Ahad, 28 September 2008

PAK LAH DAN ANGKA 13



Ramai yang bertanya saya, mengapa saya menulis sesuatu yang bersifat kritikan. Bagi saya, kritik berpunca daripada banyak sebab. Ada kritikan yang dibuat di atas sifat kepentingan tertentu dan ada juga kritik dibuat di atas dasar sayangkan agama, banga dan negara, maka saya memilih matlamat mengkritik yang kedua. Seperti diduga, Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah menangguhkan Persidangan Agung UMNO (PAU) sehingga Mac ini. Dan, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat keputusan, sama ada akan terus kekal bertanding jawatan Presiden sebelum 9 Oktober nanti. Apa muslihat di sebalik mengapa mesti menunggu sehingga 9 Oktober untuk membuat pengumuman, hanya Pak Lah sahaja yang tahu, manakala yang lain hanyalah satu andaian semata-mata.

Menariknya bagi saya, Pak Lah sekali lagi menggunakan angka 13 untuk membuat keputusan mengenai sesuatu yang penting. Dalam pilihan raya umum lalu, Pak Lah memilih 13 Mac untuk mengadakan pilihan raya umum tetapi malangnya BN tewas dengan begitu teruk walaupun masih kekal memerintah. Itu pun memerintah dalam keadaan amat kelam kabut sehingga ia menimbulkan keadaan yang kurang senang di kalangan rakyat.

Apa hebatnya angka 13 dan mengapa kita mesti percaya kepada angka tersebut. Kepercayaan sebegitu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Tidak ada faedahnya bermain dengan angka jika hati dan perasaan rakyat sudah tidak sabar lagi dengan keadaan yang ada. Saya berpendapat, Pak Lah bukan tidak bagus. Kalau beliau tidak bagus, masakan BN mampu menang besar pada tahun 2004 sehingga Pas Terengganu pun tersungkur. Cuma, selepas tempoh itu, Pak Lah dilihat agak lemah dalam keputusan, pendirian serta cara beliau menangani isu-isu tertentu. Beliau dilihat kurang tegas dan banyak bersikap membiarkan sesuatu itu melarat tanpa bertindak kononnya kerana mahu memberikan kebebasan. Akhirnya, segala-galanya terjerat.

Berbalik kepada pemilihan pada PAU nanti. Adakah anda percaya Pak Lah akan melepaskan jawatan Perdana Menteri?. Dan jika percaya, mengapa Pak Lah memilih 13 hari sebelum mengumumkan pendiriannya?. Apa sudah jadi dengan UMNO sebenarnya. Bagi saya, perubahan pucuk pimpinan UMNO mesti disegerakan sebelum rasa mual dan muak rakyat terhadap parti Melayu terbesar itu semakin menebal. Hakikatnya orang Melayu di negara ini bukannya suka sangat kepada pembangkang tetapi pada masa yang sama mereka meluat dengan pemimpin UMNO. Itu sahaja. Kalau pemimpin UMNO mampu berubah dan bekerja untuk rakyat tanpa memperlihatkan bahawa mereka sangat pentingkan jawatan sehingga sukar untuk berhenti atau meletak jawatan, maka apa lagi yang ada. Rakyat yang tiada pilihan akan pergi kepada pembangkang. Itu masalahnya.

Pak Lah harus faham keadaan ini. Demi parti, rakyat akan respect kepada beliau jika beliau membuat keputusan yang tepat. Saya optimis bahawa Pak Lah sedang melakukan pertimbangan yang wajar mengenai hal itu dan saya amat yakin bahawa beliau adalah seorang yang sangat sayangkan masa depan negara dan rakyat.

Saya doakan, UMNO akan segera dipulihkan sebelum ia hancur akibat sikap dan perangai pemimpinnya sendiri. Saya amat takut dengannya.


Tiada ulasan: