Ahad, 21 September 2008

UMNO OH UMNO ... SAMPAI BILAAAA


Saya sangat pelik dan sehingga kini masih terkapai-kapai mencari jawapan, mengapa UMNO jadi begini. Ia adalah satu gambaran yang tidak pernah terlintas di fikiran dan tidak pernah terlakar sebagai satu gambaran sebenar sebuah parti keramat bagi orang Melayu. Meneliti iklim politik negara hari ini, sejak PRU yang ke-12 yang lalu, timbul persoalan mengapa UMNO jadi begini sepertimana yang kita lihat hari ini.

Bagi saya, jika UMNO terus kekal dengan trend berpolitik yang ada sekarang, tidak mustahil parti itu akan menjadi sejarah pada PRU ke-13 nanti. Ada yang mengatakan bahawa ia berkait dengan kelemahan pentadbiran Pak Lah. Bagi saya, ia adalah sedikit kebenarannya tetapi kegagalan UMNO melakukan bedah siasat mengenai kekalahan teruk parti mereka melalui Barisan Nasional (BN) pada PRU yang lalu telah menyebabkan keadaan politik yang tidak menentu. Sehingga kini saya tidak nampak UMNO melakukan sesuatu bagi memperbetulkan kelemahan sewaktu PRU ke-12. Masing-masing kini terlalu sibuk untuk berebut jawatan dalam parti. Teruknya mereka!.

Saya tidak faham, di mana sebahagian besar pemimpin UMNO di peringkat Bahagian atau Pusat meletakkan akal mereka dalam hal ini sehingga sanggup mengutamakan jawatan dalam parti berbanding kepentingan parti. Mereka tidak peduli apa yang berlaku ke atas parti asalkan mereka memperolehi jawatan yang mereka mahukan. Orang UMNO tidak terfikirkah bahawa iklim politik negara kian berubah dan sokongan mereka sudah amat terlalu susut. Apalah ertinya jika mereka menang dalam parti tetapi parti kalah dalam pilihan raya. Apa maknanya jika jawatan dalam parti diperolehi tetapi kuasa tergadai di tangan pembangkang.

Sebahagian besar orang UMNO masih tidak percaya bahawa mereka adalah sebuah parti yang boleh dikalahkan dalam pilihan raya. Mereka masih menyangka bahawa mereka adalah parti yang masih kuat dan menerima sokongan akar umbi. Sebenarnya, hanya orang yang hilang akal sahaja yang layak berkata begitu.

Akibat perbuatan, tindakan dan kelakuan sebahagian orang UMNO yang terlalu gilakan jawatan, sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau pusat telah menyebabkan rakyat sudah mula meluat dengan UMNO. Rakyat bosan dengan UMNO lalu kemungkinan mereka beralih arah kepada pembangkang adalah tinggi. Mereka mungkin tidak suka kepada pembangkang tetapi jika hanya itu pilihan yang ada demi perasaan benci dan meluat terhadap UMNO yang tinggi, maka mereka akan memilih pembangkang.

Apa lagi yang ada pada UMNO sebenarnya. Tapi bagi saya, mereka belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan, memperkukuhkan semula parti. Tatkala pembangkang yang diketuai DS Anwar Ibrahim yang sudah hilang akal itu juga berhadapan dengan pelbagai krisis, maka UMNO mempunyai pilihan. Saya bersetuju dengan saranan TS Muhyiddin Yassin bahawa peralihan kuasa mesti dilakukan segera kerana itu adalah kehendak akar umbi. Bagi saya, ia bukan akar umbi parti tetapi akar umbi rakyat Malaysia dan pengundi di negara ini. Jangan seperti kata DS Rafidah Aziz, apabila nasi sudah menjadi bubur baru hendak mengalah. Ia sudah tidak berguna lagi.

Hakikatnya, rakyat masih sayangkan UMNO tetapi mereka juga mahu melihat pemimpin UMNO itu berubah.

Jika itu boleh dilakukan, UMNO akan kembali relevan dan bertakhta di hati rakyat pada PRU ke-13 nanti.

1 ulasan:

abe MIE 'TERJAH' berkata...

http://pkrpasdap.blogspot.com

tak kan nak sokong PKR yang tolak Islam atau PAS yang parti tidak mempunyai bangsa?