Jumaat, 24 April 2009

YANG TERJAWAB TAPI MASIH BERTEKA-TEKI

Salam Perjuangan …
Apa yang dinanti, atau jika boleh dikatakan teka-teki mengenai politik Terengganu sudah terjawab apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan Naib Presiden yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Walaupun ia sedikit tersasar daripada tanggapan bahawa Timbalan Presiden UMNO yang dikatakan bakal menerajui parti di Terengganu, namun perubahan tetap dilakukan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah “diturunkan pangkat” menjadi Timbalan Pengerusi. Walaupun ada yang “terkejut” dengan pelantikan Ahmad sebagai Timbalan Pengerusi yang digambarkan bahawa beliau juga akan bergerak sebagai ketua parti memandangkan Datuk Seri Hishamuddin adalah pemimpin di peringkat pusat, namun masih banyak teka-teki yang belum terjawab.

Lihat ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Terengganu ketika UMNO menjadi pembangkang dahulu, siapakah yang nampak lebih menonjol jika bukan Timbalannya, Datuk Seri Idris Jusoh. Maka, begitu jugalah andaiannya mengenai apa yang sedang berlaku di Terengganu. Namun saya tidak melihat begitu dan tidak langsung berminat dengan andaian tersebut kerana saya yakin dengan pasukan pembaharuan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Najib. Berasaskan beberapa keputusan awal beliau mengenai parti dan kerajaan sebaik memegang tampuk Presiden UMNO dan Perdana Menteri, saya percaya ada teka-teki yang bakal terjawab mengenai politik Terengganu tidak lama lagi. Bagaimana ia berlaku, sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Bagi saya, jika ketua sudah diganti, maka yang bawah juga mestilah dirombak. Jika memperkatakan mengenai prinsip, maka secara prinsipnya, pemegang jawatan kanan dalam Badan Perhubungan UMNO Terengganu mestilah juga melepaskan jawatan bagi membolehkan Datuk Seri Hishamuddin membina pasukannya sendiri bagi membentuk semula wajah UMNO di mata rakyat Terengganu selepas ia teruk tercalar sebelum ini. Persoalannya ialah, apakah ia akan berlaku begitu?. Itu juga menjadi satu teka-teki juga. Mungkin terlalu awal memperkatakan mengenainya tetapi mungkin esok atau hari-hari seterusnya, akan ada jawapan kepada teka-teki yang saya maksudkan.

Hishamuddin perlu bertindak segera selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri jika tidak mahu masalah yang ada akan terus melebar. Jika mahu mempelajari sesuatu di sebalik sejarah silam, lihat apa yang telah menimpa ketika Pak Lah terlalu lama membiarkan isu pelantikan MB Terengganu selepas keputusan pilihan raya umum 2008 yang lalu. Akibatnya, politik menjadi tidak menentu dan rakyat dibiarkan dengan persoalan yang akhirnya boleh merosakkan nama baik parti. Maka, begitu jugalah dengan apa yang sedang berlaku hari ini.

Tiada jalan pintas dan pilihan – Datuk Seri Hishamuddin mesti membuat rombakan segera terhadap Badan Perhubungan UMNO jika benar-benar mahu melihat pembaharuan itu berlaku. Jika dibiarkan terapung agak lama, saya yakin akan mencetuskan masalah yang lain. Masalahnya, yang dibawah bercakap dan mereka membuat pelbagai percaturan yang langsung tidak menguntungkan UMNO. Hakikat yang jelas, rakyat Terengganu mahukan satu keputusan yang muktamad mengenai apa yang dinamakan sebagai krisis politik Terengganu ini.

Jika pemimpin kanan dalam parti mahu dikekalkan, maka ia hendaklah diumumkan segera dan jika mahu dirombak, maka rombakan juga mestilah disegerakan. Begitu juga dengan kedudukan MB Terengganu. Ia mesti dimuktamadkan dalam tempoh yang segera. Jika Ahmad mahu dikekalkan sebagai MB, ia mestilah diputuskan segera dan jika sebaliknya, maka ia juga mesti disegerakan. Kelewatan dalam memuktamadkan segala apa yang saya catatkan itu akan membawa kecacatan yang ketara terhadap UMNO. Teka-teki yang sedang berlegar di kalangan rakyat Terengganu hari ini jika dibiarkan, ia mampu membawa padah kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang. Percayalah!.

Rakyat Terengganu sedang menuntut pembaharuan dan menolak kecelaruan. Mereka mahu satu keputusan yang muktamad. Ya, sememangnya saya bersetuju bahawa segala-galanya tidak mungkin dapat diselesaikan dalam satu masa. Namun, masa yang dipilih janganlah terlalu terlewat. Rakyat Terengganu sudah nampak wajah lega dengan pelantikan Datuk Seri Hishamuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, namun mereka juga sedang menanti satu jawapan mengenai siapakah MB Terengganu – sama ada ia bakal digantikan atau sebaliknya.

Sebabnya mudah kata rakyat, di negeri MB dikekalkan, semua jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri juga dikekalkan kepada MB. Di Terengganu adalah satu-satunya negeri yang berbeza. Maka, ia semakin mencetuskan teka-teki. Jadi, jawapannya mestilah disegerakan.

Sebenarnya, politik Terengganu, hanya orang Terengganu sahaja yang memahaminya. Jumpa lagi.





Tiada ulasan: