Selasa, 30 Disember 2008

SELAMAT TAHUN BARU 2009

Salam politik …

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang sudi melayari laman blog ini. Dan, terima kasih juga kepada yang telah menulis ulasan-ulasan, sama ada yang bersifat positif atau negatif mengenai tulisan saya. Saya memohon maaf kerana tidak boleh menyiarkan ulasan daripada mereka yang pengecut dan takut mendedahkan identiti diri. Mereka itu ibarat penulis surat layang yang tidak bermaruah.

Mereka tidak bolej menyatakan saya pengecut kerana saya menulis dengan nama saya yang benar dan sesiapa saja boleh mengenali saya. Oleh itu, saya hanya berminat untuk menyiarkan ulasan-ulasan yang mempunyai identiti. Biar pun anda mahu menulis secara negatif mengenai saya, tetapi jika anda menulis dengan menggunakan nama yang benar, saya akan siarkan.

Juga terima kasih kepada blogger bnkterengganu yang pernah menghentam saya tetapi tiba-tiba memuji saya. saya tidak kisah siapa di sebalik laman blog itu tetapi apa yang mereka tulis mengenai saya adalah silap belaka. Maklumat mereka tidak betul sama sekali dan mereka mempunyai niat yang tidak sihat.

Juga kepada seorang kawan yang dulunya bergigi penuh tetapi kini terpaksa memakai gigi palsu. Dia suka menjilat tetapi entah apa yang suka dijilatnya. Dia penulis yang bagus tetapi disebabkan maklumat yang dia terima adalah salah, maka andaian yang dibuat dalam setiap tulisannya juga adalah salah. Sebab itu, tulisannya tidak terlalu berkesan walaupun ramai yang membuka atau membacanya. Seperti yang saya katakan dulu, membuka tidak bermaksud ia popular. Mungkin ramai yang membuka kerana mahu melihat apakah kebodohan penulisnya.

Tahniah kepada rakan-rakan yang memberikan sokongan dan tunjuk ajar. Selamat menyambut Tahun Baru 2009.



Khamis, 25 Disember 2008

MEMO KEPADA YANG MENGULAS ...


Salam politik …

Banyak sekali komen yang saya terima daripada tulisan-tulisan saya di laman blog saya ini. Banyak yang memberikan perangsang dan dorongan agar saya terus menulis. Namun, dalam kebanyakan mereka yang matang dan bijak itu, ada juga yang menulis ulasan dengan kesatnya. Itu biasa bagi saya kerana selagi banyak kita melakukan kebaikan, maka segalanya akan dipandang hina.

Saya tertarik dengan istilah kononnya saya ini belum kenal politik tetapi saya hanya lama kenal orang politik. Ia satu pandangan yang baik. Saya tidak pernah mendabik dada pun bahawa saya sudah lama mengenali dunia politik. Saya memang meminati politik dan sejarah hidup saya membuktikan semua itu. Dan, dalam kita menjadi penulis politik, penganalisa politik atau seumpamanya, sifat manusia yang tidak sukakan kita adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Dalam blog ini misalnya, ramai yang berani mengkritik tetapi tidak berani mendedahkan diri mereka. Mereka menulis seolah-olah orang lain tidak ada maruah kononnya setiap kali kita terlibat dengan kerja-kerja politik, maka kita dikaitkan dengan wang dan sebagainya. Mereka juga menggambarkan seolah-olah jika kita tidak dibayar, maka kita tidak akan buat kerja. Semua itu adalah satu fitnah. Dan selalunya fitnah itu datang daripada manusia yang pengecut serta takut mendedahkan diri.

Buat apa kita hanya berani menulis dengan melemparkan kritikan atau sebagainya tetapi pada masa yang sama takut mendedahkan diri mereka.

Saya tidak pernah kisah apa yang hendak dikata orang dengan tulisan saya. Yang saya tahu, ini cara saya dan manusia yang mengenali saya dari dekat, mereka akan lebih memahami apa yang saya buat.

Kepada yang tidak menyukai saya atau tulisan saya, jangan terlalu emosi dengannya. Belajarlah menjadi manusia yang matang atau bijak. Saya faham mengapa mereka tidak menyukainya. Tak payahlah saya dedahkan di sini.

Jika tidak kerana dengki, mungkin kerana yang punya diri sarat dengan masalah atau mungkin sudah lupa diri.


Rabu, 24 Disember 2008

HUDUD, HODOH DAN SANDIWARA PAS

Salam politik …

Isu pelaksanaan Hukum Hudud timbul lagi. Entahlah, sama ada ia adalah sesuatu yang sengaja dihidupkan kembali kerana adanya Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu (PRKT) atau sebaliknya, itu bukan isunya. Yang penting senario politik saya jauh berubah. Isunya, sekarang dalam keadaan Pakatan Rakyat yang menggabungkan parti-parti pembangkang dikatakan kian kuat, maka wajar sangatlah isu itu ditimbulkan.

Semua orang Malaysia tahu PAS nak laksanakan undang-undang hudud dan setiap kali UMNO mengkritik keinginan PAS itu, maka pemimpin PAS akan menuduh orang dan pemimpin UMNO sebagai kafir kerana menolak undang-undang itu. PAS bukan gagal tetapi sengaja memberikan gambaran tersebut kerana mahu menjaga kepentingan politiknya. Itu saja. Dan setiap kali isu itu dibangkitkan, PAS akan menyalahkan UMNO yang kononnya menjadi penghalang kepada cita-cita tersebut. Ya ke begitu?. Katanya Tok Guru Nik Aziz lebih takut kepada Allah tetapi mengapa nak salahkan orang pula. Bukan itu isunya di sini. Isunya ialah bukan UMNO menolak hudud tetapi PAS tidak mampu melaksanakan undang-undang itu berasaskan banyak sebab.

Wakil rakyat PAS sudah dipilih menjadi MB di Kelantan, Kedah dan Perak. Dan, PKR yang menjadi sekutu kesayangan PAS pula sudah mentadbir Selangor, manakala DAP, parti yang kononnya bersengketa kerana hudud ini telah memerintah Pulau Pinang. Jadi, mereka adalah parti yang kuat. Malah, selepas PRU Ke-12 selepas Pakatan Rakyat yang di dalamnya ada PAS, isu pelaksanaan undang-undang hudud tidak menjadi satu agenda utama. Malah, kenyataan Presiden PAS mengenai perkara tersebut tidak disenangi MB Kedah.

Tak usahlah bercakap banyak. PAS ini adalah parti yang berkepentingan. Islam hanya menjadi alat untuk mencapai cita-cita politik diri sendiri saja. Tak lebih daripada itu. PAS juga adalah parti yang kuat putar belit. Tengok masa menantu Pak Lah, si Khairy Jamaluddin aktif falam politik dan kerajaan, apa yang PAS tak kata. Nah, bila menantu Nik Aziz menjadi isu baru-baru ini, dia sedap mulut ambil contoh zaman Saidina Umar dan sebagainya. Bila kena batang hidung sendiri, pandai pula dia buat alasan. Kalau ditanya sayalah, saya tak hairan langsung. PAS memang pandai mengubah hukum mengikut selera dan kepentingan diri. So, mananya perjuangan Islamnya. Ah!, tak ke mana semua itu.

Saya cuma nak tanya, jikalah Pakatan Rakyat menang dalam PRU-13 akan datang, apakah anda percaya PAS akan melaksanakan undang-undang hudud atau menubuhkan negara Islam. Percayalah, PAS akan mengubah hukum lagi pada waktu itu.

Maka tipah akan tertipu lagi … fikirkanlah.

Isnin, 22 Disember 2008

PAS SEDANG LALUI KRISIS PEMILIHAN CALON


Salam Blogger
RAMAI yang ternya-tanya, mengapa Pas tak umum calon mereka pada 21 Disember lalu, yakni sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon mereka. Sebabnya, media telah melaporkan dengan memetik kenyataan pemimpin tertinggi PAS bahawa mereka akan mengumumkan calon mereka pada 21 Disember. Adakah PAS berani menafikan kenyataan awal pemimpin tersebut dan menyalahkan media sebagaimana mereka sering lakukan?.

Dalam politik, mungkin ia sebahagian daripada strategi tetapi dalam keadaan yang lain, ia bakal mengundang spekulasi. Bagi saya, PAS sudah tidak mempunyai sebab mengapa mereka tidak boleh mengumumkan calon mereka pada 21 Disember lalu jika bukan kerana mereka berhadapan dengan masalah pemilihan calon. Dengar kata, PAS pening sekarang ini nak pilih calon.

Walaupun Haji Hadi dengan lawaknya berkata bahawa senarai calon sudah ada di dalam (kocek) poketnya, cakap orang politik mengundang pelbagai kemungkinan. Jika sudah berada di dalam kocek dan “diapungkan” dalam tempoh yang agak lama, maka ia akan bocor juga. Maka, tidak suspenlah nama calon PAS. Sekali lagi bagi saya, sama seperti di dalam drama atau filem, nilai suspen memainkan antara peranan yang paling utama dan penting.

Dalam keadaan yang lain, tiada keghairahan untuk pengundi atau pengundi PAS untuk mengetahui siapakah calon mereka.

Yang pelik, inilah pertama kali soal pemilihan calon dalam satu-satu pilihan raya menjadi isu bagi PAS. Sebelum ini, orang kata, PAS letak kayu, tunggu atau kasut (yang dibaling ke muka Presiden Bush mungkin) sebagai calon, ia akan menang. Sebabnya kata mereka, PAS pilih parti bukan calon. Maka tidak hairanlah kalau pengganas politik pun boleh jadi wakil rakyat PAS. Tapi di Kuala Terengganu lain. Nada dan bunyinya lain.

Haji Hadi katanya, terpaksa minta banyak pandangan dalam pilih calon. Kalau orang PAS undi parti, takkanlah sampai Haji Hadi yang baru balik dari Mekah tu melalut begitu sekali. Ada ke patut, Haji Hadi kata nak minta pandangan blogers. Kalau ikut blogers, PAS akan kalah dalam pilihan raya itu nanti walau siapa pun calonnya. Hahahahaha ….

Berlaku pertembungan saya rasa antara puak tertentu di dalam PAS dalam soal pemilihan calon. Kot-kot Haji Hadi pun takut nak buka sampul dalam kocek dia sebab bimbang orang dia tak jadi calon. Isu calon sudah menjadi hal yang kritikal dalam PRK Kuala Terengganu. Sudah tentu ia menjadi hal yang pelik. Jika itu berlaku, ia sudah tentu berpunca daripada pelbagai desakan banyak pihak di dalam PAS sendiri. Mengapa begitu?. Anda sendiri mampu memikirkannya.

Maknanya, PAS sudah melalui era baru dalam politik. Isu calon menjadi hal yang pokok. Pastinya ada perpecahan dan kekecewaan. Orang PAS pun manusia biasa juga. Mereka ada perasaan dan pemimpin mereka walau sebesar mana pun ada pengaruhnya.

Jadi, tunggulah bagaimana calon PAS bakal dihukum.


Ahad, 14 Disember 2008

DATUK MUSTAFA ALI LAYAK JADI CALON PAS

Salam politik …

Semalam saya berkesempatan berada dalam kumpulan Pas di sebuah warung di Kuala Ibai. Yang saya boleh gambarkan, puak ini memang fanatik Pas. Biasanya, dalam keadaan demam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini, cara bercakap pun dah berubah. Yang dingin sudah panas, yang berasap, sudah kembali berapi. Macam-macam isu yang mereka bincangkan dan tentunya tidak terlepas mereka ramalkan mereka mampu menang pada pilihan raya kecil itu nanti.

Ada beberapa peristiwa menarik dalam perbualan terbuka itu. Mereka nampak marah sangat dengan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali dan timbalannya, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong. Saya cuba membangkitkan bahawa dua nama ini sebagai layak menjadi calon pada Pas dan reaksi mereka amat mengejutkan. Dengan nada sinis tetapi amat tegas, mereka kata kalau Datuk Mustafa Ali disenaraikan calon Pas pada pilihan raya itu nanti, tak sampai pukul 12 tengahari hari mengundi, keputusan dah tahu Pas KALAH.

“Kalau Stopa Ali ada dalam senarai dan dipilih sebagai calon, aku akan pastikan dia dikunci dari luar sebuah bilik dan aku akan suruh puak kita robar (dialek Terengganu yang bermaksud padamkan) nama dia dalam senarai.

“Wan Muttalib pun sama juga. Dok pakai (tak berguna) … kalau mereka calon, Pas awal-awal lagi boleh dikatakan parti yang kalah,” kata seorang penyokong Pas itu.

Apa maknanya itu. Ertinya, Pas sudah berpecah dan kata-kata Pas kuat sepakat adalah karut dan palsu belaka. Di Kuala Terengganu, tiada orang lain paling layak selain Datuk Mustafa Ali. Beliau seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam politik dan suaranya di Parlimen mampu menandingi pemimpin PKR. Datuk Mustafa Ali adalah seorang yang kritis dalam berhujah dan bijak mencari sumber-sumber politik yang dianggap sulit. Maksudnya, “kaki” Datuk Mustafa Ali memang ramai termasuk dalam kerajaan BN.

Malah, Datuk Mustafa Ali adalah seorang arkitek politik Pas yang dilihat lebih berkarisma berbanding tokoh lain. Kalau Pas bawa calon luar Terengganu (walaupun dia sebenarnya anak Terengganu tetapi merantau), Pas akan terima padahnya. Bagitu juga, Pas akan dianggap bodoh bin bangang kalau letakkan Syed Azman yang sudah menang di DUN Batu Buruk. Siapa Syed Azman yang pas perlu menjadikannya begitu mahal sehingga nak bawa ke Parlimen?.

Datuk Mustafa Ali adalah bekas Ketua Dewan Pemuda Pas. Beliau tahu apa keperluan orang muda walaupun beliau sudah veteran. Kalau Pas nak menang, kena letak Datuk Mustafa Ali. Saya percaya, Haji Hadi akan sokong kuat agar Datuk Mustafa Ali bertanding pada pilihan raya itu nanti.

Jumaat, 12 Disember 2008

PAS YANG HAMPIR TERLEPAS

Salam politik …

Ada satu perkembangan menarik di dalam Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari depan. Pertama, malam semalam saya menjengah majlis Pas di Kuala Ibai. Yang hadir ialah Timbalan Presiden Pas yang juga wakil rakyat import (Rakyat negeri lain bertanding di Kelantan – Pernah bertanding di Besut tapi kalah juga) dan pemimpin kanan Pas Terengganu. Saya lihat orang Pas kali ini kurang bersemangat dan kehadiran tidaklah seramai mana pun. Jika dikira, apabila setiap kali berlakunya pilihan raya, orang Pas akan lebih ghairah dan apabila pemimpin tertinggi mereka datang, pasti berduyun-duyun ke ceramah mereka. Malam tadi, hal itu tidak berlaku.

Kedua, saya terkejut juga kali ini Pesuruhjaya Pas, Datuk Mustafa Ali TIDAK DIPILIH sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas. Umum tahu, selalunya di mana-mana pun, Cikgu Pa akan menjadi Pengarah Pilihan raya kerana beliau adalah seorang tokoh yang berpengalaman dan bijak dalam hal ehwal politik.

Mungkin ada beberapa sebab. Antaranya, Cikgu Pas mungkin tersenarai sebagai calon (Yang belum tentu dipilih kerana cadangan calon adalah lebih daripada seorang) atau kedua, berlaku pergolakan dalaman Pas sendiri. Pas Terengganu mahukan Cikgu Pas, Pas Pusat mahukan Mat Sabu dan Pemuda Pas mahukan Doktor falsafah itulah. Ketiga-tiga faktor itu mempunyai asas dan menarik untuk dikupas, apatah lagi Cikgu Pa dikaitkan dengan pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz sendiri yang dikatakan kurang senang dengan Cikgu Pas.

Kalau benar surat atau kenyataan Nik Aziz mengenai Cikgu Pa sebagaimana yang tersebar luas di internet (Pastinya betul kerana ia disiarkan di laman pro Pas juga), maka jelaslah sesuatu yang tidak baik melanda Pas untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti. Sifirnya mudah, puak Pas juga adalah manusia biasa sama seperti orang UMNO. Mereka mempunyai naluri politik yang tersendiri. Walaupun orang kata Pas akan mengundi parti, namun pemimpin Pas sendiri mengakui bahawa faktor kejayaan Pas pada pilihan raya kecil itu nanti banyak bergantung kepada keupayaan calon. Pas sudah sedar bahawa Mat Sabu tewas pada PRU-12 disebab dia orang luar.

Pas menyangka politik Terengganu seperti Kelantan. Tidak sama. Di Kelantan, jika tunggu kayu atau orang gila menjadi calon pun, mereka akan undi Pas sebab itulah cara mereka berpolitik. Di Terengganu tidak begitu. Kalau tidak, masakan rakyat Terengganu hanya beri Pas peluang sekali atau sepenggal untuk menjadi kerajaan negeri. Maknanya, iklim politik di Terengganu sendiri jauh berbeza dengan tempat lain.

Walaupun Parlimen Kuala Terengganu sendiri pernah menyaksikan kemenangan bersilih ganti antara BN dan pembangkang, namun keupayaan BN untuk menang pada pilihan raya kecil itu nanti tidak boleh diperkecilkan. Sebabnya, Pas juga bermasalah dan masalah itu sudah tidak mampu lagi mereka bendung.


Rabu, 10 Disember 2008

PARLIMEN KT: BN MENUJU KEMENANGAN



Salam Bloger ...

Ramai yang menemui saya dan menjadi Pak Nujum dengan mengatakan BN bakal kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari depan. Antara alasan popular mereka, UMNO kini lemah dan rakyat sudah meluat dengan pemimpin UMNO/BN. Jawapan saya mudah, pilihan raya ibarat isi buah seperti durian. Kita boleh mengatakan apa saja tetapi hakikatnya ialah pada hari mengundi. Dan, sudah tentu menjadi trend yang digemari dengan mengaitkan BN dengan kekalahan. Mereka juga menyatakan bahawa PAS akan mengundi parti berbanding UMNO yang akan mengundi calon. Sekali lagi jawapan saya mudah. Jika hendak dikatakan UMNO berpecah dan berbabalah, sudah lama Malaysia ditawan Pakatan Pembangkang. Hakikatnya selama ini, semua orang bercakap mengenai kekalahan BN/UMNO, namun parti itu tetap utuh dan bertakhta di hati rakyat.

Sebabnya, sebodoh-bodoh manusia bernama pengundi ini, mereka mempunyai naluri yang tersendiri. Jika tidak, mana mungkin Allahyarham Datuk Razali Ismail boleh menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu sedang tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu berjaya ditawan pembangkang. Apa ertinya?. Maksudnya, pengundi memberikan undi kepada BN untuk kerusi Parlimen bukan sahaja kerana kemampuan Allahyarham tetapi mereka juga yakin bahawa hanya BN yang layak memerintah negara ini.

Dalam hal lain, pengundi memberikan mesej jelas kepada ADUN Barisan Nasional dari UMNO di peringkat negeri dengan menolak mereka. Sebabnya mudah. Ada wakil rakyat UMNO sama ada yang pernah menang atau tewas, mereka ini nak senyum kepada rakyat pun susah. Rakyat datang nak berjumpa, mereka buat tak tahu saja. Dah banyak kali berlaku di depan saya sendiri. Dan, di atas sebab itu rakyat menolak mereka di peringkat negeri. Mereka tidak layak menjadi wakil rakyat kerana mereka banyak menyusahkan rakyat.

Berbalik kepada kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini. Saya nampak, rakyat di Kuala Terengganu sudah bijak menilai. Mereka bukan bodoh walaupun ada politiking tertentu. Tinjauan rambang saya di kalangan pengundi, rata-rata ada sesuatu yang baik untuk BN. Mereka tidak gemar kepada pembangkang kerana kegagalan pembangkang memerintah Terengganu dan juga kegagalan pembangkang memerintah negeri tertentu di negara ini. Yang menjadi masalahnya ialah, trend orang kita berpolitik. Mereka adalah manusia jenis suka kepada yang memaki orang.

Dan, perangai sebegitu hanya ada kepada orang Pas. Sebab itu kita lihat, semakin kuat penceramah memaki orang, makin ramai yang suka mendengar. Jadi, Pas kena kuat memaki orang. Kalau tak percaya, pergilah ceramah UMNO. Tak ramai yang sudi dengar sebab tak kuat maki orang. Lebih parah, otak orang Melayu kitalah khususnya lebih suka percaya benda-benda yang karut. Yang bohong itulah mereka nak percaya. Kalau sebut pasal yang betul walau dengan sederet fakta pun, haram mereka tak nak percaya. Ini tembok paling besar yang UMNO kena pecahkan. Otak orang kita (sebahagian besarnya) sudah masuk air dan kerana itu mereka sudah berfikiran terbalik.

Sungguh. Tak hairan Pas buat hukum dulu halal tetapi sekarang haram, mereka tetap percaya sebab mereka percaya yang karut. Itulah masalah.

Saya tidak nampak BN akan kalah. Tak ada sebab. Ini bukan omong kosong. Namun, jika kena dengan calonnya, BN mampu menang lebih besar berbanding PRU-12.

Sabtu, 6 Disember 2008

PAS YANG SUDAH MULA MELALUT

Salam Blogger …

Pas sudah kelam kelibut dengan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. Nik Aziz awal-awal lagi kata nak Mat Sabu yang ada penyakit buasir tu (tapi ubat kena pompuan yang hantar. Pejuang Islamlah katakaaan). Manakala Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali yang disebut-sebut antara calon pada PRK itu pula dalam sidang medianya semalam berkata, pemilihan Mat Sabu sebagai calon-calon masih lagi samar-samar. Makannya masih kelabu kelala (tak berapa terang gitu).

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, si Azman Shapawi yang suka bersyarah tiru Haji Hadi itu pulak mahukan seorang doktor falsafah dicalonkan. Ada beberapa perkara menarik di sebalik apa yang berlaku itu sebenarnya. Pertama, inilah kali pertama pemimpin Pas sanggup “melawan” kata-kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Selalunya dalam Pas, semuanya jadi pak turut kepada keputusan (walaupun tidak rasmi … kononnya atas nama menghormati) tok guru dalam Pas ini. Sampai sekarang pun saya tak nampak di mana relevannya Mat Sabu perlu jadi calon Pas pada PRK itu nanti. Tapi kalau Pas nak letak Mat Sabu, baguslah juga sebab senangnya BN mencapai kemenangan nanti.

Kedua, Pas Terengganu nampak tersepit dengan kemahuan Pas Pusat. Benarlah Pas diminta mencalonkan nama-nama tertentu di peringkat kawasan tetapi keputusan muktamadnya ialah di Kuala Lumpur, Jalan Chow Kit. Pas Terengganu nampak seperti membuat tuntutan tetapi Pas Pusat nampak seperti tidak berapa mahu melayan. Walaupun orang kata, puak Pas akan pangkah parti walau sesiapa pun yang bertanding, saya sedikit pun tak percaya. Puak Pas pun manusia macam puak UMNO. Perasaan dan naluri mereka tidak jauh berbeza. Kalau benar, puak Pas akan pangkah parti dan tak pandang calon, Pas pasti akan letak Mat Sabu.

Ketiga, ia menggambarkan betapa kritikalnya kemahuan Pas terhadap kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu sendiri. Maksudnya, Pas akan bermati-matian walau apa pun yang terjadi, mereka tetap mahukan kerusi tersebut. Maka, tunggulah apa yang akan Pas buat.

Keempat, Pas nampak bahawa mereka tidak mungkin mampu menang di PRK itu nanti. Terlalu banyak likunya yang Pas nampak kerana saingannya dari UMNO bukan calang-calang orang. Pas sukar membaca politik UMNO kerana bagi Pas walaupun UMNO nampak berpecah, ia belum tentu menjadi tiket untuk Pas menang mudah. Pas sedar bahawa mereka selalu terperangkap dengan teori tersebut, maka mereka sering tidak serius dalam menghadapi pilihan raya di kawasan-kawasan tertentu. Akhirnya mereka kalah.

Dan, Pas sendiri sebenarnya susah untuk membaca politik orang bandar seperti di Kuala Terengganu. Lihat saja apa yang berlaku di tiga DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu. Tiga kerusi dimenangi Pas dan BN menang satu di DUN Bandar. Namun, kerusi Parlimen pengundi berikan kepada BN. Mengapa jadi begitu. Itulah satu sifir yang sukar untuk Pas membacanya. Bagi UMNO mudah. Yang jadi begitu, orang UMNO yang berikan undi kepada Pas di tiga DUN berkenaan atau ada yang sabotaj. Itu saja.

Saya nampak dengan jelas, Pas Terengganu sedang berhadapan dengan suasana yang kurang menyenangkan dan menguji kesabaran mereka. Jika keputusan calon Pas memihak kepada Mat Sabu, ramai yang akan kecewa. Itu tidak dapat lari lagi. Kalau selain itu, pun susah juga. Akhirnya, pengundi memilih BN. Itu saja.

Maka marilah kita pakat pakoh BN nanti. Habis cerita.

Jumaat, 5 Disember 2008

KUALA TERENGGANU OH KUALA TERENGGANU


Salam blogger ...

Hari ini, agak terlewat saya mengisi bahan dalam laman saya ini. Banyak sebab mengapa terjadinya begitu. Saya membuka akhbar agak petang hari ini dan terbaca mengenai satu berita muka depan mengenai lima pemimpin UMNO yang disebut-sebut akan dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil P36 Parlimen Kuala Terengganu. Selesai membaca berita itu, saya hanya mampu tersengih dengan analisa yang dibuat. Dan, saya tidak mahu mengambil keputusan untuk mengupasnya secara mendalam.

Cuma, saya terfikir, entah dari mana sumber yang dipetik itu dan sumber yang dipetik itu pula jelas menyokong Ketua UMNO Bahagian, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Malah jawatan Mohd Sabri Alwi juga tersilap dengan ditulis Naib Ketua UMNO Bahagia dan bukannya Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Maknanya, penulis tidak teliti dalam analisa yang dibuat. Tapi, dalam kewartawanan biasalah kesilapan begitu. Teknikal.

Sekarang ini, fokus utama bukan lagi sampai ke tahan siapakah calon BN kerana menjadi "penyakit" orang UMNO/BN yang akan menunggu calon diumumkan. Sebaliknya tumpuan kini mengenai tanda-tanda keputusan kepada sifir politik di parlimen itu sendiri - adakah BN berpotensi atau tidak untuk menang. Jika jawapan itu dapat diberikan, ia sudah tentu akan mempengaruhi calon yang bakal bertanding. Kalau saya sudah berjawatan tinggi dan kemudiannya mahu dicalonkan di kawasan yang belum tentu saya menang, buat apa saya mahu menjadi calon. Maka, begitu jugalah dengan calon BN di Kuala Terengganu ini.

Semalam ketika di Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang indah ketika menanti ketibaan TPM, Datuk Seri Mohd Najib, saya sempat berbual, menyelongkar beberapa maklumat penting mengenai calon BN itu dengan tokoh-tokoh politik Terengganu. Adalah gambarannya sedikit. Pada sebelah malam di rumah arwah Datuk Razali Ismail pun sama. Ada gambarannya. Soal calon ini, saya akan kupas esok atau lusa.

Apa yang penting sekarang ialah adakah ahli atau pemimpin UMNO di Kuala Terengganu khasnya dan Negeri Terengganu khususnya sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Secara jujur (mungkin juga pandangan saya silap), saya melihat, tidak ada keghairahan di kalangan ahli/pemimpin UMNO di KT atau negeri Terengganu untuk berhadapan denganpilihan raya itu nanti. Suasananya nampak lesu dan lemah. Di Lapangan Terbang menyambut ketibaan TPM, hanya ada beberapa dua Ahli Parlimen dan tokoh-tokoh lama tetapi kelibat exco, wakil rakyat lain boleh dikatakan hampir tidak ada. Kalau ada pun, hanya seorang dua. Yang mengiringi TPM itu bukan calang orang dari KL. Mat Taib, Rafidah Aziz, Hishamuddin, Shabery Cheek yang sepatutnya "memanggil mood" pilihan raya.

Di rumah Arwah Datuk Razali ketika tahlil lagilah. Tak ada wakil rakyat BN. Maka saya rumuskan, semangat berpilihanraya masih belum terasa dan keadaan ini pastinya membimbangkan jika tidak dibangkitkan semangatnya. Mengapa jadi begitu?. Saya mampu memahaminya tetapi saya tidak mampu mencatatkannya di sini.

UMNO/BN mesti bergerak mulai sekarang. Tidak timbul soal "menghormati" kematian Ahli Parlimen dahulu. Politik mesti segera dalam semua perkara. Saya bukan mahu mengajar tetapi saya turun ke bawah dan mendapat reaksi ahli dan akar umbi, maka tercetus kebimbangan di hati saya. Itu saja.

Khamis, 4 Disember 2008

KUALA TERENGGANU, OH SIAPA CALONNYA BN


Assalamualaikum dan salam politik ...

Ramai orang bertanya saya, siapakah calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding kerusi P36, Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil itu nanti. Tidak kurang yang melontarkan pandangan pedas dengan mengatakan bahawa Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah tokoh paling layak. Keengganan beliau menerima sebagai calon (jika berlaku), awal-awal lagi dilabelkan sebagai pengecut kerana beliau akan dikatakan amat sayang jawatan Timbalan Menteri yang sedang disandangnya sekarang. Maksudnya, Parlimen Kuala Terengganu masih tidak meyakinkan untuk BN menang selesa. Ada juga yang berpandangan dan menyatakan kepada saya bahawa siapa juga calon BN, PAS pasti mampu merampas kerusi tersebut berasaskan beberapa faktor termasuk kekuatan pembangkang serta kecelaruan yang berlaku di dalam UMNO sekarang.

Semua itu adalah pandangan yang dilontarkan kepada saya dan tentunya mereka yang melontarkan itu pula mengharapkan saya menulis di laman blog saya ini.

Jawapan saya mudah. Saya bukan Perdana Menteri dan saya juga bukan Presiden UMNO untuk memberikan jawapan tentang siapakah calon BN yang bakal bertanding nanti. Kritikalnya pemilihan calon itu nanti ialah budaya orang UMNO/BN sendiri yang mengundi berasaskan calon dan bukannya parti. Maksudnya, jika mereka tidak berkenan kepada calon, maka mereka sanggup melihat partinya tumbang kerana mereka mengundi calon, bukannya parti. Sebagaimana Pas yang berhadapan dengan kemelut perebutan antara Mat Sabu dengan anak tempatan sebagai calon, saya melihat BN/UMNO juga sedang berhadapan dengan hal yang sama.

Apa yang pasti, pilihan raya bukanlah tempat untuk kita bercakap soal menunjukkan kejantanan seseorang kerana ia melibatkan soal maruah. Tidak ada gunanya kita merasa jantan sedangkan rakyat tidak pernah memandang pun hal itu dan mereka mengundi pembangkang. Soal yang mustahak, siapakah calon yang mampu membawa kemenangan kepada parti. Kita kena cari yang itu.

PAS sudah mula bergerak jenteranya tetapi UMNO masih bersikap tunggu dan lihat. Mungkin esok (Hari inilah - Jumaat) ketika TPM, Datuk Seri Mohd Najib Tub Razak turun ke Kuala Terengganu, maka ramailah yang akan menunjuk muka. Selebihnya, tak ada apa-apa pun. Nak bermesyuarat pun kena tunggu arahan MB. Adakah ini cara kita berpolitik atau mahu menghadapi pilihan raya?. Dan, adakah peperangan dalam pilihan raya itu hanya bermula selepas penamaan calon atau pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya kesian dengan MB kita, beliau terpaksa memikirkan banyak perkara sedangkan tentera di bawah hanya tunggu dan lihat. Masalahnya, mengapa orang sekeliling beliau hanya melihat dan tidak berbuat apa-apa?. Sebab itu saya katakan, beliau memerlukan pembantu yang baik, yang agresif, yang pintar politik dan bekerja kuat menjaga dirinya dan politiknya.

Pilihan raya kecil itu nanti walau apa pun persepsinya, ia akan tetap menjadi titik tolak kepada penilaian terhadap kemampuan dan politik MB itu sendiri. Maka, bagi saya, beliau tidak boleh sama sekali dibiarkan keseorangan dalam menghadapi situasi yang getir ini. YAB Datuk Ahmad Said adalah orang lama dalam politik. Beliau sedia maklum gelagat manusia yang gemar mengampu atau sebagainya dan hanya bercakap indah di hadapannya sahaja tetapi dari segi kerja, habuk pun tarak. Yilek!.

Berbalik kepada isu calon BN itu tadi. Saya fikir, BN masih ada kekuatan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti walau siapa pun calonnya. Cuma jika boleh, BN tidak perlulah meletakkan calon yang sudah tamat tempoh atau yang pernah ditolak oleh rakyat dalam mana-mana pilihan raya. Biarlah dia mempunyai jawatan di dalam parti tetapi jika dia pernah tewas dan ditolak rakyat dalam mana-mana pilihan raya, dia tidak wajar sama sekali dipilih sebagai calon. BN mestilah meletakkan calon yang bertanding untuknya menang dan bukannya sebagai tempat calon itu mencari populariti atau kekayaan.

Biar apa pun caranya, BN mesti mencapai kemenangan dan kemenangan di Kuala Terengganu akan memberikan kekuatan moral yang tersendiri sebagai mesej kepada Pakatan Rakyat (PR). Sebagaimana pilihan raya umum lalu, saya akan turun berceramah di Kuala Terengganu di atas tiket BN bagi membantu kemenangan itu. Saya bangga kerana menjadi satu-satunya wartawan Terengganu yang berceramah di pentas BN pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Kita bekerja untuk parti tanpa apa-apa kepentingan. Ada orang, mereka lebih gilakan jawatan bekerja dengan orang politik termasuk MB tetapi tak buat apa-apa untuk MB dan parti. Bagi saya, memadai dengan sumbangan yang terkadar dan termampu walaupun biasanya orang yang ikhlas seringkali tidak dipandang orang.

Rabu, 3 Disember 2008

P'RAYA KECIL PARLIMEN KUALA TERENGGANU: PAS MULA BERPECAH

Fariz Musa

Kesian ... Datuk Mustafa Ali

Menggilai siapa bernama Normah ... Mat Sabu
Salam hormat ...

Saya sudah menduga apa yang sedang berlaku ini. Walaupun banyak laman blog membuat pelbagai spekulasi mengenai siapakah calon pembangkang yang akan bertanding, namun mereka juga berhadapan dengan situasi yang rumit bagi menentukan calon.

Sebaik Allahyarham Datuk Haji Razali Ismail meninggal dunia, semua orang bercakap bahawa Pas akan mempertaruhkan Pesuruhjaya parti itu, Datuk Mustafa Ali sebagai calon Pas. Maka beliau dilihat antara orang yang sibuk di rumah Allahyarham, sama ada pada hari kematian atau pun pada majlis tahlil pada malam-malam berikutnya. Memang jika diikut dari segi ketokohan dan kelayakan, beliau seorang calon yang layak. Tentu sekali Presiden Pas, DS Abdul Hadi Awang akan menyokong pencalonan beliau kerana beliau adalah tokoh yang banyak membantu mewarnai politik Haji Hadi itu sendiri. Apatah lagi, beliau adalah ketua parti di Terengganu dan tentu sekali beliau adalah seorang yang layak. Lagi pun, Datuk Mustafa Ali yang saya kenal, beliau adalah seorang tokoh politik yang kritis serta mampu berhujah dengan baik.

Dan, saya tidak terkejut dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih berminat agar ayam tambatannya, Mat Sabu diberikan peluang bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu (Untuk rekod, Mat Sabu adalah calon Pas di kawasan berkenaan pada PRU-12). "Campur tangan" lebih awal Nik Aziz terhadap siapakah calon Pas di kawasan itu tentunya memberikan impak atau tekanan kepada Pas Terengganu yang katanya Dewan Pemuda Pas sendiri berminat untuk menawarkan calonnya. Saya pun tak faham, apakah relevannya Mat Sabu bertanding di Kuala Terengganu, sama ada dalam pilihan raya umum lalu atau pilihan raya kecil ini. Siapa Mat Sabu?.

Mat Sabu tak ada jasa apa-apa kepada penduduk dan pengundi di Kuala Terengganu. Sebelum PRU-12, dia datang ke Kuala Terengganu sekali sekala untuk berceramah ala mafia dengan maki hamunnya itu tetapi beliau tidak membela nasib rakyat. Tiang rumahnya pun tak ada di Kuala Terengganu. Dan, paling bengongnya ialah selepas PRU ke-12, Mat Sabu terus hilang dari Kuala Terengganu dan tak buat apa-apa. Lepas itu, Nik Aziz tergamak nak tengok Mat Sabu bertanding semula. Apa kes! ... Kalau orang/pemimpin Pas Terengganu tak marah, baik berhenti jadi orang. Bodoh sangatlah puak Pas kalau biarkan cadangan Nik Aziz menjadi kenyataan.

Yang ketiganya, PKR pun berminat. Si Fariz Musa yang juga Ketua Angkatan Pemuda PKR Terengganu dikatakan berminat untuk bertanding. Ni pun satu hal juga. PKR parti yang perasan kuat dan kerana itu mereka nak letak calon dia. Kononnya nak pakai mood Permatang Pauh. Hakikatnya ialah, PKR banyak menindas Pas dan memperbodohkan Pas selama ini. Dan, adalah ssuatu yang bangang bin bahlol jika Pas membiarkan PKR bertanding di Kuala Terengganu. Itu kerusi Pas, mengapa PKR nak kacau?. Jadi, Pas kena kekal dan berusaha bermati-matian agar kerusi itu milik mereka bertanding (walaupun belum tentu menang).

Jelas sekali ada kecelaruan yang ketara dalam pakatan pembangkang mengenai calon mereka di Kuala Terengganu. Pertama, adanya puak di Terengganu yang mahu anak Terengganu (Khususnya Datuk Mustafa Ali) bertanding. Kedua, Pas Pusat dan tentunya Nik Aziz mahu lihat ada calon luar diberikan peluang dan sudah tentu menggambarkan betapa Pas Pusat tidak merestui Datuk Mustafa Ali bertanding. Ia mengingatkan "pergeseran" yang dikatakan berlaku antara dua tokoh berkenaan. Bukan ringan-ringan kenyataan Nik Aziz terhadap Datuk Mustafa Ali baru-baru ini. Dan ketiga, calon PKR yang mengada-ngada yang akan menambahkan lagi masalah mereka menentukan calon.

Hakikatnya, siapa pun calon Pas yang bertanding, laluannya masih tetap sukar. Pas tidak boleh memandang mudah keupayaan BN walaupun ketika UMNO dikatakan agak lemah. Hampir setahun PRU berlalu, rakyat Kuala Terengganu sudah menilai kemampuan Pakatan Rakyat (PR) memerintah negeri mereka. Semua itu dipantau dari dalam hati dan mereka melihat PR tidak layak menjadi kerajaan. Meski pun mungkin mereka melihat UMNO/BN buruk di mata mereka, namun mereka menyaksikan PR jauh lebih buruk daripada itu.

Saya meramalkan terdapat sekurang-kurangnya lima calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti. Siapakah mereka. Tunggulah nanti.

Cuma dalam hal ini, bagaimana dengan UMNO dan BN. Mereka masih dilihat lembab dan lambat bertindak.

Jumpa esok dengan isu yang baru.





Selasa, 2 Disember 2008

TANDA YANG MENAKUTKAN MENJELANG P'RAYA KECIL PARLIMEN KUALA TERENGGANU



Salam politik ...

Tentu sekali isu paling panas di kala ini ialah menjelangnya pilihan raya kecil P36, Parlimen Kuala Terengganu yang akan diumumkan Suruhajaya Pilihan raya (SPR) Jumaat ini. Semua orang sudah tahu apa sebabnya pilihan raya kecil itu terpaksa diadakan dan semua orang sudah tahu apakah keputusan yang diperolehi semua calon pada PRU-12 Mac lalu. Pilihan raya itu mengingatkan kita kepada pilihan raya kecil DUN Kuala Berang pada 2004. Apa tidaknya, kedua-dua pilihan raya kecil ini berlangsung di kala UMNO menunggu hari menjelang pemilihan parti. Maka akan ada dua kempen. Pertama, kempen pilihan raya dan kedua, Kuala Terengganu pastinya menjadi tempat calon-calon berhimpun dan bertemu dengan perwakilan. Keadaan itulah yang akan menghangatkan pilihan raya itu nanti.

Biarlah. Itu cerita lain. Hari ini, saya mahu melontarkan pandangan awal saya mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini. Ada orang kata, BN akan menghadapi laluan sukar untuk kekal memandangkan Allahyarham Datuk Razali menang pun kerana undi pos. Ya memang benar fakta itu. Dan, jika dicongak dengan persekitaran tanpa isu-isu terkini, saya yakin BN bukan sahaja dapat kekal di Kuala Terengganu, malah akan memperolehi majoriti yang banyak. Banyak sebab saya kata begitu. Antaranya, senario PRU-12 tidak boeh disamakan dengan pilihan raya kecil ini kerana sekarang Allahyarham meninggal sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dengan jasa yang amat besar dan banyaknya. Malah, rakyat Kuala Terengganu memperakui jasa Allahyarham dan kerana itu mereka mahu melihat BN terus kekal di Kuala Terengganu. Dan, adalah sebab-sebab lain lagi.

Tapi saya amat takut dengan beberapa perkara. Pertama, kesan daripada pemilihan parti yang masih belum sendik (reda): kedua, perpecahan dua puak (MB dan bekas MB) dan ketiga perangai serta sikap puak dan pemimpin UMNO sendiri. Yang pertama dan kedua tidaklah terlalu kuat kebimbangan saya. Ini kerana, sejauh mana pun perpecahan dalam parti, orang UMNO tetap setia kepada parti. Bagi saya, perpecahan dalam UMNO diperkatakan orang sejak lama dulu. Dan, jika diambil kira di atas nama sepatutnya, UMNO sepatutnya sudah lama kalah dalam pilihan raya kerana ia adalah parti yang sentiasa diperkatakan sebagai berpecah. Ada ketika, orang UMNO akan bersatu walaupun mungkin dalam keadaan tertentu ada kelemahan yang ketara.

Yang paling saya takut ialah hal ketiga. Perangai. Saya catatkan beberapa peristiwa banjir yang berlaku beberapa hari yang lalu. Saya sempat membuat tinjauan di beberapa tempat di Kuala Terengganu dan mendapati antara rungutan paling ketara rakyat (pastinya pengundi) ialah betapa pemimpin UMNO tidak turun padang membantu dan melihat penderitaan mereka. Malah ada yang sudah mula mengecam UMNO dengan nada seolah-olah mahu membalas dendam pada pilihan raya kecil nanti kerana tidak cakna mereka yang susah.

Ada pemimpin UMNO yang saya hantar sms dan menjawab bahawa dia sudah turun tapi orang tak nampak katanya. Tak tahulah ke mana tempat dia turun sampai orang tak nampak. Pelik, kan. Tapi tak apalah. Bagi saya, sikap menunggu diumum tarikh pilihan raya kecil baru nak turun padang, ia sudah terlambat. Masa itu rakyat dan benci dan meluat, dan mereka pasti akan berikan undi kepada pembangkang. Itu tidak syak lagi.

Saya pun tak faham mengapa hal itu berlaku. Ada yang kata, keghairahan berpolitik orang UMNO di Terengganu (dalam konteks menghadapi pilihan raya kecil) sudah jauh merudum dan kerana itu bila berlaku bencana, pemimpin parti yang turun membantu tidaklah sehebat mana. Bukan hendak memuji tetapi dalam hal ini, Pas lebih bijak mencuri kesempatan. Mereka turun menunjukkan muka dan berbual-bual mendengar masalah rakyat. Bukankah politik tidak perlukan modal sangat jika kena caranya. Jadi, mengapa susah sangat nak turun padang dan jenguk rakyat yang kesusahan.

Mengapa mesti tunggu diumum nama calon dan tarikh pilihan raya, baru nak turun. Tak betul macam itu. Saya fikir, MB perlu melihat hal ini dengan serius. Perlu ada satu gerakan segera dalam melancarkan kempen (Sama ada dalam keadaan senyap atau terbuka) dalam memastikan BN menjadi kebanggaan rakyat KT khususnya. Sebabnya, apabila tiba musim pilihan raya kecil nanti, rakyat tidak ragu-ragu untuk mengundi BN.

Tapi yang pelik, pemimpin UMNO amat suka dengan pemilihan di bahagian. Tak tidur malam pun tak apa. Untuk memenangkan parti, susah sikit mereka nak bekerja. Yang akan bekerja ialah mereka yang bodoh dan tak ada apa-apa kepentingan. Semuanya demi saya dan kasihkan parti.

Saya bimbang, rakyat berdendam dan menolak BN. Jika BN kalah, banyaklah yang akan tercalar. Di hati saya, saya mahu BN terus kekal dan KT adalah tempat untuk BN membuktikan bahawa mereka adalah parti yang masih relevan dan diterima baik oleh rakyat. Jika BN kalah, maka masanya BN bersiap-siap mengemaskan pakaian untuk meninggalkan kuasa yang ada pada PRU-13 nanti. Jangan main-main dengannya.

Jumaat, 28 November 2008

ALFATIHAH UNTUK YANG PERGI MENEMUI ILAHI

Ucapan takziah kepada YAB Datuk Ahmad Said di atas pemergian bonda tercinta ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan insan-insan yang diredahi dan beriman. Semoga YAB Menteri Besar bersabar menghadapi dugaan yang getir ini, insya'Allah.
Ucapan takziah juga kepada keluarga Allahyarham Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland, Pahang petang tadi. Semoga Rohnya juga dicucuri rahmat. Allahyarham adalah seorang yang amat baik dan akrab dengan sesiapa sahaja ... layari blog saya http://ayobmamat.blogspot .com untuk satu kisah pendek mengenainya.

Khamis, 27 November 2008

MENGULAS BIAR ADA FAKTA

Salam blogger ...

Semalam, saya menerima satu ulasan mengenai tulisan saya bertajuk "Cikgu Mansor dan Kuala Nerus". Begini bunyi ayat ulasan yang dihantar kepada saya:

"Assalamualaikum wrb ....Tahniah En Ayub Mamat atas kesudian saudara memaparkan pandangan saudara yang amat bernas itu. Namun saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa cikgu mansor hanyalah mendapat 49 undi sahaja. sedangkan Dato Mukhriz menerima 87 undi. Berfikirlah sejenak, apakah logiknya Cg Mansor dan saudara Fauzi Ngah mampu memenangkan Dato Mukhriz sedangkan dirinya mereka sendiri tersungkur. Bagi saya semua ulasan yang saudara berikan hanyalah 'satu slot pembohongan' yang terancang. Fikir-fikirlah, si pemenang sebenat ialah calon yang mampu memenangkan dirinya dan juga secara '.......' memenangkan Dato Mukhriz".

Saya tidak tahulah sifir politik mana yang pengulas itu belajar. Bagi saya, pengulas itu mahu menunjukkan kebodohan saya dalam menulis atau menganalisa tanpa dia sedar bahawa dia sendiri yang membongkar kebodohannya. Malah, pengulas itu juga adalah seorang yang ada kepentingan dan takut dengan cadangan saya agar cikgu Mansor dilantik sebagai SU UMNO Bahagian.

Saya tidak pernah mengatakan bahawa Cikgu Mansor yang memenangkan Datuk Mukhriz tetapi pencalonan telah dikemukakan oleh orang beliau, Fauzi Ngah. Ada beberapa isu menarik dalam hal ini. Pertama, perwakilan sememangnya mahu Datuk Mukhriz dan mual dengan KJ tetapi pada masa yang sama, mereka lihat lawan cikgu Mansor sebagai layak di atas sebab-sebab tertentu. Tak payahlah saya sebut apa sebab-sebabnya kerana perwakilan Kuala Nerus sendiri sedia maklum mengenainya. Walaupun Cikgu Mansor kalah, namun keberanian Fauzi mencalonkan Datuk Mukhriz telah membuka ruang kemenangan kepadanya. Jika tiada pencalonan begitu, mana mungkin Datuk Mukhriz boleh menang. Cikgu Mansor kalah disebabkan banyak faktor. Dan, sekali lagi tak perlu saya sebutkan apakah faktornya.

Di dalam UMNO, pemimpin yang menang tidak bermakna dia seorang yang hebat kerana di dalam UMNO, kemampuan memenangi pelbagai jawatan bergantung kepada pelbagai sebab termasuk wang. Jadi, saya tidak melihat Cikgu Mansor (yang saya tidaklah kenal sangat pun) bukan seorang yang "kalah". Apa yang saya lihat, beliau bukanlah seorang yang terlibat secara sepenuh masa dengan perniagaan atau seorang kontraktor. Bahaya jika pilih kontraktor sebagai pemimpin. Orang itu memang kaya tetapi dia belum tentu mampu menyelamatkan parti. Ke arah memusnahkan ada.

Pengulas itu juga nampak cetek perkiraannya. Sifir politik tidak boleh disamakan dengan sifir matematik yang dipelajari di sekolah. Kalau macam itu pengulas memberikan pandangan, ia amat menjengkelkan. Saya bukan berhasrat untuk mempertahankan tulisan saya tetapi itu adalah analisa saya. KJ tak akan kalah kalau Fauzi tak calonkan Datuk Mukhriz dan belum tentu ada orang lain yang akan mencalonkan Datuk Mukhriz jika Fauzi tidak mencalonkannya. Itu pasti.

Sebenarnya saya sedar betapa ramai yang tidak senang dengan ulasan saya. Yang saya nak ketawa, ada juga orang takut kepada calon yang kalah. Nak takut buat apa dengan Cikgu Mansor tu. Ada juga yang gelabah bila saya cadangkan Cikgu Mansor sebagai Setiausaha UMNO Bahagian. Entah mengapa sebabnya, saya pun tak tahu. Tapi yang saya tahu, ramai orang yang gilakan jawatan SU Bahagian itu. Yang macam gila talak pun ada jugak. Tak faham saya dengan manusia ini.

Bagi saya, kalau kita pilih calon yang kalah tetapi beliau berkemampuan, berkarisma dan mampu membantu parti, apa salahnya dia dilantik. Bukankah usaha itu akan dapat menyatukan umat parti kita?. Mengapa kita mesti bergaduh dan mengambil tindakan membalas dendam dalam parti. Kalau menang dalam parti tapi kalah dalam pilihan raya buat apa?.

Kepada pengulas yang budiman, jangan terlalu cepaat melatah dan menuduh orang lain sebagai berbohong. Berbohong bagi anda kerana anda tidak mampu mempercayai tulisan saya. Namun, benar bagi mereka yang mampu menerima tulisan saya dan memahami apa yang saya maksudkan. Usah terlalu negatif dalam berpolitik. Musuh kita ada di mana-mana. Bahaya kita jika selalu seperti ini.

Apa pun, terima kasih di atas pandangan anda.

SELAMAT MENYERTAI RETREAT UMNO TRG

Salam bloger ...

Tahniah saya ucapkan kepada MB Terengganu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri kerana berjaya menganjurkan Retreat UMNO Negeri di Genting Highland mulai hari ini (27hb Nov 2008). Sepatutnya saya juga perlu hadir pada program tersebut dan telah disenaraikan sebagai peserta. Bagaimanapun memandangkan saya mengalami demam dan batuk yang agak teruk (walaupun saya sudah berada di KL sejak tiga hari lalu), maka dengan rasa kecewa dan hampa, saya terpaksa batalkan penyertaan saya.

Saya kecewa kerana di sana adalah peluang keemasan untuk saya memberikan pandangan serta mencatatkan pelbagai isu-isu yang menarik mengenai politik Terengganu. Saya amat berharap, retreat ini akan membuahkan hasil yang baik dan memberikan sesuatu yang bermakna dalam memperkasakan lagi UMNO Terengganu. Tahniah juga kepada Datuk Rosli Mat Hassan selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO di atas usaha yang telah dibuat bagi menzahirkan retreat itu.

Retreat wajar menjadi landasan untuk mencari kebaikan walaupun apa yang diputuskan nanti adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Selalunya kebaikan akan muncul di sebalik kepahitan.

Saya berharap, saya akan dapat kembali menyertai program sama pada masa akan datang. Tahniah.


Ahad, 23 November 2008

RETREAT JANGAN JADI RETORIK


Assalamualaikum dan salam bloger ...

Pertama kali selepas selesainya pemilihan di peringkat bahagian, UMNO Terengganu bakal mengadakan retreat di puncak yang dinging, Genting Highland beberapa hari lagi. Pentingnya retreat ini sudah tentu bagi memastikan segala kelemahan di sepanjang kempen pada pemilihan parti tempoh hari dapat diperkuatkan semula. Apa pentingnya retreat. Jika sekadar mengajak ahli berkumpul dan kemudiannya menghabiskan masa dengan perbincangan yang tidak diterjemahkan dengan tindakan, maka retreat akan menjadi retorik.

Sebagai pengalisis politik, saya amat optimis bahawa Badan Perhubungan UMNO menganjurkan retreat kali ini bagi memperkuatkan semula parti akibat atau kesan daripada pemilihan yang berlaku pada musim pemilihan. Sama ada kita suka atau sebaliknya, pertandingan di peringkat bahagian baru-baru ini tetapi mempunyai impaknya yang tersendiri. Sama terhadap pemimpin parti atau tubuh parti UMNO itu sendiri.

Jika berasaskan retreat yang pernah diadakan sebelum ini, ia banyak membuang masa serta tidak banyak membantu memperkasakan parti dan jenteranya. Retreat jika berasaskan kepada sebuah parti yang menjadi tunjang pemerintahan di negara dan negeri ini sudah tentu melibatkan satu agenda yang besar. Ia tidak boleh dipandang remeh. Maka, setiap peserta mestilah berani melontarkan pandangan yang menguntungkan parti. Manakala, mereka yang dilemparkan kritikan serta teguran mestilah berani menerimanya dengan hati yang terbuka.

Saya menyokong penuh usaha atau insiatif Badan Perhubungan UMNO yang mahu mengadakan retreat. Namun, kebimbangan saya tetap ada. Kebimbangan itu tentu sekali kerana saya sayangkan UMNO. Saya bimbang, ahli UMNO gagal bermuhasabah diri dengan sebaik mungkin disebabkan mood pemilihan yang masih tebal. Bagi mereka yang menang, mungkin akan lebih sedap bercakap tetapi bagaimana pula mereka mampu menjaga hati mereka yang kalah?. Sejauh mana yang menang itu mampu bertindak secara bijak berasaskan tanggungjawab yang jujur dan benar terhadap parti tanpa bersifat balas dendam?. Dan, adakah hasil retreat itu nanti bakal mengundang kesanggupan pemimpin UMNO sama ada di peringkat bahagian atau lebih tinggi merombak semula keputusan yang sudah dibuat?.

Kita tidak boleh menyatakan bahawa apa yang telah diputuskan sebelum ini sebagai betul demi parti dan mungkin ada keperluan yang mampu menyebabkan kita mengubahnya semula. Jika kita bercakap soal pentingkat parti, ia wajar diterjemahkan dengan sifat yang terpuji. Retreat adalah satu medan untuk kita bermuhasabah diri. Mencari kelemahan dan akur dengan apa yang diputuskan. UMNO sememangnya sebuah parti yang kaya tetapi jika kekayaan itu hanya sekadar untuk menghabiskan masa dengan makan angin di puncak yang dingin, ia tidak mempunyai nilai apa-apa pun.

Jika retreat hanya sekadar bercakap di pentas dengan ucapan berapi-api tentang bagaimana kita mesti memperkasa dan memperkuatkan parti sedangkan tindakan di luar litar retreat sendiri tidak menggambarkan hal serupa, maka di manakah pengertian retreat. Saya tidak mahu membuat penilaian awal mengenai hal tersebut. Namun, pada kebiasaannya, memang begitulah. Saya optimis bahawa UMNO di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said mempunyai strategi yang berbeza. Ada kekuatan baru yang bakal dibentuk. Itulah yang wajar diberikan perhatian.

Jika berkesempatan, saya juga akan ke sana. Sekurang-kurangnya, ia akan mengajarkan saya pengertian retreat tersebut.

Semua orang mahu melihat UMNO itu kuat. Saya pun begitu. Jadi, adakah kita bersifat ke arah tersebut. Cuma, sekali lagi saya mahu mengajak mereka yang bakal menyertai retreat kali ini agar tidak sekadar menjadikan retreat menjadi retorik.

Bersatulah ahli UMNO demi parti yang tercinta ini.

Sabtu, 22 November 2008

UDAH-UDAH LE TU RAFIDAH

Salam blogger...

Saya tersenyum sinis mendengar kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai hasratnya untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan selepas Pelan Peralihan Kuasa ala kartunnya tidak diterima Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Macam biasa, Rafidah akan bercakap di depan kitab suci Al-Quran yang diletakkan di ata srehal. Itulah taraf Al-Quran di mata Rafidah. Sikit-sikit Al-Quran.

Tak apalah. Itu hak dia. Cuma saya nak komen sikit bab keputusan Shahrizat yang mahu menentang Rafidah. Saya jijik melihat muka Rafidah dengan kenyataan sinisnya yang seolah-olah mahu menyalahkan Shahrizat. Bagi saya, Shahrizat tidak bersalah kerana yang lemah ialah Rafidah. Isunya dalam Pergerakan Wanita ialah di Datuk Kamilia yang juga dari Kuala Kangsar, Perak. Kamilia menolak pelan peralihan kuasa dan bertegas mahu bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita sedangkan menurut pelan peralihan kuasa itu, Shahrizat akan kekal sebagai Naib Ketua sebelum diserahkan kuasa Ketua Wanita secara bodohnya oleh Rafidah.

Masalahnya, Kamilia tidak mahu mengalah dan Rafidah pulak buat apa?. Mengapa dia tidak main peranan pujuk Kamilia supaya jangan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita. Sebagai Ketua Wanita, Rafidah sepatutnya bertanggungjawab menasihati Kamilia tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya pada mulanya nampak Shahrizat tidak mahu melawan Rafidah tetapi disebabkan ada gangguan pada kerusi yang disandangkan, takkan Shahrizat nak diam. Kalau Shahrizat tak lawan Rafidah dan kekal bertanding dengan Kamilia, saya amat yakin Shahrizat akan ditolak perwakilan kerana menjadi pemimpin yang PENAKUT. Gelombang angin perubahan yang menolak pelan peralihan kuasa ala kartun Rafidah telah jelas kelihatan.

Saya pun tak faham di mana relevannya pelan peralihan kuasa itu. Bangang sungguh pelan itu ya. Rafidah nak apa dengan pelan itu?. Rafidah patut serah aja kuasa kepada Shahrizat. Habis cerita. Ni nak tunggu tiga bulan. Dia nak buat apa. Pemimpin jenis apa macam ini. Dan, apabila saya melihat ramai juga wanita yang sokong dengan kenyataan Rafidah malam tadi, nampak sangat mereka itu bodoh, tak faham dengan sifir politik. Macam ini ke nak menang pilihan raya. Rakyat di bawah nak perubahan. Rafidah faham ke tidak hal itu. Buat apa dia menang Ketua Wanita tetapi UMNO kalah dalam pilihan raya. Ini yang mustahak.

Tahniah Shahrizat. Saya amat optimis bahawa wanita UMNO tidak bodoh lagi sekarang ini. Mereka akan bangkit dengan terang bagi memberikan mesej kepada Rafidah bahawa pelan peralihan kuasa yang dirancang adalah tidak logik dan tidak masuk akal. Rafidah akan terperangkap dengan pelan yang dirancangnya sendiri nanti. Wanita UMNO sudah mual dengan pemimpin yang mulut celupar tetapi tidak melihat kepentingan parti.

Rafidah buat apa dengan wanita selama dia jadi pemimpin?. Rakyat nak tahu. Kali ini, Rafidah akan menerima akibatnya. Dia tidak boleh angkuh, sombong dan takkabur kononnya dia dapat pencalonan yang lebih. Hah!, itu belum tentu dia boleh menang. Yang saya lucu dengar tu, Rafidah sebut puak Shahrizat sebagai "parti yang satu lagi...". Kakakakakaa... bertanding menda ni Mek Rafidah woii.

Cukuplah tu. Shahrizat tak bersalah. Beliau hanya mahu mempertahankan dirinya. Rafidah telag gagal menasihatkan kamilia agar tidak "merampas" kerusi Shahrizat. Jelas sekarang, ada agenda Rafidah.

Rabu, 19 November 2008

TERLOPONG DAN PERSONALITI

Kini, ramai yang mula meneropong saya. Saya di sinilah. Tak lari!
Salam blogger ...

Gembira saya dapat teruskan menulis di laman ini, berkongsi pandangan serta apa yang ada di fikiran. Selalunya apa yang ada di fikiran kita tidak sama dengan apa yang ada di fikiran orang lain. Maka, jika kita tahu membancuhnya, hasil yang diperolehi pastinya hebat sekali. Politik pun begitu. Ia memerlukan bancuhan, kreativiti dan ketajaman berfikir dalam mengatur serta menyusun strategi.

Politik Terengganu sendiri amat menarik, sarat dengan ilmu serta sesuatu yang penting untuk dipelajari sifirnya. Daripada sebuah kerajaan yang menang, BN kalah mengejut di tangan Pas pada PRU-1999. Namun pada tahun 2004, BN bangkit semula dan berjaya merampas Terengganu sehinggalah sekarang. Iklim politik di Terengganu juga berbeza. Sebagai seorang penganalisis politik, saya tidak pernah takut memberikan pandangan saya.

Saya sedar ada persepsi tertentu kononnya saya ini orang DS Idris Jusoh dan merupakan seorang yang amat taksub kepada beliau. Bagi saya, tidak ada istilah itu dalam hidup saya. Saya tidak taksub kepada sesiapa dan saya juga bukan manusia yang mempunyai ketua dalam berpolitik. Maksudnya, setiap pandangan yang saya berikan tidak berasaskan kepada ketua politik. Ia berasaskan analisa dan penelitian saya sendiri sebagai seorang wartawan. Dan, saya gembira apabila tidak ramai wartawan yang minat politik secara mendalam seperti saya. Ketua saya ialah diri saya. Di zaman pemerintahan DS Idris Jusoh, saya juga mengkritik beliau. Malah pernah satu ketika, ramai exco kerajaan negeri pada waktu itu menelefon saya kerana saya pernah mengkritik DS Idris dengan kerasnya.

Mengapa saya mengkritik?. Saya sebenarnya memberikan pandangan dan yang marah itu tidak menerima teguran. Dan sekarang apabila Datuk Ahmad Said menjadi MB, ada persepsi bahawa saya tidak baik dengan beliau. Dahulu ketika saya bertugas di Kemaman, saya akui bahawa saya menulis pelbagai isu yang berkaitan dengan beliau. Tapi semua itu saya tulis berasaskan kepada profesionalisme saya sebagai wartawan yang menemui rakyat dan sebagainya. Saya tidak mendapat imbuhan di sebalik apa yang saya tuliskan. Semuanya demi masyarakat. Dan, walaupun ada persepsi negatif mengenai saya pada waktu itu kononnya saya berkonfrantasi dengan Datuk Ahmad Said, itu tidak benar.

Saya kenal MB sebagai seorang yang keras tetapi saya kena akui bahawa beliau ada sifat lembutnya. Sebenarnya pada waktu itu, Datuk Ahmad Said tidak memarahi saya tetapi ia sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tertentu untuk melagakan saya. Saya juta bukan manusia yang mempunyai agenda. Kalau saya manusia begitu, sekarang ini saya sudah hidup senang lenang. Tapi hakikatnya saya menulis hanya sebagai tugas saya.

Bagi saya, tidak ada ketua di dalam diri saya. Ketua saya ialah saya sendiri. Saya sendiri yang membuat rumusan dan saya sendiri yang fikirkan apa yang perlu. Dan, apabila Datuk Ahmad menjadi MB, saya menyokong beliau. Dan, apa yang saya tuliskan adalah kerana tidak mahu ada persepsi negatif terhadap beliau. Secara jujur saya melihat, rakyat Terengganu bagaikan sudah lupa dengan era DS Idris Jusoh. Dan, fokus mereka kini ialah kepada kepimpinan sekarang. Dan, kerana itu, perlu ada satu gerakan yang serius dalam memastikan kepimpinan sekarang dilihat positif oleh rakyat dan diterima sebagai satu petanda perubahan yang sihat. Bagaimana caranya?. Adalah. Takkan kena tulis di sini.

Saya fikir, perlu ada sesuatu gerakan secara serius sekarang. Kena gerakan. Politik kadangkala tidak memerlukan modal yang besar untuk dilihat hebat. Ada waktunya, ia memadai dengan personaliti. Saya sangat tertarik dengan konsep menjual personaliti. Akhirnya kerajaan atau parti itu akan dilihat hebat. Saya pernah katakan hal ini kepada DS Idris Jusoh dahulu.

Lihat bagaimana pemimpin Pas menjual personaliti mereka. DS Anwar Ibrahim dan ramai lagi. Adakah parti mereka hebat?. Kalau nak cakap soal moral, ia sudah tentu menjijikkan tetapi mengapa mereka dilihat hebat. Mereka menjual personaliti kepada khalayak politik secara berkesan.

Itu yang mahu saya lihat. Kita tidak boleh terdiam terlalu lama. Saya bimbang ada persepsi negatif pula dan akhirnya yang rugi ialah parti kita sendiri.

Jadi, saya mengharapkan agar kerajaan Terengganu melakukan sesuatu. Jangan biarkan dalam keadaan sekarang. MB tidak mampu memikirkan semuanya. Pegawai-pegawainyalah yang mesti bergerak dan merancang hal tersebut. Ingat, PRU ke-13 tiba-tiba akan menjengah tanpa kita sedar. Kita kena bersedia. Semoga apa yang saya catatkan ini akan membuatkan kita semua berfikir. Berfikir untuk kebaikan dan bukannya mencari kelemahan.

Jumpa esok.

Selasa, 18 November 2008

JANGAN NEGATIF TERHADAP TULISAN SAYA


Assalamualaikum ...

Ada orang cuba menangguk di air keruh. Itu persepsi saya apabila mendapat tahu ada pihak yang cuba menggambarkan secara negatif mengenai saya terhadap MB Terengganu, Datuk Ahmad Said. Malah ada juga yang cuba mengorek kononnya saya mempunyai sejarah hubungan yang tidak baik dengan MB ketika beliau menjadi exco. Bagi saya, saya tidak sampai ke tahap berfikiran sedemikian. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya bukanlah manusia yang berkepentingan. Maka, di atas dasar itu, saya memberikan pandangan. Bagi saya, mengkritik bukan bermaksud kita menentang. Tidak menyokong sesuatu keputusan, bukan bererti saya bermusuh. Apa yang saya tuliskan mengenai isu-isu politik Terengganu adalah di atas dasar SAYANGKAN MB Terengganu itu. Saya tidak mahu beliau mendapat maklumat yang salah, persepsi yang tidak benar mengenai apa yang berlaku.

Lagi pun, siapalah saya. Saya hanya mampu memberikan pandangan dan selebihnya terpulang kepada penilaian. Saya percaya bahawa jika MB membaca tulisan saya, beliau tidak akan negatif terhadap saya. Saya menyokongnya dan pandangan yang saya berikan itu, walaupun kadangakala seperti menentang arus, namun ia tetap sebagai satu sokongan. Maksudnya, saya tidak mahu MB membuat satu keputusan berasaskan kepada satu persepsi politik sahaja. Apa yang berlaku di bawah juga mestilah diambil kira. Itu maksud saya. Saya juga hanya melahirkan kebimbangan mengenai isu-isu politik semasa yang berlaku. Saya nampak, orang UMNO tidak berminat berfikir mengenai masa depan UMNO. Mereka hanya berminat untuk bergaduh sesama sendiri. Mereka sudah lupa sejarah kekalahan mereka dahulu.

Maka saya berikan pandangan. Sekarang ini saya nampak pasukan MB kita masih belum kuat dan sesuatu perlu dilakukan bagi memperkuatkan pasukan itu. Saya bersedia membantu kerana itu memang kerja saya pun sebelum ini. Saya sayangkan negeri saya dan sayangkan pemimpin negeri saya. Saya tidak mahu beliau hanyut dengan pandangan politik semata-mata. Maka apabila saya mempunyai ruang melalui laman ini, maka saya berikan pandangan ini. Jika ia boleh dipakai, maka pakailah jika ia mempunyai kebaikan. Dan, jika ia sebaliknya, biarkan saja ia berlalu.

Sekarang ini ramai sangat yang suka mengampu. Itu yang bahaya itu. Tak kiralah siapa mereka. Sama ada orang politik atau pegawai kerajaan, ramai yang mengampu. Biasanya yang diampu boleh lemas dibuatnya. Itu yang kita takut.

Jadi, janganlah ada yang negatif dengan apa yang saya catatkan. Jangan terlalu cepat melenting dan membuat andaian semata-mata. Jangan membuat tuduhan atau cuba menggambarkan bahawa saya tidak sehaluan dengan MB Terengganu. Saya adalah insan kerdil dan melalui tulisan saya inilah saya dapat memberikan pandangan mengikut kedudukan saya sekarang. Saya berharap, akan ada sesuatu kebaikan yang mampu dikutip. Jika tidak banyak pun, sedikit pun sudah memadai.

Semoga kita menjadi manusia yang matang dan bijak dalam menerima sebarang rumusan melalui tulisan ini.

Ahad, 9 November 2008

CHE MANSOR DAN KUALA NERUS

Che Mansor Salleh (Calon Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus) memberi sokongan kuat kepada Datuk Mukhriz Mahathir
Salam blogger...

Mungkin tidak terlewat untuk saya mengulas apa yang berlaku dalam persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus baru-baru ini. Menariknya mesyuarat itu, ia adalah bahagian terakhir di Terengganu mengadakan mesyuarat. Dan, lebih menarik Saudara Khairy Jamaluddin (KJ) dikatakan bakal dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada bahagian itu. Maklumlah ia kawasan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri, Amiruddin. Saya difahamkan, semua menyangka nama KJ akan melekat di Kuala Nerus tetapi malangnya yang menang ialah Mukhriz Mahathir.

Lebih unik lagi ialah pencalonan itu diadakan secara undian. KJ mendapat 76 undi, Khir Toyo mendapat 70 undi dan Mukhriz memperolehi 87 undi. Yang mencalonkan Mukhriz ialah Fauzi Ngah yang menjadi proksi calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Cikgu Che Mansor Salleh. Tahniah Che Mansor dan Fauzi. Anda wajar diberikan pujian kerana anda berada di landasan yang mempunyai prinsip.

Walaupun anda tewas, namun anda mempunyai prinsip dan prinsip itu berjaya anda tegakkan pada mesyuarat itu baru-baru ini. Hal itu tidak boleh disangkal lagi. Ia adalah sesuatu yang benar-benar wujud. Bagi saya, Mukhriz adalah seorang yang berpegang kuat kepada prinsip perjuangan walaupun saya bukanlah ahli Pemuda UMNO. Beliau mewarisi sikap bapanya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa berpegang kuat pada prinsip dalam meniti kehidupannya sehingga kini. UMNO memerlukan kepimpinan seperti Mukhriz. UMNO tidak memerlukan pemimpin yang berapi-api bercakap soal membasmi politik wang tetapi wang bertaburan di sana sini. Pemimpin seperti itu boleh menjual parti dan tidak mustahil boleh menjual negara.

Maka, keputusan pemilihan Mukhriz oleh Pemuda UMNO Kuala Nerus yang dicetuskan Fauzi dan Che Mansor itu tadi adalah sesuatu yang kuat dan menarik. Saya percaya, Mukhriz pun tidak percaya beliau mendapat pencalonan di bahagian itu. Dengar kata menggelabah orang KJ pada mesyuarat bahagian itu. Mesti ada sebab mengapa menggelabah. Mereka sahaja yang mampu memberikan jawapannya.

Pemuda Kuala Nerus sebenarnya masih kekurangan tenaga muda yang berwibawa bagi memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Saya tidak nampak mengapa Che Mansor ditolak oleh perwakilan. Mungkin juga kerana beliau bukan seorang kontraktor atau bagaimana?. Malang sekali, perwakilan telah memilih calon yang tepat dengan menyokong Mukhriz tetapi mereka gagal dalam memilih calon yang benar-benar berwibawa bagi memimpin mereka di Bahagian Kuala Nerus.

Saya tidak kenal sangat Che Mansor tetapi saya sempat beberapa kali berbual dengannya. Saya meneliti falsafah politiknya dan saya percaya beliau adalah seorang yang serius dalam memperkasakan parti. Beliau tidak mencari kepentingan dan berkebolehan. Di atas sifat itu, sata percaya dan yakin alangkah eloknya jika Ketua UMNO Bahagian yang disambung semula perkhidmatannya, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri melantik beliau sebagai Setiausa UMNO Bahagian bagi menggantikan Saudara Ruslan Abdul Rahman yang memenangi jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian. Saya nampak ada kekuatan dan kemampuan pada Che Mansor. Lagi pun, calon yang kalah tetapi berwibawa, jika diberikan tempat, ia mampu menyumbang kepada keutuhan dan kekuatan parti. Saya percaya dan yakin mengenainya.
Hanya itu pandangan saya.

Rabu, 5 November 2008

Man Bakar, McCain dan Marang

“Saya baru menelefon Obama untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangan dan ia merupakan satu kemahuan rakyat demi negara Amerika yang bertuah. Saya menerima kekalahan ini dengan terbuka”, demikian antara kata-kata calon Presiden Amerika, John McCain dari Parlimen Repbulikan yang tewas di tangan calon Parti Demokrat, Barack Obama semalam.

Mengapa saya mengambil petikan ini. Jawatan yang dipertandingkan itu adalah amat besar yang menentukan manusia yang mampu menguasai dunia. Ia bukan mudah dan bukan hal yang remeh. Jika kalah, ia tentunya menjadi satu tekanan dan beban yang dahsyat. Tapi apakah McCain begitu?. Yang peliknya ialah orang kita. Bertanding berebut jawatan Ketua Bahagian pun bercakaran. Yang kalah, tak mahu terima kekalahan, malah menyokong lawannya dipecat sebagai Exco. Apa ni!. Apa yang saya maksudkan tentunya UMNO di Bahagian Marang, Terengganu. YB Yahya Khatib dikatakan akan digugurkan sebagai exco kerajaan negeri kerana melanggar arahan MB, Datuk Ahmad Said agar jangan menentang Ketua Bahagian pada pemilihan parti baru-baru ini. Pada pemilihan itu, penyandang jawatan, Senator Datuk Rahman Bakar hanya mendapat 214 undi berbanding YB Yahya Khatib yang memperolehi 412.

Yang mahu digugurkan sudahlah menjadi satu isu, yang Man Bakar pula syok aja dalam kenyataannya kepada Sinar Harian dengan menyokong hasrat MB itu. Jadi, di mana nilai moralnya. Pandangan peribadi saya, Man Bakar sudah tidak relevan lagi di Marang dan beliau mestilah menerima hakikat bahawa masyarakat UMNO di Marang menolak beliau. Itulah hakikatnya. Beliau pun kawan saya tetapi saya tidak boleh membohongi diri saya dengan menulis sesuatu yang tidak benar. Saya masih ingat sehari sebelum Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan nama calon PRU-12 di Mercang. Dengan nada berapi-api Man Bakar kata dia sanggup berhadapan jika tidak dipilih semula sebagai calon dan berikrar akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada calon yang dipilih. Man Bakar memang hadir pada hari penamaan calon apabila beliau tidak disenaraikan tetapi menurut Naib Ketua UMNO Marang, Haji Razali Idris, Man Bakar tidak turun bantu berkempen padahal dia Ketua Bahagian. Man Bakar juga kata Razali tidak mengadakan sebarang mesyuarat bagi meneliti dan mengkaji strategi kempen parti pada PRU-12. Semuanya kalut sedangkan janji sebelum itu lain.

Lebih memalukan ialah kes di Cawangan Kedai Buluh. Orang Marang semua tahu kes itu. Malu!.

Sebab itu saya petik kata-kata McCain. Man Bakar perlu contohi mat salleh itu yang gentlemen berhadapan dengan kekalahan. McCain tidak pun suruh Obama dihukum atau sebagainya. Malah beliau menelefon Obama untuk ucapkan tahniah. McCain tak kerah penyokongnya supaya membenci Obama. Malah beliau akan memberikan sokongan serta kerjasa sebaik mungkin demi negaranya. Jadi, apa salahnya jika Man Bakar buat begitu. Terima kekalahan dan akur dengan kehendak akar umbi parti. Kalau tidak puas hati, ada caranya dalam menangani masalah yang berlaku. Bukannya seperti hari ini.

Akar umbi di Marang sudah buat perubahan. UMNO Marang sekarang berada dalam kekuatan. Tengoklah nanti dalam PRU-13. Walaupun mungkin akan berlaku cah keting akibat pemilihan ini, namun manusia pengkhianat terhadap parti parti akan terus dipinggirkan. Orang Marang tidak bodoh. Mereka tahu BN boleh menang di Marang dan kali ini mesej mereka melalui mesyuarat UMNO Bahagian baru-baru ini bahawa mereka mahukan perubahan. Dan, perubahan itu datang secara total.

Terimalah kekalahan kerana kekalahan selalunya berpunca daripada kelemahan. Semaklah di mana kelemahan, demokrasi membenarkan kita mencubanya semula dalam tempoh yang betul. Itu yang wajar difahami.

Fikirkanlah apa yang saya tuliskan.

Isnin, 3 November 2008

KEMELUT, MELALUT DAN TERLUCUT

Sedihnya ... kerana apakah tindakan ini berlaku?. Faham-faham sajalah.

Jika anda teliti terhadap gambar yang saya paparkan di atas, secara jujur, adakah anda tidak merasa malu, meluat, sakit hati dan terasa bodoh?. Mengapa ia dilakukan dan berlaku?. Untuk apa ia dilakukan dan berlaku?. Anda jawablah sendiri.

Kalau bercakap mengenai UMNO hari ini, boleh pening dibuatnya. Semua itu angkara manusia yang berkepentingan dalam parti keramat itu. Usahlah cakaplah soal perjuangan bangsa dan negara, semua otu karut belaka. Macam saya pernah catatkan, orang UMNO suka mereka menang dalam parti walaupun kalah dalam pilihan raya. Itulah sifir puak-puak dalam UMNO hari ini. Maka, anda lihatlah apa yang sedang berlaku.

Di Terengganu pun sama. Ini timbul pula isu nak pecat exco. Dulu kemelut nak lantik MB, lepas itu kes kereta mercedes dan sekarang isu pecat exco pula. Apa ni!. Negeri macamana?. Ada perubahan ke selepas PRU-12/2008 yang lalu di Terengganu. Apakah perubahan besar yang dibuat selepas BN menang PRU-11/2004 disambung semula. Kita ini negeri apa?. Patut ke kita berpolemik sepanjang masa?. Bagi mereka yang berkepentingan, tak kiralah apa pun kepentingannya, mereka tidak kisah sangat. Tapi sebagai rakyat Terengganu saya takut dengan apa yang berlaku. Kalau berdasarkan pada cara, saya nampak orang UMNO Terengganu hari ini semacam sanggup serahkan kuasa kepada Pas sekali lagi pada PRU akan datang. Masing-masing nak tunjuk kuasa. Kuasa itu siapa yang beri?. Ingat, kuasa orang politik diberikan rakyat. Sesiapa yang mengkhianati rakyat, padah akibatnya. Sungguh!.

Saya nampak apa yang berlaku hari ini, seperti adanya sifat membelakangkan kuasa pemberian rakyat. Buruk padahnya. Ingat, buruk padahnya.

Kemelut UMNO Marang pasti akan menyaksikan sesuatu yang tidak ingin kita lihat. Ia akan mencetuskan sesuatu yang tidak mampu saya tuliskan di sini. Anda tunggu dan lihatlah nanti. Apa yang pasti, ia akan terus mengundang kepada kelemahan UMNO itu sendiri. Inilah akibatnya apabila yang menang mahu menang selama-lamanya. Yang kalah, enggan menerima hakikat bahawa kepimpinannya telah ditolak. Pemimpin yang baik, apabila kalah, dia tahu bermuhasabah diri, bukannya cari pasal dengan menghru-harakan lagi keadaan. Yang telah menjadi pemimpin, mereka mahu memimpin sampai ke liang lahad walaupun kepimpinannya sudah tidak berguna lagi. Itu cara orang politik, termasuk di Terengganu.

Ada yang kalah dalam pilihan raya tetapi masih mahu bertanding jawatan dalam parti. Nak apa lagi?. Tapi begitulah bodohnya sebahagian ramai orang UMNO. Tengok macamana mereka sendiri berkata, Khairy Jamaluddin (KJ) menjadi perosak UMNO. Hari ini, KJ mendapat sokongan yang kuat. Mengapa?. Orang UMNO pasti ada jawapannya. Kerana partikah mereka memilih?. Begitu juga di Terengganu. Orang UMNO di Terengganu telah memilih pemimpinnya secara salah. Apabila suatu hari nanti UMNO hilang kuasa atau kalah dalam PRU, maka mereka mahu menyalahkan pemimpin. Pemimpin itu siapa pilih. Tak mereka yang pilih?.

Belajarlah dari kesilapan. Mereka yang mengulangi kesilapan, jangan mimpi mereka akan terlepas daripada hukuman. Dan bagi mereka yang merasakan dirinya sentiasa menang, jangan lupa kata-kata sendiri bahawa dunia ini ibarat roda yang berputar. Lihatlah nanti.

Ahad, 2 November 2008

PECAT, TERPECAT DAN MELUAT



Salam blogger...

Apa sudah Jadi dengan UMNO Terengganu. Itu hal yang sentiasa bermain di fikiran rakyat. Bagi pemimpin UMNO, "peperangan" sesama mereka adalah biasa tetapi tanpa mereka sedar, rakyat memerhati mereka dengan penuh rasa meluat dan benci. Paling sakit hati bila pemimpin UMNO berlagak seolah-olah mereka didokongi parti yang kuat. Sejarah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-10 (1999) sudah dilupakan sekelip mata. Pendek kata, mereka semua lupa sejarah dan daratan. Adakah UMNO Terengganu fikir bahawa mereka tidak mampu dikalahkan lagi selepas ini?. Sebagai pengalisis politik, saya naik mali melihat gelagat pemimpin UMNO. Mereka bercakap soal amanah rakyat tetapi apa yang mereka buat?.

Ini pula, timbul cerita MB akan pecat exco kerajaan negeri, YB Yahya Khatib Mohamad kerana mengingkari arahan beliau agar ahli exco tidak melawan Ketua Bahagian dalam pemilihan parti yang berlangsung sekarang. MB kata, dia ada hak untuk lantik dan pecat exco (Yang beliau maksudkan ialah melakukan rombakan). Saya pun tak faham dengan sifir politik seperti ini. Bagi saya, yang menang telah menang dan ia wajar diterima dengan hati terbuka. Tindakan jika diambil sebelum sesuatu itu berlaku, ia mungkin menguntungkan. Namun jika ia dilakukan sebaliknya, dikhuatiri kerugian pulalah yang akan ditanggung. Apa yang saya maksudkan, bukan apa yang pemimpin UMNO tanggung. Jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan termasuk jatuhnya semula kerajaan BN, yang derita ialah rakyat sendiri. Jangan lupa sejarah Pas merantai pintu balai raya dan tak beri ruang orang UMNO menggunakan segala kemudahan.

Saya berpendapat (Maaflah jika pendapat ini menyinggung perasaan mana-mana pihak), proses pemulihan UMNO (dalam konteks Terengganu) perlu dilakukan dengan bijak. Apa yang hendak saya sampaikan ialah, pemimpin parti di peringkat bahagian sepatutnya dipilih di kalangan wakil rakyat kerana pada hemat saya, mereka bukan sahaja telah diterima oleh ahli parti tetapi juga rakyat selaku pengundi. Jika UMNO memilih pemimpin parti bukan di kalangan wakil rakyat (Mungkin yang telah tewas pada pilihan raya atau tidak dipilih semula di atas penilaian-penilaian tertentu), maka ia amat tidak wajar.

Pemimpin itu mungkin mempunyai banyak masa kerana tidak menjadi wakil rakyat tetapi bagi memperkasakan parti, hal itu dilihat tidak relevan. Parti dan kerajaan wajar bergerak serentak. Imej kerajaan akan bererti imej parti dan begitulah sebaliknya. Begitu juga dengan mereka yang telah lama berkhidmat, apatah lagi rekodnya sudah ada kalah dan menang. Bila sudah lama berkhidmat, berilah peluang kepada orang lain pula menjadi pemimpin utama. Ketika mereka bertanding, mereka mahu semua orang menyokongnya tetapi ketika dia tidak terpilih, dia mensabotaj orang lain. Sifir seperti itu akan mengembalikan keputusan yang rugi.

Peliknya orang UMNO ialah apabila sekali dipilih sebagai pemimpin, mereka mahu terus kekal sebagai pemimpin hingga ke liang lahad. Mereka akan melakukan apa sahaja asalkan dia menang jadi pemimpin. Bagi saya, apalah ertinya kita menang dalam parti tetapi kita kalah dalam pilihan raya sehingga kita hilang kuasa.

Itulah senario yang sedang berlaku dalam UMNO sekarang. Kuasa dalam parti adalah yang diutamakan tetapi usaha mengekalkan kuasa dalam negara sebagai kerajaan tidak pun mahu dipandang. Teruknya mereka!.

Selasa, 28 Oktober 2008

ANTARA SMS, HILANG KUASA DAN KEDEGILAN


Salam blogers...

Tiba-tiba saja Ahli Parlimen Johor Bharu Datuk Shahrir Abdul Samad mendedahkan bahawa dia ada menerima SMS ugutan. Entah apa alasannya, isu itu diperbesar-besarkan sehingga akhirnya memalukan UMNO di mata umum. Ada beberapa sebab saya kata begitu. Pertama: bermain SMS di kata musim pemilihan adalah perkara biasa (Hatta masa pemilihan Pas pun ada kempen SMS - termasuk yang memburuk-burukkan pemimpin). Kedua: Tak tahu siapa yang sebar SMS itu. Mungkin bukan orang UMNO. Ketiga: Mengapa media jadi tempat pendedahan dan Keempat: Melayan isu-isu SMS seperti kebudak-budakan sahaja.

Apalah sangat yang ada dengan SMS sehingga TPM pun terpaksa komen. Apa kes ni!. Yang nampak teruk sangat.

Apa pun, itulah UMNO. Hal yang kecil menjadi besar. Sekarang musim rebut jawatan. Semua dah mabuk dan lupa daratan. Soal negeri dikebas orang, soal kuasa yang semakin terhakis, soal betapa sekian banyak usaha membela nasib rakyat, soal memperkukuhkan parti, soal menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi, soal kepentingan masyarakat dan sebagainya sudah tidak ada dalam otak orang dan pemimpin UMNO hari ini. Saya pun tak faham mengapa jadi sebegitu. Namun yang pasti, apa yang rakyat lihat, mereka semakin jelek dan bosan dengan UMNO. Benar kata Tun Dr Mahathir bahawa rakyat memilih pembangkang dalam pilihan raya bukan kerana pembangkang hebat tetapi rakyat sakit hati, benci, meluat, bosan dan mual dengan sikap pemimpin dan orang UMNO.

Kepada pemimpin UMNO, sedarlah diri kita siapa dan di mana sekarang ini tempat kita berdiri. Insaflah bahawa kuasa kita semakin diragut kerana kealpaan kita sendiri. Cuba mereka jawab, apakah yang UMNO Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan buat bagi memulihkan parti. Saya tak nampak. Mungkin bagi orang UMNO, kuasa dalam parti lebih penting daripada menjadi sebuah kerajaan. Tak apalah tak jadi Menteri asalkan boleh jadi Ketua Bahagian atau Ahli Majlis Tertinggi. Tak apalah tak dapat memerintah negeri, asalkan dapat perintah parti. Politik jenis apa semua ini!.

Saya amat bimbang dengan situasi dan keadaan sekarang, UMNO akan hancur. Apabila UMNO tumbang, untuk bangkit semula, usahlah bermimpi lagi. Jangan kita fikir, kita mampu berkuasa selama-lamanya. PRU-12 membuktikan bahawa UMNO/BN boleh ditumbangkan. Maka sebab itu si Anwar Ibrahim semakin galak mahu menjadi PM.
Insaflah... bertaubatlah sebelum terlambat.

Isnin, 27 Oktober 2008

APA SUDAH JADI DENGAN UMNO



Salam bloger ...

Apa sudah jadi dengan UMNO. Itu yang bermain di fikiran saya apabila melihat perkembangan mengenai pemilihan parti keramat orang Melayu ini. Jika diperhatikan dengan trend berebut jawatan bermula di peringkat cawangan hinggalah kepada kedudukan yang tertinggi, ahli dan pemimpin UMNO seolah-olah sudah lupa kenangan pahit pada pilihan raya umum lalu. Orang UMNO (termasuk bapak-bapaknya semua) seperti lupa daratan bahawa lima negeri kini diperintah oleh pembangkang. Mereka lupa UMNO sekarang berada dalam suasana yang amat lemah dan setiap sudut, saat dan detik yang menimpa parti itu kini diteliti dengan serius oleh rakyat.

Saya fikir orang UMNO memang suka menjadi juara dalam parti walaupun mereka menjadi pembangkang dalam kerajaan. Ini tidak syak lagi. Dan, kerana itulah mereka sekarang seperti manusia gila yang mengejar kedudukan dalam parti. Apa nak jadi dengan UMNO!.

Isu politik wang masih tidak terbendung, kini timbul pula cadangan si Khairy Jamaludin (KJ) menantu Pak Lah yang mencadangkan diadakan debat terbuka. Otak Khairy memang bijak dalam pendidikan tetapi bila dia beri cadangan debat, nampak sangat dia itu bodoh (maaflah). Kalau nak mendapat pencalonan pun, pemimpin UMNO seperti orang gila, inikan pula nak berdebat. Nak cerita apa?, nak bincang apa?. KJ kata semua calon yang bertanding kena jelaskan prinsip perjuangan. Aik, adakah perjuangan pemimpin UMNO itu berbeza-beza?. Bagi saya, debat tidak perlu kerana ia akan hanya merugikan UMNO dan mengoyakkan lagi imej UMNO yang sudah terkoyak.

Kita mahu keterbukaan?. Pak Lah telah melakukan satu dasar terbuka yang akhirnya menjahanamkan UMNO serta Barisan Nasional (BN). Hari ini, Ahli Parlimen BN pun tak hormat Menteri atau Timbalan Menteri di Parlimen. Mulut Ahli Parlimen BN lebih jahat dalam menghentam kepimpinan negara berbanding mulut puak pembangkang. Keterbukaan itulah yang Pak Lah mahu lihat barangkali. Ini mahu berdebat pula. Asasnya apa?. Pastinya nak berkempen. Jangan lupa bahawa manusia yang pandai bercakap belum pasti dia betul dan mampu buat kerja. Si Anwar Ibrahim bercakap memukau-mukau, tetapi apa yang dia mampu buat. Semua rakyat Malaysia tidak lupa apa yang Anwar buat ketika dia dalam kerajaan sehingga menyusahkan negara dan rakyat sebagaimana yang disebutkan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek.

Jadi kalau nak berdebat hanya semata-mata nak menguji siapa pandai bercakap, itu tidak betul. Orang UMNO sepatutnya memberikan fokus bagaimana nak perkuatkan semula parti. Di mana post morterm kekalahan BN pada PRU-12. Mana?. Mengapa UMNO menjadi parti yang lemah sehingga tidak mampu berbuat apa-apa apabila diasak oleh rakan-rakan komponan dalam BN. Bagi saya, kalau membela parti, bangsa dan negara pun tidak mampu, usah mendabik dada mahu merebut jawatan dalam parti, apatah lagi dalam kerajaan.

Lagi satu yang saya pelik. Orang UMNO juga berkata-kata bahawa antara punca kekalahan BN pada PRU-12 lalu ialah imej KJ sendiri yang dikaitkan dengan Pak Lah. Tapi hari ini, orang UMNO juga yang menyokong KJ. Apa ni?.

Saya cuma bimbang, UMNO mengambil langkah terlewat dalam menangani apa jua isu sehingga rakyat semakin meluat dengan sikap pemimpin mereka. Itu saja!.