Rabu, 15 April 2009

KEMELUT YANG MELALUT

Salam bloger,

Politik Terengganu panas lagi. Saya pun bertalu-talu menerima sms dan penggilan telefon dari seluruh negara yang bertanyakan apakah sebenarnya yang berlaku di negeri saya ini. Semuanya kerana khabar angin kononnya akan ada undi tak percaya yang akan dikemukakan ADUN BN terhadap MB Terengganu, Datuk Ahmad Said pada sidang DUN kali ini. Malah, amaran keras MB Terengganu untuk memecat mana-mana ADUN (Sebenarnya MB tak kuasa pecat ADUN) dibuat beberapa hari sebelum sidang DUN bermula. Maka, bertambah panaslah iklim politik Terengganu.

Nak dijadikan cerita, ditakdirkan pula tiga ADUN BN terima sms berupa ugutan – juga berkaitan dengan isu undi tak percaya terhadap MB. Saya kebetulan berada di IPD Kuala Terengganu untuk melihat sendiri apa yang berlaku ketika YB berkenaan buat laporan polis. Keesokan harinya pula sepuluh YB BN tidak berani hadir ke sidang DUN kononnya kerana tiada jaminan keselamatan. Maka bertambah celarulah.

Saya tidak mahu berselindung. Apa yang saya nampak, apa pun alasan yang diberikan, tindakan ADUN BN itu ialah sebagai satu mesej bahawa mereka tidak menyenangi MB Terengganu (Mengapa?... itu semua dah tahun tapi saya tidak berminat untuk menulisnya). Mereka mahu memberitahu rakyat bahawa MB Terengganu tidak mendapat sokongan majoriti ADUN di DUN Terengganu dan mereka “menuntut” perubahan dilakukan dalam pucuk kepimpinan negeri.

Memang bukan satu rahsia lagi, terdapat perkara-perkara yang tidak manis berlaku dan kurang disenangi oleh ahli UMNO/BN dan rakyat di bawah kepimpinan sekarang. Sama ada, ia silap Datuk Ahmad Said atau sebaliknya, itu bukan isu. Tapi, MB Terengganu kena terima hakikat bahawa ramai yang tidak senang dengan kerajaan negeri sekarang di bawah kepimpinannya.

Bagi saya, saya sudah terlalu banyak pengamalan bersama MB Terengganu ini. Saya pernah dimarahinya dan saya juga pernah dianggap sebagai “bermusuh” dengan beliau suatu masa dulu semasa saya bertugas dengan Utusan di Kemaman. Bagaimanapun bila Datuk Ahmad Said menjadi MB, saya tabik beliau kerana saya sependapat dengan beliau bahawa takdir telah menentukan beliau sebagai MB.

Secara jujur, saya nampak beliau cuba mengubah sikap sebagai menterjemahkan kata-kata beliau bahawa dulu dia exco, dia memang garang tapi bila jadi MB, beliau tidak boleh macam dulu lagi. Saya setuju dan tabik pada beliau. Walaupun saya dilabelkan kononnya orang DS Idris Jusoh dan ada pihak cuba meracuni Datuk Ahmad Said mengenai perkara tersebut, namun saya tidak kisah sangat.

Hari ini, banyak perkara yang orang perkatakan hal beliau. Kebanyakannya mengenai orang di sekeliling beliau. Ramai yang pertikaikannya. Saya tidak tahu, apakah beliau sedar mengenai perkara tersebut. Ramai yang menyampaikan perasaan tidak puas hati itu kepada saya tetapi saya tidak boleh lakukan apa-apa. Saya berpendapat, imej beliau akan kembali pulih jika apa yang tersalah diperbetulkan … manusia memang ada salah silapnya.

Tapi teringat saya kepada kata-kata Assyahid Hassan Albanna : Apabila kamu suka kepada seseorang, janganlah kamu nafikan keburukan yang dia lakukan dan jika kamu benci kepada seseorang, jangan kamu nafikan kebaikannya”.

Tiada ulasan: