demokrasi adalah sesuatu yang merugikan Pas. Datuk Mustafa nampak bahawa corak politik yang dibawa PKR, terutama cara permainan DS Anwar Ibrahim akan menjahanamkan masa depan Pas jika ia tidak dibendung.

Jelas sekali, hari ini orang terlalu taksub terhadap Anwar. Malah mazhab Anwar juga menular dengan hebatnya ke dalam Pas sehingga ketokohan Nik Aziz dan Haji Hadi sendiri kini tenggelam. Persoalannya ialah, Pas hendak ke mana dalam Pakatan Rakyat. Nak menubuhkan negara Islam?.

pas jangan mimpi selagi DAP ada mendampingi PKR. Apa yang ada hari ini sudah jelas dan nyata. Lihat apa sudah jadi di Selangor. Di mana suara pemimpin Pas apabila ada isu berkaitan kepentingan Islam diganggu-gugat. Dan, jika mereka bersuara pun, siapa peduli dengan suara Pas. Tengok pula apa sudah jadi di Perak. Kalau begini rupa Pas, janganlah diharap Pas mampu mencapai cita-citanya untuk menubuhkan negara Islam.

Saya dapat merumuskan beberapa perkara mengenai Pas berdasarkan iklim politik semasa negara:
1. Pas sudah tenggelam dalam arus politik negara dan kehebatan perjuangan Pas yang selama ini dikaitkan dengan Islam dilihat sudah tidak relevan lagi.
2. Kepimpinan ulama Pas kian terhakis dan bagaikan ada cubaan untuk melenyapkan imej tersebut oleh pihak-pihak tertentu yang pro Anwar di dalam Pas.
3. Rakyat sudah tidak mahu melihat Pas sebagai parti yang mampu membawa perubahan dan Pas bakal berhadapan dengan ancaman politik yang akan menyebabkannya menerima padah dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagi saya, Pas perlu nekad untuk melakukan perkara-perkara yang dianggap perlu. Antaranya:
1. Jika Pas boleh bersekongkol dengan PKR (yang sangat akrab dengan DAP), mengapa Pas tidak boleh mendekati Umno sedangkan saya lihat Umno lebih bersifat terbuka berbanding PKR atau DAP. Pas sebenarnya lebih mempunyai masa depan yang cerah jika mereka bersatu dengan Umno tetapi jika Pas memilih untuk bersendirian, Pas akan terus kekal sebagai parti tempelan di negara ini.
2. Pas perlu membuat perubahan terhadap kepimpinannya sekarang yang banyak dikuasai mereka yang berlatarbelakangkan sekular dan pro DS Anwar.
3. Pas perlu kembali kepada perjuangan asal dengan tegas dan jelas tanpa takut dengan ancaman daripada rakan mereka dalam PKR.

Saya fikir, Datuk Mustafa Ali berada di landasan yang benar apabila mengkritik PKR yang turut mempunyai kaitan dengan Pas. Oleh itu, saya berharap Datuk Mustafa tidak gentar atau takut dengan apa yang berlaku dan beliau seharusnya berani melontarkan lebih banyak pandangan demi partinya. Sekarang ini, saya melihat di dalam Pas sendiri, budaya "yes man" sudah menebal. Mana ada pemimpin Pas yang berani tampil mengkritik pakatan pembangkang selain Datuk Mustafa.

Saya percaya, Mustafa adalah manusia yang sayangkan partinya. Beliau nampak kemusnahan Pas jika parti itu terus kekal bersama PKR. Jika saya boleh cadangkan, Datuk Mustafa masuklah Umno sepertimana abangnya.

Cadangan ini pasti nampak bodoh dan lucu tetapi Datuk Mustafa harus ingat bahawa beliau kini semakin tidak disenangi di dalam Pas kerana pendiriannya itu walaupun bagi saya beliau berada di landasan yang betul.

Saya doakan kelucuan itu akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: