Khamis, 4 Disember 2008

KUALA TERENGGANU, OH SIAPA CALONNYA BN


Assalamualaikum dan salam politik ...

Ramai orang bertanya saya, siapakah calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding kerusi P36, Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil itu nanti. Tidak kurang yang melontarkan pandangan pedas dengan mengatakan bahawa Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah tokoh paling layak. Keengganan beliau menerima sebagai calon (jika berlaku), awal-awal lagi dilabelkan sebagai pengecut kerana beliau akan dikatakan amat sayang jawatan Timbalan Menteri yang sedang disandangnya sekarang. Maksudnya, Parlimen Kuala Terengganu masih tidak meyakinkan untuk BN menang selesa. Ada juga yang berpandangan dan menyatakan kepada saya bahawa siapa juga calon BN, PAS pasti mampu merampas kerusi tersebut berasaskan beberapa faktor termasuk kekuatan pembangkang serta kecelaruan yang berlaku di dalam UMNO sekarang.

Semua itu adalah pandangan yang dilontarkan kepada saya dan tentunya mereka yang melontarkan itu pula mengharapkan saya menulis di laman blog saya ini.

Jawapan saya mudah. Saya bukan Perdana Menteri dan saya juga bukan Presiden UMNO untuk memberikan jawapan tentang siapakah calon BN yang bakal bertanding nanti. Kritikalnya pemilihan calon itu nanti ialah budaya orang UMNO/BN sendiri yang mengundi berasaskan calon dan bukannya parti. Maksudnya, jika mereka tidak berkenan kepada calon, maka mereka sanggup melihat partinya tumbang kerana mereka mengundi calon, bukannya parti. Sebagaimana Pas yang berhadapan dengan kemelut perebutan antara Mat Sabu dengan anak tempatan sebagai calon, saya melihat BN/UMNO juga sedang berhadapan dengan hal yang sama.

Apa yang pasti, pilihan raya bukanlah tempat untuk kita bercakap soal menunjukkan kejantanan seseorang kerana ia melibatkan soal maruah. Tidak ada gunanya kita merasa jantan sedangkan rakyat tidak pernah memandang pun hal itu dan mereka mengundi pembangkang. Soal yang mustahak, siapakah calon yang mampu membawa kemenangan kepada parti. Kita kena cari yang itu.

PAS sudah mula bergerak jenteranya tetapi UMNO masih bersikap tunggu dan lihat. Mungkin esok (Hari inilah - Jumaat) ketika TPM, Datuk Seri Mohd Najib Tub Razak turun ke Kuala Terengganu, maka ramailah yang akan menunjuk muka. Selebihnya, tak ada apa-apa pun. Nak bermesyuarat pun kena tunggu arahan MB. Adakah ini cara kita berpolitik atau mahu menghadapi pilihan raya?. Dan, adakah peperangan dalam pilihan raya itu hanya bermula selepas penamaan calon atau pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya kesian dengan MB kita, beliau terpaksa memikirkan banyak perkara sedangkan tentera di bawah hanya tunggu dan lihat. Masalahnya, mengapa orang sekeliling beliau hanya melihat dan tidak berbuat apa-apa?. Sebab itu saya katakan, beliau memerlukan pembantu yang baik, yang agresif, yang pintar politik dan bekerja kuat menjaga dirinya dan politiknya.

Pilihan raya kecil itu nanti walau apa pun persepsinya, ia akan tetap menjadi titik tolak kepada penilaian terhadap kemampuan dan politik MB itu sendiri. Maka, bagi saya, beliau tidak boleh sama sekali dibiarkan keseorangan dalam menghadapi situasi yang getir ini. YAB Datuk Ahmad Said adalah orang lama dalam politik. Beliau sedia maklum gelagat manusia yang gemar mengampu atau sebagainya dan hanya bercakap indah di hadapannya sahaja tetapi dari segi kerja, habuk pun tarak. Yilek!.

Berbalik kepada isu calon BN itu tadi. Saya fikir, BN masih ada kekuatan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti walau siapa pun calonnya. Cuma jika boleh, BN tidak perlulah meletakkan calon yang sudah tamat tempoh atau yang pernah ditolak oleh rakyat dalam mana-mana pilihan raya. Biarlah dia mempunyai jawatan di dalam parti tetapi jika dia pernah tewas dan ditolak rakyat dalam mana-mana pilihan raya, dia tidak wajar sama sekali dipilih sebagai calon. BN mestilah meletakkan calon yang bertanding untuknya menang dan bukannya sebagai tempat calon itu mencari populariti atau kekayaan.

Biar apa pun caranya, BN mesti mencapai kemenangan dan kemenangan di Kuala Terengganu akan memberikan kekuatan moral yang tersendiri sebagai mesej kepada Pakatan Rakyat (PR). Sebagaimana pilihan raya umum lalu, saya akan turun berceramah di Kuala Terengganu di atas tiket BN bagi membantu kemenangan itu. Saya bangga kerana menjadi satu-satunya wartawan Terengganu yang berceramah di pentas BN pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Kita bekerja untuk parti tanpa apa-apa kepentingan. Ada orang, mereka lebih gilakan jawatan bekerja dengan orang politik termasuk MB tetapi tak buat apa-apa untuk MB dan parti. Bagi saya, memadai dengan sumbangan yang terkadar dan termampu walaupun biasanya orang yang ikhlas seringkali tidak dipandang orang.

1 ulasan:

ilham mohaiza berkata...

Secara jujur,pernah juga semasa menjawat exco pelajar di pusat pengajian dulu,aku berurusan dgn Allhyrham Datuk Razali,bekas MP Kuala Terengganu yg semasa itu pengetua institut.tidak banyak karenah birokrasi dan seorang yg reti menghormati org2 bawahan..rasanya WAF ni tidaklah setanding dan berkarisma serta berketrampilan sepertimana Allahyarham..Kuala Terengganu pusat pendidikan-mesti diwakili juga oleh calon yg berpendidikan & berbudi bahasa.