Rabu, 22 April 2009

TEKA-TEKI POLITIK TERENGGANU

Salam bloger ...

Kemelut politik Terengganu masih berlegar. Tiada siapa yang mampu memberikan satu jawapan yang pasti. Saya pun tidak mampu memberikan jawapan meyakinkan bila disoal mengenai kemelut politik itu. Yang pasti, satu peperangan sudah berlaku. Maksudnya, ia berlaku apabila ada yang menyerang dan ada pula yang menyerang balas. Kalau membawa berita portal mengenai kemelut di Terengganu, seperti tidak percaya tetapi itulah politik. Orang politik boleh berubah sekelip mata. Daripada seorang yang wataknya jahat, boleh berubah menjadi hero dan baik. Begitu juga daripada watak yang baik, boleh berubah menjadi jahat. Lebih jahat lagi, bila orang politik putar serban di kepala, pakai jubah menyembah bumi, berjalan tunduk bukan main, tapi mulut biadab, maki orang, fitnah dan baca ayat-ayat suci Al-Quran seolah-olah ayat-ayat itu diturunkan kepadanya untuk menghentam musuh politiknya. Itu orang politik.

Orang yang bukan politik macam aku dan kau orang semua macamana?. Kita ini menjadi penonton sahajalah dan kadangkala kita pula yang lebih-lebih bercerita sedangkan orang politik tak apa-apa pun. Ada yang habis banyak wang hantar sms sana sini sebab nak tahu cerita dan kemudian bila kita menjawabnya, dia bertanya : "Apa cerita...". Saya pun susah nak jawap. Jadi, saya jawablah, kedudukan kini masih kosong-kosong dan perlawanan masih belum tamat.

Saya membaca banyak tulisan melalui bloger yang memberikan komen mengenai kemelut politik Terengganu. Rumusan saya, mereka memberikan ulasan dari jauh, tanpa memahami senario sebenar dan tidak berminat untuk menerokai apa yang benar. Isu politik di Terengganu ialah isu rakyat, ia melangkaui isu penghantaran sms ugutan terhadap wakil rakyat yang heboh diperkatakan. Sebenarnya jika kita menyelak sejarah politik Terengganu dalam masa terkebelakang ini, ada asasnya mengapa desakan dibuat ke atas pentadbiran negeri. Bukan soal sentimen politik tetapi rakyat Terengganu bagaikan agak rimas dengan keadaan sekarang. Selepas BN memang dalam pilihan raya umum 2004, pembangunan di Terengganu yang lembap telah kembali hebat dan rakyat sendiri melihat apa yang ada di depan mereka. Mereka bangga menjadi rakyat Terengganu kerana Terengganu hebat. Namun selepas pilihan raya umum 2008, keadaan sebaliknya berlaku. Kesilapan mungkin bukan di bahu MB Terengganu (Mat Said) sahaja tetapi ada isu-isu lain yang hangat diperkatakan di peringkat orang bawahan. Ada rasa benci yang membuak dan meluat di kalangan sebahagian besar rakyat dan kakitangan pentadbiran negeri. Selalunya orang politik dimusnahkan oleh manusia yang ada di sekelilingnya. Dan, lebih menambahkan kecelaruan lagi apabila orang politik enggan menarik balik kepercayaan yang diberikan kepada manusia yang saya maksudkan. Mereka sentiasa menelan nasihat secara melulu kononnya mereka tidak mempunyai banyak kesempatan untuk berfikir.

Itulah tanda kemushanan yang berlaku. Begitu juga dengan Terengganu. Kemusnahan berlaku disebabkan hal-hal yang sama. Saya bukan fanatik terhadap politik berpuak tetapi jika itulah suara rakyat, saya tiada pilihan untuk menyebutkannya.

Saya sedar risiko di sebalik kata-kata ini. Apa pun, orang politik akan selamat jika mereka sanggup berubah, bijak membuat percaturan serta mampu mempamerkan nilai kejujuran yang tinggi. Keyakinan rakyat Terengganu mesti dikembalikan. Caranya, sama-sama kena fikirkan. Jika perlu menukarkan ketua kerajaan dan jika hanya itu satu pilihan, maka ia mesti dilakukan. Saya terbaca kenyataan seorang pemimpin kanan UMNO Terengganu (yang tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2008) kononnya kemelut politik Terengganu didalangi bekas MB, Datuk Seri Idris Jusoh dan YB yang tidak hadir ke dewan itu katanya adalah kerana mereka kecewa. Saya berpendapat yang bercakap itu lebih dulu kecewa dan kerana itu mereka berkomplot menjatuhkan Datuk Seri Idris Jusoh. Atas nama kekecewaanlah, maka dia kini nampak cuba menunjukkan lebih belang daripada harimau. Politik semacam itu tidak akan ke mana. Sampai masanya, akan terdedah dan dinilai oleh rakyat sebelum mungkin mereka memutuskan bentuk hukumannya.

Walaupun kemelut politik Terengganu masih menjadi teka-teki, sedikit gambaran mengenai jawapannya sudah boleh dibaca oleh kebanyakan orang.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan: