Sabtu, 25 April 2009

BERDAMAI ATAU MENGAKU KALAH

Salam Bloger …

Selepas Presiden UMNO mengumumkan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, timbul gesaan pucuk pimpinan negeri di era Datuk Ahmad Said mahu mengajak apa yang dinamakan sebagai puak Datuk Seri Idris Jusoh supaya berdamai. Berdamai?. Itu yang bermain di fikiran saya selepas membaca laporan malaysiakini yang memuatkan kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Rosli Mat Hassan mengenainya.

Bagi saya, berdamai adalah jalan terbaik jika berlaku kekalutan atau kemelut kerana selagi tiada perdamaian, maka selagi itulah masalah tidak dapat diselesaikan. Bagaimanapun berdamai pada waktu yang terlewat, sama juga seperti terlajak kata. Ia sudah tidak berguna lagi. Kalau terlajak perahu atau terlajak berlari, bolehlah diundurkan balik. Ini terlajak politik dan kita sudah berada dalam suasana yang hampir musnah. Nak berdamai apa lagi?.

Jika mengikut sifir perdamaian cara saya, jika seseorang sudah tidak mendapat kepercayaan, jalan perdamaiannya ialah orang itu mestilah berundur dengan cara yang baik. Dan, jika benar apa yang dikata demi rakyat dan negeri, maka bukanlah perkara yang sukar untuk mengundurkan diri. Jika itu dapat dibuat, perdamaian yang sebenar akan berlaku. Betul tak. Masalah yang berlaku sekarang di Terengganu ialah apabila ada pihak yang sudah hilang kepercayaan tetapi masih mahu bertahan. Jika dicongak dengan mana-mana sifir matematik atau politik pun, jawapannya tetap tidak memihak kepada orang yang masih bertahan itu. Kata-kata ini sememangnya pahit tetapi jika itulah kaedah perdamaian yang betul, maka saya terpaksa katakan.

Cadangan Datuk Rosli itu memang baik, tetapi seperti yang saya sebutkan tadi, jalan perdamaian cara mengalah sudah tidak relevan lagi. Rakyat Terengganu melihat apa yang telah berlaku dan apa yang sedang berlaku. Mereka ada cara membuat penilaiannya. Rakyat tidak boleh disembunyikan mengenai peristiwa Datuk Seri Idris Jusoh dijatuhkan secara mengaibkan sebagai MB Terengganu dan mengapa kejadian itu berlaku dan siapa pula yang memberikan sokongan kepada keadaan itu.

Rakyat Terengganu kenal siapa yang terlalu kecewa apabila Datuk Seri Idris Jusoh tidak menamakan mereka sebagai calon dalam pilihan raya umum lalu dan siapa pula selepas Datuk Ahmad Said dilantik sebagai MB, yang diberikan kedudukan oleh MB Terengganu yang baru itu. Maklumlah, setiap jasa mesti dibalas. Bukan gitu?. Jangan ingat, rakyat buta daripada melihat segala percaturan secara ghaib itu. Ini bukan soal mempertahankan Datuk Seri Idris tetapi itu adalah satu hakikat dan hakikat tidak mungkin dapat ditolak atau dinafikan. Jika peristiwa atau krisis pelantikan MB tempoh hari tidak berlaku, politik Terengganu tidak akan seperti hari ini wajahnya. Puncanya di situ.

Ya memang, selepas beberapa ketika, saya melihat rakyat Terengganu sudah menerima hakikat bahawa MB Terengganu adalah Datuk Ahmad Said. Namun, selepas seketika yang lain selepas satu demi satu peristiwa berlaku, rakyat mula celik mata, pelbagai isu pun berlegar di fikiran mereka dan rakyat membuat penilaian. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu adalah hukuman awal rakyat terhadap kepimpinan yang ada apabila mereka memilih calon Pas sebagai wakil rakyat. Mengapa?. Siapa berani berkata jujur mengenai sebab kekalahan itu.

Bagi mereka yang ada kepentingan, takut tak dapat projek atau akan susah mencari makan, maka mereka akan menjadi manusia dayus yang takut untuk berkata-kata. Kelompok inilah yang akan terus membawa penyakit kepada UMNO dan BN yang akhirnya memusnahkan negeri ini.

Sebagai manusia kerdil dalam politik, saya cuma mahu nasihatkan kepada beberapa pemimpin tertentu yang sebelum ini menang jawatan di peringkat bahagian sehingga tergamak memperkcil dan memperlekehkan mereka yang tewas di tangan mereka. Nasihat saya kepada mereka, menang dalam pertandingan parti bukan tiket atau membawa maksud mereka menang di hati rakyat. Jangan fikir apabila mereka menang dalam pertandingan parti, mereka juga boleh menang dalam pilihan raya. Kena sedar tu. Jadi jangan terlalu takabbur dengan kemenangan kerana sebelum menang ada yang sakit jubur kerana terlalu takut dan bimbang.

Saya tinggalkan atu persoalan kepada anda sebelum saya tamatkan tulisan ini. Adakah anda bersetuju MB Terengganu diganti baru?.

Jumpa lagi…


1 ulasan:

nasidagang berkata...

Dengan perkembangan terbaru, MB wajar beri peluang kepada pemimpin baru.

Ikuti ulasan lanjut saya di bawah topik 'Pelan Peralihan Kuasa MB Terengganu' di

http://www.nasidagang.com