Selasa, 28 April 2009

CATATAN MENJELANG MEI ...

Salam bloger …

Saya diberitahu petang tadi, esok (hari inilah – Rabu), tak ada mesyuarat exco kerajaan negeri. Sudah dua minggu mesyuarat mingguan exco tidak diadakan. Bagi orang politik, mereka mungkin faham tetapi bagi rakyat jelata, mereka sentiasa sedap membuat, membancuh dan mencari penyedap cerita. Ramai yang tertanya-tanya mengenai perkara tersebut tetapi saya sendiri tidak tahu mengenai jawapannya. Bagi saya, ketiadaan mesyuarat exco adalah perkara biasa kerana mungkin tak ada apa hendak dibincangkan, jadi tak adalah mesyuarat exco. Kalau negeri kita maju, pesat dan banyak agenda hendak dilaksanakan, maka mungkin perlu kepada keputusan mesyuarat exco. Itu bagaimanapun hanya telahan saya sahaja. Janganlah pakai sangat.

Pun begitu, spekulasi semakin tersebar bahawa mungkinkah ada kejutan pada Mei ini mengenai politik Terengganu?. Entahlah.

Jika anda sempat bersembang di kedai kopi di Terengganu hari ini, anda akan dengar pelbagai cerita politik yang kadangkala melucukan dan menggelikan hati mendengarnya. Ada juga yang cuba memperbodohkan diri dengan menonjolkan ulasan serta komen yang bodoh mengenai politik Terengganu. Dah tentu, mereka itu adalah mereka yang menyokong “puak nung” yang nyawanya sudah berada di hujung tanduk.

Ramai yang menyangka kemelut politik Terengganu sudah reda dengan pelantikan DS Hishamuddin Tun Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Namun, masyarakat di bawah masih berminat dengan cerita-cerita yang diharapkan berlaku. Walaupun apa yang diharapkan berlaku masih tidak berlaku, namun cakap-cakap menyatakan ia pasti berlaku. Mereka memberikan beberapa petanda dan petunjuk yang jika diteliti, memang ada asas dan benarnya. Saya pun tumpang mahu percaya sama. Menarik!.

Sebagaimana yang pernah saya catatkan sebelum ini, perlu ada sesuatu yang muktamad mengenai politik Terengganu ini. Jika tidak, rakyat akan diapungkan dengan persoalan-persoalan yang sentiasa berlegar tanpa sepatah jawapan yang meyakinkan. Rakyat akan terus dijebakkan dengan kemelut yang episodnya sudah boleh ditamatkan sebenarnya. UMNO dan BN Terengganu akan rugi jika apa yang sedang berlaku dibiarkan dengan seribu satu persoalan. Rakyat pula akan terus berada dalam tanda tanya yang tiada nokhtahnya. Sampai bila mereka mesti berada dalam keadaan begitu.

Jadi, kena ada satu ketetapan atau keputusan yang muktamad. Dengar kata, Kuala Lumpur sesak dengan pelobi-pelobi politik Terengganu. Entah apa yang dilobi, saya sendiri pun tak faham. Cuma yang saya tahu, ada seorang yang tak tahu malu apabila turut menyambut DS Hishamuddin di Kuala Lumpur beberapa hari lalu. Nak tunjuk muka, atau mungkin nak cop passport agar talian hayatnya disambung semula. DS Hishamuddin tak bodoh dan tak buta. Sebagai anggota pasukan pembaharuan yang dibawa DS Najib, DS Hishamuddin bukan manusia yang mudah dilobi itu dan ini. Beliau tahu bagaimana mahu mencaturkan atau membentuk barisan Kabinet UMNO Terengganu nanti agar ia berperanan penuh bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti dan kerajaan.

Saya percaya, masa untuk melihat pembaharuan di Terengganu semakin hampir… Tinggal beberapa detik, pasti ada berita gembira buat rakyat Terengganu. Tunggulah, sama-sama kita lihat nanti, insya’Allah.

Tiada ulasan: